BH Edisi Internet
Isnin 26 Julai 1999 13 Rabiulakhir 1420

Fadzil, Nik Aziz bercanggah

ALOR GAJAH, Ahad - Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor menegaskan Pas tidak pernah mengutamakan paras rupa seseorang untuk diambil bekerja.

Berucap di majlis ceramah Pas di Sungai Putat, dekat sini malam tadi, Fadzil berkata Pas tetap memberi keutamaan kepada kelayakan dimiliki wanita, bukan terbatas pada paras rupa.

Kenyataan Fadzil itu bercanggah dengan apa yang disebut Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini bahawa kerajaan negeri mungkin mengambil wanita 'kurang rupawan' sebagai kakitangannya selaras dasar untuk terus membenarkan wanita bekerja.

Mursyidul Am Pas itu menyatakan perkara itu di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Isnin lalu ketika menjawab soalan Datuk Mohd Rozali Isohak (BN-Dabong) berhubung dasar kerajaan negeri pimpinan Pas terhadap wanita yang bekerja.

Kenyataan Nik Aziz itu menimbulkan kecaman daripada pelbagai pihak, terutama pemimpin wanita.

Pada hari berikutnya, ketika mengulas lanjut kenyataannya itu, Nik Aziz berkata, cadangan kerajaan Pas Kelantan memberi pekerjaan kepada wanita kurang rupawan kerana wanita rupawan mudah mendapat suami kaya.

Bagaimanapun, Fadzil yang cuba melindungi Menteri Besar Kelantan itu daripada terus dikecam, sebaliknya menyalahkan Umno dan media yang dianggap tersilap mengulas kenyataan Nik Aziz itu.

"Saya fikir mereka salah faham keadaan sebenarnya. Apakah wanita yang bekerja di Kelantan hodoh-hodoh belaka? Cuba tenguk dia orang mekap, mereka (Umno) apa tahu," katanya.

Mac lalu, Nik Aziz dilaporkan berkata, bahawa kerajaan Pas Kelantan sedang mengkaji kemungkinan melarang wanita bekerja kerana lelaki sepatutnya mencari nafkah untuk keluarga.

Fadzil juga mempertikaikan tindakan sesetengah pemimpin Umno, termasuk Dr Mahathir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Paduka Rafidah Aziz kerana menyalahtafsirkan kenyataan Nik Aziz itu.

"Kenapa nak ungkit-ungkitkan ustaz Aziz punya komen. Sehingga Rafidah pun komen, kata pemimpin Pas lemah iman sebab tak boleh tahan tengok wanita cantik.

"Tapi Dr Mahathir tengok wanita cantik tak cantik, semua cantik belaka. Ini buaya punya mata. Kalau rupa macam Rafidah, dia boleh minta kerja sebab dia bukan rupawan tapi rupa tak menawan," katanya.

Dalam ceramah itu juga Fadzil turut mencabar Dr Mahathir supaya mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal seperti amalan negara demokrasi lain dan bukan pada saat-saat akhir.

"Negara-negara demokrasi lain bila nak (hendak) pilihan raya, enam bulan lagi dah umum, setahun lagi dah umum... Dr Mahathir tak berani umum tarikh pilihan raya (sedemikian)," katanya.

Beliau berkata, adalah wajar Dr Mahathir mengumumkan awal tarikh pilihan raya bagi memberikan keadilan kepada semua parti yang akan bertanding, bersedia menghadapi pilihan raya.

"Ini nak umum tarikh pilihan raya, (bila) esok nak bubar Parlimen... lepas tu (suruh) buat kempen pendek, tujuh hari saja kempen. Dia (kerajaan boleh) menggunakan televisyen, menggunakan semua kemudahan, manakah adilnya?" tanya beliau.

Fadzil berkata, tidak adil juga bagi parti pembangkang yang dinafikan hak menggunakan televisyen pada kempen pilihan raya sebagaimana yang diumumkan Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob, baru-baru ini.

Komen Penulis: Kempen pilihanraya sepatutnya tidak perlu, kerana segala motif telah jelas di depan mata. BN dengan agendanya untuk mempertahankan negara dari dijajah, PAS dengan agendanya untuk berkuasa dengan kudrat yang ada, KEADILAN dengan harapan agar yang dalam penjara dapat jadi PM dan DAP dengan perkaumannya.

Pilihanraya kita adalah cara kita.. buat apa ikut cara negara luar.. negara luar tu entah berapa abad baru nak ada pilihanraya.. negara kita cukup haulnya ada lah pilihanraya. Yang PAS dok sibuk nak cabar Dr Mahathir buat apa.. hang teruskanlah dengan maki al-hamun tu.. ALLAH MAHA MENGETAHUI. Kata Fadzil, Dr Mahathir mata buaya... merapu sungguh al-usetad kita tu.