BH Edisi Internet
Jumaat 23 Julai 1999 10 Rabiulakhir 1420

Kepentingan peribadi musnahkan perpaduan

Kuliah Pagi

ASSALAMUALAIKUM. Dengan nama Allah yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani. Bersyukur kita semua ke hadrat Allah SWT kerana rahmat-Nya kita dapat bertemu lagi hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan pengikut setianya.

Malam tadi Imam Muda yang mengajar. Kata Imam Muda, masyarakat Islam mestilah menerima segala perubahan yang berlaku dan bakal berlaku dalam apa jua bidang kehidupan. Perubahan penting bagi manfaat yang lebih adil dan saksama kepada masyarakat Islam.

Kalau kita tidak menerima perubahan, itu bermakna kita tidak bersedia menghadapi zaman baru yang lebih mencabar dalam segala segi kehidupan kita.

Kata Imam Muda, dalam sejarah Islam peristiwa Umar al-Khatab memecat Khalid bin al-Walid daripada menjadi panglima perang dan kemudiannya mengawasi Khalid bukan tidak berasas.

Umar al-Khatab tahu serta kenal benar bahawa Khalid adalah panglima kenamaan penuh wibawa pada masa Nabi SAW mahupun pada masa Khalifah Abu Bakar dan jasanya sangat besar dalam melawan orang Arab dan Rom.

Tetapi yang dilakukan Umar itu berdasarkan pengenalannya mengenai sifat orang Quraisy dan kecurigaan terhadap kemungkinan mereka menggunakan kekuatan yang ada untuk menjadi sumber kelemahan mereka. Kekuatan itulah juga yang mendorong mereka memburu harta kekayaan dan berusaha mengejarnya hingga berhasil, walaupun dengan cara yang tidak sah.

Kekuatan itulah juga yang mendorong mereka mengejar kesenangan peribadi sehingga akhirnya lupa bahawa itu semua hanya nikmat dunia lalu bergelumang dosa. Kekuatan itulah yang membuat mereka lupa diri sehingga berani bertindak melampaui batas dalam mengejar sesuatu yang tidak semestinya dikejar.

Kekhuatiran Umar itu memang mempunyai asas yang amat kuat. Sejumlah tertentu orang tua dan pemuda Quraisy memeluk Islam bukan atas kemampuan, kesedaran dan keikhlasan, tapi kerana mereka tahu kekuatan berada pada pihak Islam. Mereka terpaksa kerana Makkah dan sekitarnya jatuh ke tangan Muslimin.

Kata Imam Muda, kita pada malam ini bukannya hendak membincangkan mengenai alasan dan sebab kenapa Umar memecat Khalid al-Walid, yang diakui memang besar jasanya. Yang kita ingin beritahu malam ini ialah mengenai penerimaan sama ada daripada pihak Khalid sendiri terhadap pemecatan itu dan yang lebih penting lagi ialah penerimaan masyarakat pada masa itu.

Khalid apabila dipecat tidakpun menunjukkan bantahannya terhadap pemecatan itu, walhal beliau mempunyai hak mempertahankannya. Demikian juga pengganti Khalid tidak menunjukkan keangkuhan kuasa kerana jawatan penting itu berpindah kepadanya.

Selain itu masyarakat dan tentera Islam di bawah pimpinan Khalid sendiri menerima perkara itu sebagai sesuatu yang wajar kerana yang lebih penting ialah perpaduan umat Islam itu sendiri. Demikian juga yang diturunkan jawatan serta yang menerima jawatan adalah mereka yang insaf bahawa yang lebih penting ialah perpaduan Islam dan bukannya kepentingan peribadi sendiri.

Kata Imam Muda, peristiwa ini hendaklah dijadikan ingatan dan iktibar kepada seluruh umat Islam masa kini, khususnya di Malaysia.

Dari segi lain apabila Umar menurunkan pangkat Khalid al-Walid, jawatan itu akan digantikan dengan orang lain. Dan orang lain itu adalah tokoh yang lebih sesuai untuk memimpin pada masa itu. Dalam waktu yang sama, Umar al-Khatab sekali gus menyelamatkan Khalid al-Walid daripada terperangkap dalam kekhuatiran yang ada dalam diri Khalifah, seorang yang amat arif dengan segala yang di bawahnya.

Kata Imam Muda, inilah yang sepatutnya diajarkan kepada masyarakat bukannya mengeluarkan fatwa yang tak munasabah, mengikut perasaan seperti menyuruh yang rupawan tinggal di rumah dan yang tidak rupawan bekerja. Tidakkah manusia itu seelok-elok kejadian?