BH Edisi Internet
Rabu 28 Julai 1999 15 Rabiulakhir 1420

Mursyidul Am Pas ubah pendirian

KOTA BHARU, Selasa - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang semalam berkata Pas belum bersedia sepenuhnya meletakkan calon wanita pada pilihan raya umum akan datang, hari ini mengubah pendirian.

Ketika ditemui pemberita di kediamannya, JKR 10, di sini hari ini, Mursyidul Am Pas itu berkata, parti itu belum muktamad melarang wanita menjadi calon kerana masih menimbang aspek keselamatan.

Menurutnya, rakyat kini semakin memahami amalan demokrasi dan kesedaran itu membuatkan wanita berpeluang cerah untuk dijadikan calon pilihan raya pada masa akan datang.

"Baki (tinggal) lagi, saya nak tunggu jelas betul-betul. Saya dengar berita (Pas) di Johor boleh calonkan wanita tahun ini, tapi (tidak pasti) sejauh mana berita di Johor tu betul atau tidak. Saya dengar daripada pihak tinggi juga," katanya.

Malam kelmarin, ketika berucap pada ceramah Amanat Pilihan Raya di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di sini, beliau memberi alasan keadaan dalam negara belum mengizinkan bagi Pas meletakkan calon wanita.

Katanya, mesyuarat terbaru Dewan Syura Pas mengekalkan keputusan lama yang hanya mengharuskan wanita menjadi calon.

Hari ini, diminta mengulas aspek keselamatan wanita yang dikatakan lebih terjamin di Kelantan berbanding di Johor, beliau berkata: "Saya tak tahu pasal (keadaan) Johor. Tak boleh memburukkan Johor.

"Kalau orang parti kata baik, tak apa. Saya boleh terima kalau mereka ada bukti cukup. Cuma saya bimbang dengan keganasan terhadap wanita (kerana) kita sebagai lelaki bertanggungjawab menjaga wanita, termasuk aspek keganasan.

"Jadi, pertikaian (wanita sebagai calon pilihan raya Pas) adalah dari segi keselamatan, bukan agama kerana agama mengharuskan wanita menjadi calon pilihan raya," katanya.

Nik Aziz juga berkata, Pas tidak pernah menerima permohonan ahli muslimat parti itu untuk dinamakan sebagai calon pilihan raya.

Katanya, terpulanglah kepada muslimat Pas sama ada ingin bersiap sedia dinamakan sebagai calon pilihan raya Pas Kelantan atau sebaliknya.

"Itu dia punya pasal tapi sampai hari ini tak ada seorang muslimat yang beria-ia nak jadi calon. Takda nampak langsung," katanya.