BH Edisi Internet
Isnin 26 Julai 1999 13 Rabiulakhir 1420

Pelajar Bumiputera masih 'tidur'

Minda Pengarang

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangannya terhadap prestasi pelajar Bumiputera, ia menimbulkan kesedaran baru untuk memperbaiki keadaan. Untuk membetulkan keadaan, sebenarnya ia masih belum terlewat. Usaha pembetulan ini tidak akan berhasil selagi faktor sikap pelajar Bumiputera tidak berubah. Sikap negatif yang membelengu pemikiran pelajar sejak sekian lama ialah disebabkan mereka tidak bercita-cita tinggi. Bagi mereka, dalam apa peperiksaan sekali pun, asalkan lulus sudah memadai. Oleh itu, belajar hanya sekadar untuk lulus peperiksaan. Pelajar Bumiputera sering beranggapan dalam apa saja yang mereka lakukan, 'asal cukup makan' sudah memuaskan hati mereka. Tidak ramai di kalangan pelajar Bumiputera yang bercita-cita untuk mengejar kecemerlangan paling tinggi. Peluang itu sering terlepas kepada pelajar kaum lain.

Sikap mereka ini boleh dilihat menerusi cara mereka menelaah pelajaran. Jika di rumah, pemikiran mereka terbahagi antara menelaah pelajaran atau menonton televisyen atau keluar berfoya-foya dengan rakan-rakan. Jika di perpustakaan, mereka lebih membuang masa berbual dengan rakan-rakan atau mempunyai tujuan sosial yang lain. Keadaan ini berbeza dengan kebanyakan pelajar bukan Bumiputera yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran ketika belajar. Jika mendapat kejayaan yang begitu cemerlang, sewajarnyalah pelajar bukan Bumiputera diberi pengiktirafan itu sejajar dengan usaha gigih mereka.

Mata pelajaran yang diajar di sekolah atau universiti adalah sama dengan pelajar yang lain. Disebabkan mereka bekerja lebih gigih, menanam cita-cita yang tinggi dan bertekad untuk maju, maka mereka sebenarnya layak menjadi pelajar cemerlang. Di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR), ramai antara pelajar Bumiputera yang menduduki peperiksaan itu beranggapan asalkan lulus dan dapat memasuki tingkatan empat, sudah memadai. Bagi mereka jurusan apa sekali pun tidak penting. Jika aliran sastera, lagi mudah kerana ia tidak memerlukan mereka bekerja dengan begitu kuat.

Begitu juga ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan harapan belajar untuk sekadar lulus dan dinaikkan ke tingkatan enam atau jika ada peluang memasuki maktab atau institusi yang sesuai dengan pencapaian keputusan peperiksaan mereka. Keadaan itu berterusan sehinggalah mereka berada di universiti. Akibatnya, bilangan pelajar Bumiputera yang mengikut jurusan yang mempunyai status yang lebih tinggi, adalah rendah. Perangkaan yang diberikan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menunjukkan daripada 72,373 pelajar Bumiputera yang mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 1998, lebih 60 peratus memilih bidang sastera berbanding sains dan teknikal. Daripada jumlah itu, 43,616 pelajar Bumiputera yang mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di IPTA tahun lalu, memilih bidang sastera.

Malah, apabila diberi peluang untuk memilih kursus di IPTA, mereka cenderung memilih kursus yang mudah untuk lulus. Matlamat mereka ialah setelah tamat pengajian, asalkan mendapat pekerjaan sudah memenuhi cita-cita mereka. Untuk itu, mereka tidak menunjukkan minat untuk mengikuti pelajaran yang lebih mencabar. Ini terbukti tidak ramai antara pelajar Bumiputera yang berminat dengan pelajaran matematik. Mereka lebih berminat kepada pelajaran menghafal dan tidak memerlukan daya fikir yang tinggi.

Di IPTA juga, pelajar Bumiputera masih belum insaf dengan kelemahan mereka. Setelah mendapat peluang melanjutkan pelajaran pun mereka masih mahu bergiat dalam kegiatan yang tidak berfaedah. Walaupun perbuatan mereka boleh menyebabkan mereka tersingkir, namun mereka lakukan juga, kononnya untuk menegakkan perjuangan pelajar. Perjuangan sebenar pelajar ialah belajar bersungguh untuk mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang, bukan menjadi golongan memprotes yang tidak melambangkan kebijaksanaan berfikir. Dari segi perangkaan, tidak wujud pelajar bukan Bumiputera yang mengambil bahagian dalam kegiatan yang tidak berunsurkan ilmu.

Apa yang dibimbangkan ialah pelajar Bumiputera tidak sedikit pun menunjukkan kesedaran bahawa mereka kini jauh ketinggalan. Disebabkan usaha membetulkan keadaan memerlukan perubahan sikap, adalah dirasakan wajar Kementerian Pendidikan menilai semula sistem pendidikan di negara ini. Pelajar perlu ditanam dengan semangat yang tinggi bagi membolehkan mereka berminat dengan pelajaran yang sesuai dengan tuntutan zaman, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.

Komen Penulis: Sedarlah anak-anak bangsaku, janganlah kamu tercicir kerana mengikut nafsu dan telunjuk pengkhianat negara. Perhatikan sekelilingmu, bangsa lain mencari kemajuan mengulit kemewahan. Andai kamu masih lalai, jangan salahkan kami dan kerajaan yang tidak memberi peluang untuk kamu belajar. Jika kamu masih alpa, ingatlah penderitaan rakyat Bosnia dan Kosovo. Jika kita tidak bersatu menggembeling kemajuan, kita akan terpinggir di negara sendiri. Hayatilah wawasan PM yang mahu kamu menjadi warga yang berguna di alaf baru nanti. Inilah harapan kami yang tidak berkesempatan untuk ke menara gading.