Copyright Reserved ©1997 TV3 On-line Webmaster

Penyokong PAS Kasari Krew TV3

Penyokong PAS bertindak kasar, menyerbu dan merampas pita rakaman jurukamera TV3 Kedah ketika membuat liputan ceramah parti itu di Taman Uda, Alor Setar, malam semalam.

Walaupun jurukamera Jefri Aziz, 38 tahun, tidak dicederakan, dia diugut dan dihina dengan kata-kata kesat.

Sehubungan dengan ugutan dan rampasan pita itu, TV3 membuat laporan di balai polis Alor Setar.

Dalam laporannya, jurukamera Jefri Aziz berkata kejadian berlaku ketika Presiden PAS, Datuk Fadzil Nor sedang membuat ucapan pada jam 11.15 malam, semalam.

Secara tiba-tiba empat petugas PAS menghampirinya yang berada 50 meter dari pentas ucapan.

TV3 diarah meninggalkan tempat itu walaupun padang di Taman Uda adalah kawasan tempat awam dan bukan markas PAS.

Kami akur dan ketika Jefri mengemaskan peralatan kameranya untuk meninggalkan kawasan itu, kira-kira 20 lagi penyokong PAS menyerbu ke arahnya.

Kali ini mereka menuntut pita rakaman diserahkan kepada mereka.

Disebabkan keadaan semakin tegang, Jefri tidak mempunyai pilihan.

Dia terpaksa menyerahkan pita yang mengandungi rakaman sebahagian daripada ucapan Datuk Fadzil kepada kumpulan itu, yang kian agresif.

Ketua Polis Daerah Alor Setar, Penolong Pesuruhjaya Hussain Bapoo berkata, siasatan akan dibuat bagi mengenal pasti kumpulan terbabit.

Katanya, mereka akan didakwa mengikut seksyen 384 kanun kesiksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara 10 tahun atau denda dan sebatan rotan atau kedua-duanya.

Tindakan PAS malam semalam cukup mengelirukan.

Pada ceramah itu, datuk Fadzil dilaporkan berkata PAS tidak memulau atau menghalang media daripada membuat liputan.

Tetapi pada masa yang sama, ahli-ahli PAS bertindak sebaliknya.

Sementara itu, beberapa persatuan wartawan dan pemimpin masyarakat menuntut agar pas mengawal ahlinya supaya tidak bersikap liar.

Selain melahirkan rasa kesal, Pemangku Presiden Kelab Media Kedah, Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata kejadian seumpama itu, tidak sepatutnya berlaku jika ahli PAS berfikiran rasional dan memahami tanggungjawab petugas media.

Menurut beliau, keghairahan penyokong PAS yang terpengaruh dengan tindakan pemimpin mereka yang sering mengkritik media secara lantang pada siri ceramah sejak kebelakangan ini mencetuskan insiden berkenaan.

Justeru, beliau mendesak kepimpinan PAS supaya memastikan ugutan dan rampasan seumpama itu tidak lagi berulang.

Professor Dr Hamdan Adnan, Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia berkata, "ini suatu yang dianggap kasar kerana harta orang tetap harta orang kalau kita ambil harta orang itu merompak nampaknya ini bukan satu gambaran positif bagi pihak yang terlibat."

Selain itu, beliau mempersoalkan ketelusan tindakan PAS itu yang jelas mengelirukan media-massa.

"Saya rasa bagi mereka untuk mendapatkan seranta meluas, mereka harus berjinak-jinak dengan pihak media bukan bermusuhan dengan media kalau mereka tidak mahu liputan, mereka boleh mengadakan ucapan tertutup yang ahli saja hadir, jadi kalau ceramah itu terbuka memang pihak media berhak untuk memberi liputan."

Sementara itu, dua persatuan media, iaitu Persatuan Wartawan Melayu PWM dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia, NUJ juga kesal dengan kejadian itu.

Yazid Othman, Pengerusi Persatuan Wartawan Melayu berkata, "meminta pimpinan pembangkang menilai semula sikap akhlak penyokong kerana banyak kejadian penyokong menyerang media, ini kerana sebagai parti Islam mereka banyak membicarakan mengenai akhlak dan kelakuan Islam."

Norila Mohd Daud, Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia pula berkata, "saya rasa mereka telah disemat dalam minda bahawa semua media arus perdana telah memutarbelitkan fakta dan inilah yang berlaku mereka anggap media termasuk TV3 tidak akan memberi liputan yang adil."

Sehubungan itu, mereka mahu penyokong PAS menghentikan segera tindakan yang membuktikan parti itu bersikap tidak toleran terhadap media massa.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Datuk Zainudin Maidin yang juga bekas wartawan, kecewa dengan tindakan itu.

Katanya, pemimpin PAS membiarkan kelakuan ahlinya itu kerana takut rakaman berkenaan akan menjadi bukti mengenai tembelang mereka jika disiarkan.

"Orang yang melakukan ini adalah orang yang mungkin merasa kecewa yang mungkin mereka rasakan bahawa media sendiri tidak diyakini orang ramai bahawa suara mereka tiada kredibiliti. Kalau pemimpin membiarkan tindakan militan, bagaimana masa depan negara akan diuruskan oleh pemimpin yang membiarkan orang-orangnya bertindak liar kepada orang yang tak berdosa."