Perang Dunia Kedua

Pada 6hb. Ogos 1945 sebutir bom telah digugurkan di Hiroshima oleh kapalterbang B-29 Amerika Syarikat bernama Enola Gay. Dua hari selepas itu, bom atom kedua telah diledakkan di bandar Nagasaki. Pengguguran kedua-dua bom atom ini telah menandakan bermulanya era senjata nuklear di dunia. Dalam sejarah peperangan dunia tidak pernah berlaku satu serangan yang mengakibatkan bilangan kematian yang sebegitu banyak sebagaimana di Hiroshima. Di Hiroshima dan Nagasaki, limapuluh peratus daripada mereka yang tinggal dalam lingkungan 1.2 kilometer dari pusat pengeboman, mati pada hari yang sama, manakala, 80 - 100 peratus daripada mereka yang terdedah dalam lingkungan ini akhirnya mati akibat kecederaan atau radiasi. Dalam masa lima bulan, bom ini telah mengambil nyawa lebihkurang 140 000 daripada 350 000 penduduk Hiroshima dan 70 000 daripada 270 000 penduduk Nagasaki.1Seandainya dibandingkan jumlah kematian penduduk awam yang terbunuh dalam pengeboman kedua-dua bandaraya ini dengan jumlah kematian anggota tentera Amerika semasa Perang Dunia Kedua adalah jauh berbeza iaitu hanya 292 000 ahli tentera dan sangat sedikit penduduk awam.2

Angka ini berbeza dari satu laporan ke laporan yang lain memandangkan wujudnya penapisan di kedua-dua belah pihak sama ada Jepun maupun Amerika Syarikat. Jumlah ini juga meningkat dari setahun ke setahun selepas kajian yang lebih terperinci dapat dilakukan. Hanya beberapa tahun kemudian barulah rakyat Amerika terutamanya, sedar akan kemusnahan teruk yang dibawa oleh penggunaan bom atom ini. Setelah Brigadier-General Thomas Farrell, penolong pengarah Projek Manhattan3 melawat Hiroshima barulah beliau sedar betapa dasyatnya kemusnahan yang berlaku di Hiroshima.

I fairly well understood from various mid-air photographs that the damage in Hiroshima was enormous, but after coming here and inspecting the scene.I have learned that the damage is enormous and beyond description. I think something so horrible should never be used again.4

Bagi Amerika, pengeboman ini menandakan berakhirnya Perang Dunia Kedua, sebaliknya, bagi mereka yang terselamat tetapi terdedah kepada bahaya pengeboman ini (dikenali sebagai hibakusha) penyeksaan bermula daripada tarikh 6hb. Ogos atau 9hb. Ogos 1945. Hari ini, terdapat lebihkurang 350 000 yang terselamat tetapi telah terdedah kepada bahaya kedua-dua pengeboman ini.5

SEJARAH PERHUBUNGAN AMERIKA-JEPUN

Banyak yang telah diperkata dan dipersoalkan mengenai keputusan Amerika ini.Artikel ini bertujuan untuk mengkaji sejauh manakah sejarah perhubungan Amerika -Jepun telah mempengaruhi keputusan Amerika menggugurkan bom atom ke atas kedua-dua bandaraya Hiroshima dan Nagasaki. Artikel ini juga akan memerihalkan dengan terperinci keengganan Amerika memahami atau mengiktiraf budaya politik Jepun terutama sekali berhubung dengan isu Maharaja. Sorotan ini juga ingin memperlihatkan bagaimana sejak awal lagi hubungan Amerika-Jepun didalangi oleh unsur perkauman. Selain dari itu, apa yang ingin dipersoalkan adalah cara pucuk pimpinan Kuasa Bersekutu , Soviet Union dan terutamanya Amerika Syarikat menangani isu ini. Kenapakah alternatif lain terutamanya strategi diplomatik tidak dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum keputusan pengeboman di buat? Apakah ujud motif-motif di sebaliknya sehingga penduduk Hiroshima dan Nagasaki menjadi mangsa?

Sejarah hubungan Jepun-Amerika boleh dikatakan sebagai "hubungan bermusim" , ada kalanya baik dan adakalanya buruk sehinggalah tamatnya Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, sejak pendudukan Amerika sehinggalah hari ini Jepun telah berusaha memelihara persahabatannya dengan Amerika. Sejak abad ke17, Jepun hanya membuka satu pengkalan perdagangan Belanda di pelabuhan Nagasaki. Selama 200 tahun (1639 - 1854) Jepun mengamalkan polisi sakoku iatu dasar tutup pintu dan terus memencilkan diri daripada dunia barat. Hanya sebilangan kecil rakyat Belanda di benarkan menjalankan aktiviti perkilangan di Kepulauan Dejima. Pada 1791, kapal Amerika yang pertama, Lady Washington di bawah Kapten John Kendrick telah berlabuh di pelabuhan Jepun tetapi tidak dibenarkan berdagang. Antara 1797 sehingga 1809, rakyat Amerika hanya merupakan pelawat ke gudang-gudang Belanda di Kepulauan Dejima berhampiran Pelabuhan Nagasaki. Walau bagaimanapun, semasa Perang Napoleon, pihak Belanda terpaksa menyewa kapal Amerika bagi membawa barangan mereka ke Nagasaki. Dengan ini, sepanjang Perang Napoleon , kapal-kapal Amerika terus pergi ke Nagasaki di bawah piagam Belanda. Menjelang 1830 an minat terhadap Jepun mula bercambah dan pada tahun 1840 an dengan pertumbuhan pesat perdagangan China, maka , pembukaan Jepun tidak dapat dielakkan. Kerajaan Amerika sebenarnya telah cuba seawal-awal tahun 1815 untuk mengadakan hubungan rasmi dengan Jepun atas alasan menjadi tugas dan tanggungjawab Amerika Syarikat untuk membawa Jepun ke dalam lingkungan negara yang bertamadun.

Americans viewed the peoples of China and Japan as dominated by oppressive governments and burdened with degrading customs. They wanted to extend commerce and lead the nations of East Asia into the mainstream of human progress.6

Menjelang 1840 an, Amerika dilanda semangat perluasan, maka, usaha-usaha mengadakan hubungan dengan Jepun bercambah semula. Pada tahun 1846 dan 1849, kapal-kapal laut Amerika memasuki pelabuhan Jepun tetapi telah mendapat layanan yang buruk. Expedisi pertama oleh Komodor James Biddle dan expedisi kedua oleh Komodor James Glynn menemui kegagalan. Menurut Glynn, " hanya melalui paksaan Amerika Syarikat dapat mengubah sebuah kerajaan yang pentingkan diri sendiri menjadi sebuah republik bebas".7 Pada masa ini juga Amerika telah memperolehi jumlah dagangan yang besar di Atlantik dan ini telah menjadikan Asia Timur semakin menarik dan mencabar.

Japan in particular seemed a mysterious archipelago, a land of paradox. Filled with an intelligent and frugal people, it was governed by a cruel despotism, one that practiced barbarism, duplicity and treasury.8

Rata-rata inilah merupakan imej yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh, pegawai-pegawai tentera laut, dan pengembara Amerika. Walau bagaimanapun, pandangan ini menimbulkan keinginan di kalangan sesetengah rakyat Amerika untuk mengadakan hubungan dengan Jepun. Menjelang pertengahan abad ke19, perubahan dalam minat perluasan menjadikan Jepun lebih menarik. Banyak pihak yang mula menaruh minat ke atas Jepun. Pegawai-pegawai tentera laut umpamanya berharap kejayaan mereka menembusi tembok Jepun akan menaikkan prestij mereka dan Amerika. Manakala, mereka yang terlibat dalam industri perikanan paus pula berharap untuk mendapatkan tempat perlindungan di pelabuhan Jepun. Bagi golongan pedagang dan peniaga yang tertarik dengan pertumbuhan dagangan di China pada 1840 an, ingin meraih keuntungan dagangan yang boleh ditawarkan oleh Jepun.

Kedatangan Komodor Mathew Perry pada 1854 telah membuka Jepun kepada dunia barat. Pentadbir Jepun yang bimbangkan pengulangan episod Perang Candu di Empayar China serta ugutan Perry bahawa Jepun akan mengalami nasib yang sama dengan Mexico telah membawa kepada termetrainya Perjanjian Kanagawa. Antaranya, perjanjian ini menyediakan perlindungan bagi anak kapal Amerika , pembukaan dua pelabuhan di mana kapal Amerika boleh mendapatkan arang, kayu, air dan bekalan serta hak meletakkan sebuah pejabat konsular di pelabuhan ini. Mengikut Perry, Perjanjian Kanagawa adalah,

..a mere commencement in bringing a mighty empire into the family of nations and within influence of our benign religion.9

Pada 1856, Konsul Amerika yang pertama Harris Townsend tiba di pelabuhan Shimada dan berjaya merundingkan perjanjian dagangan yang membuka Jepun kepada kuasa-kuasa asing. Pada tahun 1859, Harris menjadi Konsular Amerika yang pertama di Jepun dan membuka sebuah suruhanjaya di Tokyo. Antara 1858 hingga 1868, Jepun menghadapi era yang penuh dengan kekacauan disebabkan pertembungan dengan orang-orang asing di pelabuhan-pelabuhan terbuka serta peralihan ekonomi yang berlaku. Rata-rata rakyat Jepun pada masa ini terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang menyokong polisi buka pintu ( kaikoku) dan mereka yang ingin terus memencilkan diri berlandaskan slogan popular joi iaitu halau atau usir "barbarians". Penyokong utama Joi adalah pihak Samurai yang tinggal di daerah Satsuma dan Choshu.10 Walau bagaimanapun, anehnya, kumpulan yang sama akhirnya memainkan peranan penting dalam menyokong polisi modenisasi barat semasa Era Pemulihan Meiji 1868.

Menjelang 1889, Perlembagaan Meiji yang digubal telah menjamin hak-hak popular, menubuhkan sebuah Diet dan Dewan Perwakilan. Hanya dalam setengah abad sahaja Jepun mampu berubah dari sebuah masyarakat feudal kepada sebuah negara moden. Transformasi yang dialami oleh Jepun mula mengubah imej Amerika terhadap Jepun. Mubaligh-mubaligh, pengembara dan diplomat-diplomat mula melihat Jepun dengan cara dan persepsi yang berbeza menjelang 1870 an dan 1880 an. Mereka mula menerima kepimpinan Jepun dan sekali lagi mubaligh-mubalighlah yang memainkan peranan mengubah imej Jepun di kalangan rakyat Amerika. Penyebaran agama Kristian menjadi semakin hebat apabila Maharaja Jepun membatalkan akta anti-Kristian. Pada masa yang sama bermulalah aliran masuk pelajar-pelajar Jepun ke Amerika. Rata-rata rakyat Amerika menerima mereka tetapi sebaliknya muncul semangat anti-China di sepanjang Pantai Pasifik yang menggangap mereka sebagai imigran kelas rendah.

Pada era 1870 an dan 1880 an, Jepun mula menjalankan perluasan wilayah. Oleh kerana, Amerika merasakan mereka tidak mempunyai kepentingan di Jepun, maka, tidak ada sebarang reaksi terhadap aktiviti perluasan ini. Jepun telah berunding dengan Rusia mengenai Kurile dan Sakhalin dan menghantar ekspedisi ke Formosa pada tahun 1874 serta membuka Korea pada tahun 1876. Ketegangan hubungan dengan China bermula apabila Jepun menuntut Ryukyu dan menjalankan penguasaan ke atas Korea. Di saat ini, hubungan di antara Jepun-Amerika adalah sangat baik. Walau bagaimanapun, ini hanya sementara sahaja kerana jarak yang jauh di antara mereka menyebabkan belum ada pertembungan kepentingan yang berlaku.

Isu besar yang kemudiannya menjadi ujian hubungan Jepun-Amerika adalah pengubahsuaian perjanjian. Selama dua dekad, isu ini mempengaruhi hubungan kedua-dua negara. Jepun mula melihat ketidaksamarataan ini sebagai sesuatu yang menghina dan menjatuhkan maruah negara serta bangsanya. Perjanjian berat sebelah ini mula menjadi isu politik di Jepun. Pihak British dan Amerika enggan melayani usaha-usaha Jepun untuk menuntut perjanjian yang lebih adil. Walau bagaimanapun, pada tahun 1889, Amerika Syarikat dan Jerman telah menandatangani perjanjian yang memberikan otonomi tarif dan hak wilayah asing yang lebih memihak kepada Jepun. Pada masa yang sama, Wakil Amerika yang baru John Franklin Swift tiba di Jepun. Swift merupakan seorang yang prejudis terhadap orang timur. Pada tahun 1880 an beliau sangat aktif dalam usaha menghadkan imigrasi orang China ke Amerika. Beliau membantah perjanjian 1889 dan mendakwa ini akan membuka pintu bagi imigrasi Jepun. Beliau berjaya mempengaruhi James G. Blaine, Setiausaha Negara di bawah Harrison untuk mendapatkan syarat-syarat yang lebih baik bagi Amerika. Apabila British menandatangani perjanjian tersebut, ia menamatkan hak wilayah asing , begitu juga dengan Amerika yang pada masa yang sama telah memasukkan peruntukkan kuasa mengawal imigrasi Jepun. Ini menandakan saat-saat berakhirnya persahabatan Jepun-Amerika. Pada era ini hubungan antarabangsa mula berubah, jarak yang dahulunya jauh mula dekat, maka, pertembungan dan perselisehan kepentingan tidak dapat dielakkan lagi. Sekali lagi, bermulalah era ketegangan.

Di era ini orang-orang seperti Brook Adams dan Alfred Thayer Mahan mula menganjurkan perluasan kuasa. Semangat Takdir Ketara (Manifest Destiny) mula bertiup dan orang-orang Timur di anggap sebagai beban orang putih ( white man's burden). Menurut Cecil Rhodes, menjelang 1890an, negara-negara yang telah sampai ke puncak tamadunnya mula mengawal negara atau bangsa yang tercicir. 11 Pada tahun 1900, Senator A.J. Beveridge mengumumkan, ketamadunan dunia adalah misi negara kita yang telah dianugerahkan oleh Tuhan.12

Racist assumptions brought worries over the intermingling of superior and inferior peoples and focused attention on the need to maintain the strenght of the west.13

Walau bagaimanapun, di saat ini Doktrin Monroe yang menyarankan tradisi pengecualian dan Amerika sebagai simbol demokrasi dan kebebasan terus menjadi pegangan pemimpin Amerika pada tahun 1890an. Jepun pula, pada masa ini cuba mencontohi Barat dan menjalankan dasar perluasan kuasa. Kemenangan Jepun dalam Perang Cina- Jepun membawa kepada penjajahan Taiwan dan pengaruh yang lebih besar di Korea. Kerajaan Jepun juga menggalakkan penghijrahan rakyatnya ke California, Kepulauan Pasifik dan Amerika Latin. Pada tahun 1897, masalah Hawaii pula menimbulkan krisis di antara Jepun dan Amerika. Walaupun banyak pihak di Amerika (terutamanya golongan peniaga Amerika di Hawaii) mengharapkan campurtangan di Hawaii selepas berlakunya Revolusi di negara itu pada Januari 1893 tetapi Presiden Cleveland enggan campurtangan. Pada pertengahan 1880an keperluan buruh di ladang-ladang tebu Hawaii telah menggalakkan penghijrahan beramai-ramai imigran Jepun. Oleh itu, pada 1890an imigran Jepun menjadi sebahagian besar daripada jumlah penduduk di pulau tersebut. Pada awal 1897, kerajaan Hawaii yang ingin menghadkan pengaruh Jepun telah menghantar mereka balik. Kerajaan Jepun sudah tentu bertindak balas dengan menghantar sebuah kapal perang dan nota bantahan. Bagi Jepun, Hawaii merupakan percubaan baginya meluaskan pengaruh di Pasifik, manakala, bagi imperialis Amerika penjajahan Hawaii merupakan langkah ke arah perluasan di Pasifik. Walaubagaimanapun, Jepun akhirnya akur apabila Amerika berjanji untuk menghormati haknya di Hawaii.

Kemenangan Amerika dalam Perang Sepanyol-Amerika telah membawa kepada penjajahan Filipina. Sekali lagi, ini merosakkan rancangan Jepun untuk meluaskan kuasa di Pasifik. Di sebabkan Jepun sedar ia memerlukan kerjasama Amerika , maka, ia tidak mencabar pendudukan Amerika di Filipina. Roosevelt yang menjadi Presiden Amerika pada tahun 1901 telah menghantar Setiausaha Perangnya William Howard Taft ke Jepun untuk berunding dengan Perdana Menteri Katsura. Melalui rundingan ini, Jepun mengesahkan pendudukan Amerika di Filipina dan Amerika pula mengesahkan dominasi Jepun di Korea.

Malangnya sekali lagi hubungan Jepun-Amerika menjadi renggang , apabila pada awal 1900 beberapa siri rusuhan anti-Jepun mula berlaku di California. Ini di sebabkan peningkatan bilangan imigran Jepun di California. Kekurangan buruh murah yang sebahagiannya di sebabkan oleh Chinese Exclusion Act 1882 telah menyediakan peluang bagi buruh Jepun yang sanggup bekerja keras. Contohnya pada 1904 terdapat lebihkurang 15 000 rakyat Jepun yang telah memasuki Amerika.14

The sucess of these imigrants as agriculturalists, the apparent threat which they posed for white labor, and the fact that they had a different culture combined to make them a minority group singled out by racist elements.15

Sebenarnya suara-suara anti-Jepun mula kedengaran di California seawal-awal tahun 1887 lagi,tetapi tindakan hanya diambil pada 1905 selepas penubuhan "Asiatic Exclusion League" di San Franscisco serta kejayan mereka memperolehi kuasa politik.16 San Franscisco merupakan tempat tumpuan imigran Jepun. Pada Oktober 1906, Badan Pendidikan San Franscisco telah mengasingkan kanak-kanak Jepun di sekolah-sekolah rendah bandaraya tersebut. Jepun telah membuat bantahan melalui Dutanya Aoki Shuzo.

Hubungan ini semakin buruk apabila pada Mei 1907 berlaku mogok jalan dan jalan keretapi yang meninggalkan kesan ke atas perniagaan rakyat Jepun di sana. Pada masa yang sama, kemenangan Jepun dalam Perang Rusia-Jepun telah menimbulkan kembali "...fears of a yellow peril"17 yang menjadi isu politik penting California. Sejak awal 1913, badan perundangan di California mula merangka undang-undang tanah asing untuk menyekat pihak Jepun daripada memiliki tanah atau menyewa tanah selama lebih dari tiga tahun. Malahan, dalam kempennya pada 1912, Woodrow Wilson telah menulis kepada bekas Ketua Bandar San Franscisco mengatakan sokongan beliau terhadap polisi pengecualian imigran Jepun ke Amerika dengan alasan mereka tidak boleh "blend with the caucasian race".18

Ramai rakyat Amerika yang bimbangkan pegangan hartanah terutama ladang-ladang oleh pihak Jepun yang telah mendorong Senat California meluluskan Webb-Heney Alien Land Act. Pada tahun 1924, Kongres telah meluluskan Akta Imigran yang melarang kemasukan imigran Jepun di masa akan datang. Kemarahan Jepun diapikan lagi apabila Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada tahun 1925 telah meluluskan pemberian kewarganegaraan Amerika kepada semua bangsa asing yang berkhidmat di bawah tentera Amerika semasa Perang Dunia Pertama kecuali rakyat Jepun. Sehingga bermulanya Perang Dunia Pertama di Eropah pada 1914, layanan terhadap imigran Jepun terus menjadi isu utama antara Tokyo dan Washington. Di sebabkan kedua-dua kerajaan ingin mengelakkan perselisehan, langkah-langkah tertentu di ambil oleh kedua-dua negara bagi menyelesaikan masalah ini. Pada masa yang sama, kejatuhan kerajaan Manchu dan penubuhan sebuah Republik di China pada tahun 1911 telah mengubah pandangan Amerika kepada pro-China dan anti-Jepun. Sikap ini jelas dipamirkan di kalangan pentadbir Amerika dan juga media massa. Jelas di sini, sentimen perkauman tidak boleh di abaikan dalam usaha kita mengkaji keputusan dasar luar Amerika terutama sekali berhubung dengan negara Timur Jauh.

Menjelang 1905 hingga akhir Perang Dunia Kedua, kepentingan Amerika dan Jepun di Asia Timur dan barat Pasifik mula bertembung. Jepun semasa Perang Dunia Pertama telah mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kedudukannya di China dan ini meningkatkan kebimbangan Amerika. Presiden Wilson gagal dalam usahanya menyekat tuntutan Jepun semasa Persidangan Versailles. Walaupun, hubungan kedua negara adalah baik pada dekad 1920an tetapi menjelang era kemelesetan keadaan menjadi semakin tegang. Pada masa ini, banyak Perjanjian berat sebelah yang dikenakan ke atas Jepun. Persidangan Washington 1921-1922 telah membawa kepada termetrainya Perjanjian Kuasa Lima Laut di mana Jepun telah dipaksa menerima nisbah kapal perang yang lebih rendah iaitu 5:3. Jepun juga pada masa yang sama menyatakan persetujuannya tidak akan menubuhkan pengkalan baru di Pasifik. Kejayaan diplomatik pihak Amerika dalam memaksa Jepun menerima nisbah yang lebih rendah ini adalah dengan bantuan,

.....the charismatic cryptanalyst Herbert O. Yardley and his assistants whose solution of coded Japanese diplomatic messages told American negotiators just how far they could push the Japanese.19
Malahan, apabila Yardley dibuang kerja semasa era kemelesetan, beliau telah menerbitkan sebuah buku pada tahun 1931 mendedahkan segala cerita di sebalik pintasan kod Jepun ini. Sudah tentulah ini membawa malu kepada pegawai-pegawai Jepun dan muncul bantahan dari pihak media massa Jepun. Peristiwa ini telah memburukkan hubungan Amerika-Jepun.

Dalam Perjanjian Empat Kuasa iaitu Jepun, Britain, Amerika Syarikat dan Perancis bersetuju menghormati hak masing-masing di Pasifik. Dalam Perjanjian Sembilan Kuasa pula, polisi Buka Pintu disahkan dan semua setuju untuk menghormati kemerdekaan China dan hak wilayahnya. Kuasa-kuasa ini bersetuju mengujudkan peluang yang samarata dalam ekonomi serta tidak menuntut sebarang keistimewaan daripada China. Perluasan Jepun di utara China, Korea dan Manchuria membimbangkan Amerika (berbanding Britain dan Perancis) kerana tempat ini merupakan tumpuan aktiviti Amerika di Asia Timur. Pada masa ini Amerika mempunyai banyak kepentingan di China ekoran kejayaan Setiausaha Hay melancarkan polisi buka pintu di China pada 1899-1900. Bagi pihak Jepun, faktor dalam dan luar mempengaruhi niat perluasan mereka di Asia dan Pasifik. Kejayaan Chiang Kai Shek dan parti Kuomintang yang meningkatkan semangat nasionalisme China serta sentimen anti-asing pada penghujung 1920an menyebabkan Jepun bimbang akan cabaran China terhadap kepentingannya di Asia Timur. Begitu juga dengan perkembangan kuasa Komunis China di utara China. Pertembungan kepentingan antara Rusia-Jepun juga berlaku tetapi dengan kemenangan Jepun dalam Perang Rusia-Jepun 1904 -1905 serta Revolusi 1917 yang berlaku di Rusia telah menghalang Rusia dari mencabar Jepun. Walau bagaimanapun, pengukuhan kuasa Komunis di bawah Lenin dan Stalin, terutamanya pembangunan perindustrian di bawah Stalin serta kekuatan tentera Soviet mula mengancam kepentingan dan keselamatan Jepun. Pada 1939-1941, kejayaan Kuasa Paksi di Eropah telah melemahkan Britain, Perancis dan Soviet untuk menghalang perluasan Jepun. Oleh itu, Jepun mengunakan peluang keemasan dengan keasyikan kuasa Eropah di tempat lain untuk meluaskan pengaruhnya di Asia.

Sama seperti yang dilaungkan oleh Amerika dalam slogan Manifest Destiny, Jepun percaya mereka merupakan pemimpin Asia. Mereka mula melaungkan slogan Lingkungan Kemakmuran Bersama Asia Timur bagi memajukan idealogi ini. Pengukuhan kuasa tentera dalam kerajaan Jepun juga banyak mempengaruhi dasar luar Jepun. Masalah ekonomi yang melanda serta aspirasi Jepun merangsangkan perluasan Jepun pada tahun 1930an. Tanah yang tidak subur lagi terhad, kadar penduduk yang tinggi, pertumbuhan pesat industri menyebabkan Jepun menghadapi masalah bekalan bahan mentah. Kemelesetan dunia memburukkan lagi keadaan. Kebanyakan negara termasuk Amerika telah mengenakan kadar tarif yang tinggi serta menyekat pengimportan barangan Jepun. Dengan ini, perdagangan luar Jepun jatuh 50% daripada 1929 hingga 1931. Washington telah memberitahu Tokyo keinginan untuk memutuskan Japanese-American Commercial Treaty 1911 pada tahun 1939 kerana kebanyakan galian yang dieksport ke Jepun telah digunakan bagi membuat alat-alat peperangan.20 Maka, demi keselamatan negara dan kemakmuran ekonomi, Jepun harus menjalankan perluasan kuasa di Asia Timur dan Barat Pasifik. Melalui Lingkungan Kemakmuran Bersama Asia Timur, Jepun dapat memperolehi bekalan bahan mentah bagi perindustrian berat dan jentera ketenteraannya. Berdasarkan alasan-alasan inilah Jepun merasa penting baginya menjalankan perluasan dan mempertahankan kedudukan Jepun di Manchuria, Korea dan China.

Semasa era kemelesetan di bawah pemerintahan tentera Jepun, hubungan Jepun-Amerika semakin tegang. Insiden di Manchuria 1931-1933 menjadi permulaan. Tentera Jepun menggunakan peluang peristiwa letupan di Jalan keretapi Manchuria Selatan di utara Mukden pada September 1931 sebagai alasan untuk melancarkan serangan ke atas Manchuria. Pada awal tahun 1932, Jepun menjalankan tindakan ketenteraan ke atas China berdekatan dengan Shanghai.Kerenggangan hubungan antara Jepun dan Amerika Syarikat dapat dilihat dalam masalah China. Sebelum itu, Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Franklin D. Roosevelt telah mengamalkan dasar isolasi tetapi pada masa yang sama telah memberi bantuan alat peperangan kepada Britain dalam Perang Dunia Kedua. China di bawah pimpinan Chiang Kai Shek mula membuat persediaan bagi mengujudkan sebuah kesatuan China. Bagi menghentikan perkembangan ini, Jepun telah menggunakan pertembungan segelintir orang di Jambatan Marco Polo berdekatan Peiping pada Julai 1937 sebagai alasan untuk menyerang China secara habis-habisan. Walaupun Chiang Kai Shek membalas serangan, namun Jepun pada akhir bulan Julai, berjaya menakluki Peking dan Tientsin. Shanghai telah dibom dan Nanking pula di tawan. Chiang meminta bantuan Amerika, walaupun Amerika bersimpati tetapi keadaan tidak membenarkannya untuk campurtangan.

Pada tahun 1930an Jepun telah bersekutu dengan Jerman dan Itali. Menjelang 1940-41, ketiga-tiga Kuasa Paksi ini merupakan satu kombinasi yang membahayakan dan membimbangkan. Di sebabkan kebanyakan negara Eropah telah dijajah atau terus berjuang mempertahankan negara mereka daripada Jerman dan Itali, maka, hanya Amerika sahaja yang mampu mencabar Jepun. Kejatuhan Perancis pula memudahkan Jepun untuk menceroboh bahagian utara IndoCina Perancis pada September 1940. Pada Julai 1941, peperangan antara Rusia-Jerman telah membantu mempertahankan Jepun daripada serangan Soviet di utara dan Jepun terus menjajah Indo-Cina. Walaupun Jepun tidak berjaya sepenuhnya mengalahkan tentera Cina secara keseluruhannya, tetapi kejayaannya membahayakan kepentingan semua negara yang aktif di Timur Jauh. Sekali lagi, rakyat Amerika bersimpati dengan China. Pembunuhan dan kekejaman yang dijalankan oleh Jepun bukan sahaja terhadap rakyat China tetapi juga terhadap mubaligh, pengembara dan peniaga Amerika telah membangkitkan perasaan anti-Jepun.

Pengeboman Panay sebuah kapal Amerika pada Disember 1937 yang menyebabkan dua orang terbunuh dan tiga puluh empat tercedera telah mengangkan lagi keadaan. Jepun meminta maaf dan membayar ganti rugi sebanyak $2 juta. Sekali lagi, Amerika mengelak peperangan dengan Jepun kerana menggangap Jerman dan Itali lebih membahayakan. Walaubagaimanapun, Roosevelt telah menghantar surat kepada pengeluar dan pengeksport kapal terbang, alat ganti kapal terbang, bom agar tidak menjualkannya kepada mana-mana negara yang menjalankan pengeboman ke atas penduduk awam. "Moral embargo" ini sebenarnya ditujukan kepada Jepun.

Pada Julai 1939, Setiausaha Negara Hull menghantar notis bahawa Amerika Syarikat akan membatalkan perjanjian perdagangan dengan Jepun pada Januari 1940. Pada September 1940, apabila tentera Jepun menceroboh ke utara Indocina, Roosevelt mengumumkan sekatan ke atas eksport besi dan keluli ke Jepun. Pada masa yang sama, Amerika memberi pinjaman $25 juta dan kemudiannya $100 juta kepada China. Pada 1940-1941, Amerika Syarikat meletakkan angkatan lautnya di Pearl Harbour, Hawaii untuk menghalang tindakan agresif Jepun di barat Pasifik. Amerika juga memberikan bantuan Sewa-Pinjam kepada China. Pada April 1941, Roosevelt membenarkan pegawai-pegawai tenteranya meletakkan jawatan dan berkhidmat dengan "Flying Tigers" bawah pimpinan Kolonel Claire L. Chennault dalam Chennault's Volunteer Air Force untuk membantu China menentang Jepun.

Pada Julai 1941 apabila angkatan Jepun menceroboh kesemua Indocina, Roosevelt mengumumkan tindakan yang drastik iaitu membekukan kesemua aset Jepun di Amerika Syarikat. Dengan ini, hubungan dagangan dan kewangan Jepun telah jatuh ke tangan Amerika. Tindakan ini dikuti oleh Britain dan Belanda. Roosevelt mencadangkan satu kompromi di mana sekiranya Jepun menarik diri dari China dan Indocina, Amerika akan membantu Jepun memperolehi bahan mentah.21 Jepun hanya bimbangkan bekalan minyak kepada tenteranya akibat pembekuan ini kerana ini bererti gagallah matlamatnya untuk menyelesaikan masalah China dan mengujudkan Lingkungan Kemakmuran Bersama Asia Timur.

Piagam Atlantik yang dibentuk semasa Persidangan Atlantik pada Ogos 1941, Roosevelt memberi amaran keras kepada Jepun agar tidak meneruskan rancangan ketenteraanya.Pada masa yang sama, Amerika mengadakan usaha diplomatik bagi menyelesaikan perbezaannya dengan Jepun secara aman. Sepanjang 1941, Setiausaha Hull menjalankan 40 atau 50 persidangan dengan Duta Jepun Kichisaburo Nomura. Pada bulan November Jepun menghantar Saburo Kurusu bagi membantu Nomura. Sepanjang perundingan ini, masalah China menjadi batu penghalang. Jepun enggan melepaskan China manakala Amerika sanggup membatalkan had-had ekonomi atau sekatan dagangan tetapi enggan melepaskan China kepada Jepun.

Perdana Menteri Konoye mencadangkan penjumpaan peribadi dengan Roosevelt melalui Duta Jepun Nomura bagi menyelesaikan persoalan China tetapi telah ditolak oleh Amerika. Roosevelt pada mulanya setuju tetapi dihalang oleh Setiausaha Negara Hull yang mengatakan syarat-syarat penyelesaian harus ditentukan terlebih dahulu. Keengganan Roosevelt bertemu dengan Perdana Menteri Jepun sering juga disebut sebagai salah satu punca serangan Jepun ke atas Pearl Harbor. Jepun sebenarnya tidak mempunyai pilihan iaitu sama ada mengalah atau melawan. Kegagalan kerajaan Konoye menyelesaikan masalah ini telah membawa kepada kenaikan kerajaan tentera bawah pimpinan Jeneral Tojo pada Oktober 1941.Pada 26hb. November 1941, Setiausaha Negara Hull menuntut agar tentera Jepun mengundur diri dari China dan Indocina. Beliau juga enggan mengesahkan Kerajaan Cina yang disokong oleh Jepun dan menuntut agar Jepun mematuhi prinsip-prinsip pintu terbuka di sana. Bagi pihak Jepun ini adalah sesuatu yang sukar dipenuhi, mereka merasakan bahawa Amerika tidak mengambil kira pengorbanan Jepun selama empat tahun berperang dengan China. Ini merupakan satu permintaan yang mendesak Jepun mengubah polisi, pemikiran dan tindakannya secara total.

Bersambung

Senarai Notakaki