Tazkirah

Mengenai Konsep Taubat

Taubat membawa erti kembali iaitu kembali kepada kesucian setelah melakukan dosa, maksiat dan kesalahan. Tujuannya untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dengan cara mencurah dan menumpukan sepenuh taat setia kepada Allah dan RasulNya. Caranya pertama : dengan mengerjakan segala perintah dan memperbaharui niat untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan segala dosa, maksiat dan kesalahan. Kedua : Berniat tidak akan kembali lagi membuat dosa, maksiat dan kesalahan seperti yang pernah dilakukan olehnya. Bersabda Rasulullah saw yang bermaksud, jika ada orang berkata " Aku takut kepada api neraka, sedang dia tidak berhenti-henti melakukan perbutan-perbuatan dosa, maka dia sebenarnya adalah seorang pendusta disisi Allah. Jika dia berkata "Rindukan kepada Syurga, ingin masuk Syurga, sedangkan dia tidak membuat sesuatu yang baik maka dia adalah seorang pendusta, bukan seorang pentaubat yang betul. Taubat nasuha ialah orang yang betul-betul bertaubat dan berjanji terhadap Allah tidak lagi mahu mengulangi atau melakukan segala kesalahan yang dilakukan sebelumnya. Orang sedemikian adalah orang yang dikasih Allah dan RasulNya. Taubat mempunyai hubungan rapat dengan hidayah, seseorang yang bertaubat secara bersungguh-sungguh itu Allah akan memberikan petunjuk bagi mereka kepada jalan yang benar. Orang yang bertaubat nasuha sahajlah senang sentiasa mendapat taufik dan inayah dari Allah swt dan mereka ini yang berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat. Memohon ampun dan taubat adalah menjadi kewajiban ke atas tiap-tiap orang yang berdosa dan melakukan kesalahan.

Syarat bertaubat dan memohon ampun

PERTAMA

Menjauhi dari maksiat, dosa kesalahan dan meninggalkannya.

KEDUA

Mengaku dengan sungguh-sungguh di atas kesalahan yang telah dilakukan.

KETIGA

Menyesali segala perbutan maksiat dan kesalahan-kesalahan yang terlanjur yang dikerjakannya.

KEEMPAT

Berazam tidak akan kembali lagi pada melakukan dosa dan kesalahan selalu mengucap istighfar. Orang yang bertaubat dan mengucap istighfar akan memperolehi banyak kelebihan

PERTAMA Memperolehi keutamaan daripada Allah swt dan anugerahnya.

KEDUA Meruntuhkan tipu daya iblis dan syaitan.

KETIGA Menenangkan hati yang gelisah kerana terkenang dosa-dosa yang pernah dilakukan.

KEEMPAT Menghilangkan kesusahan, dan meluaskan rezeki yang halal.

KELIMA Mensucikan diri daripada kesalahan dan dosa.

KEENAM Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah swt.

KETUJUH Memperoleh khunulkhatimah (kesudahan yang baik).

KELAPAN Sentiasa mendapat hidayat dan petunjuk Allah swt dan kembali kepada jalan yang benar dan diredhai oleh Allah.

Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara

1. Hidup sebelum mati 2. Sihat sebelum sakit 3. Muda sebelum tua 4. Masa lapang sebelum masa sibuk 5. Kaya sebelum miskin

Maksud Al-Hadis

SURAH AL-BAQARAH AYAT 153 HINGGA 171

Islam adalah satu sistem hidup yang sesuai dengan fitrah manusia. Manusia perlukan makanan, minuman, pakaian, berumahtangga dan sebagainya maka Islam menjadikan seluruh hal-hal tersebut sebagai ibadah. Sebagai Khalifah manusia mempunyai tugas besar, iaitu menegakkan sistem hidup Allah di muka bumi. Dalam menjalani kehidupan yang serba mencabar, manusia sentiasa diuji Allah dengan berbagai ujian. Ujian itu ada kalanya dengan berbagai ujian. Ujian ituada kalanya dengan kemiskinan, kesukaran, kelaparan, ketakutan dan sebagainya dan ada kalanya dengan kemewahan, kesenangan, keselesaan dan lain-lain. Ada kalanya manusia lulus menghadapi ujian dalam bentuk kesenangan. Dalam hal ini Abd. Rahman bin Auf pernah menyebutkan kata-kata bermaksud,

"Apabila kita diuji dengan bala, kita boleh bersabar tetapi apabila kita diuji dengan kenikmatan, kita tidak dapat bersabar (lalai)."

Sepanjang hidup kita sentiasa dalam ujian Allah. Kita hanya akan mengakhiri ujian itu bilamana malaikat Izrail menjemput kita kembali kepada Allah. Orang yang bersifat sabar dijanjikan Allah dengan keberkatan hidup serta mendapat rahmat dan petunjuk. Sabda Rasulullah saw bermaksud,

"Sabar itu terbahagi kepada 3 bahagian. Pertama sabar terhadap musibah, kedua sabar terhadap ketaatan dan ketiga sabar daripada melakukan maksiat. Sesiapa yang bersabar terhadap musibah, maka Allah akan menulis untuknya 300 darjah yang jarak antara dua darjah ialah seluas bumi dengan langit. Sesiapa yang bersabar diatas ketaatan, maka Allah akan menulis untuknya 600 darjah yang jarak antara dua darjah ialah batas bumi hingga ke Arash. Sesiapa yang bersabar daripada melakukan maksiat, maka Allah menulis untunya 900 darjah yang jarak antara dua darjah ialah dua kali keluasan batas bumi hingga Arash"

Solat pula adalah tiang agama. Roh solat ialah khusyu’. Dalam solat kita berdialog dengan Allah. Kita menyucikanNya, memujiNya, berdoa kepadaNya, juga menyerahkan diri sepenuhnya kepadaNya disamping berikrar akan melaksanakan semua solat, segala ibadah, seluruh kehidupan dan kematian hanya semata-mata kepada Allah. Ini memberi sebesar-besar pertolongan dan semangat yang teguh untuk menghadapi sebarang perkara yang menyulitkan....

                                                         Previous page