Sejak didirikan hingga ke tahun 1970, sekolah ini hanya mempunyai kelas-kelas tingkatan peralihan hingga tingkatan tiga sahaja. Pada tahun 1971, empat kelas tingkatan empat dimulakan dan sejak tahun 1972, sekolah ini mempunyai kelas-kelas tingkatan lima. Pada tahun 1991, dua kelas alran Sains Tulen telah dimulakan.
Pada masa sekolah ini ditubuhkan, hanya terdapat tiga blok bangunan yang mengandungi 20 buah bilik darjah, 1 makmal sains, sebuah bilik jahitan dan sebuah bilik ERT dalam kawasan seluas 1A 3R 07P. Hari ini, sekolah Sri Muar tersergam indah dengan tujuh blok bangunan - Blok A, b, c, d, e, F dan Blok Bengkel yang meliputi kawasan seluas 3A 2R 23.87P. Sekolah ini juga mempunyai sebuah gelanggang bola tampar, sepak takraw, bola keranjang dan bola jaring. Pada tahun 1975, gelanggang bola keranjang telah dibina dengan konkrit pada tapak asalnya.
Selain kemudahan sukan yang disediakan, sebuah bangunan baru telah dibina pada tahun 1989 bagi menempatkan kantin yang sebelum ini dikongsi dengan Sekolah Tinggi Muar.
Sekolah ini telah berkembang pesat di bawah pentadbiran tujuh orang pengetua dan seorang pemangku pengetua. Pengetua pertama ialah Puan M. Stanley yang memegang jawatan dari 1.2.1967-28.2.1975. Tuan Hj. Kasmuri bin Hj. Sadima mengambil alih dari 1.3.1975-31.7.-1978. Encik K.p. Nair telah memangku jawatan Pengetua dari 1.8.1978-31.8.1979. Sekolah ini telah mendapat pengetuanya yang ketiga apabila Tuan Haji A. Wahab bin Suradi mula berkhidmat dari 1.9.79 hingga ke 31.10.1982. Tuan Hj. Hussein bin Markom telah mengambil alih pentadbiran sebagai pengetua keempat pada 1.11.1982-28.2.1985. Pengetua kelima, Encik jaafar bin Haji Md. Tap telah mentadbir sekolah dari 1.3.1985-31.12.1988. Beliau diganti oleh Tuan Hj. Hamir bin Kassim sebagai pengetua keenam pada 1.1.1989-15.4.1991. Pengetua ketujuh, Encik Ho Kee Liong, mula berkhidmat dari 16.4.1991 hinggalah sekarang.