Utusan Malaysia
12 Februari 2000
Tajuk: Personaliti majikan, sikap pembantu rumah punca penderaan

KUALA LUMPUR 11 Feb. _ Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fatimah Yusoff berkata, masalah personaliti majikan serta sikap sesetengah pembantu rumah adalah antara faktor yang mengakibatkan terjadinya kes-kes penderaan.

Katanya, sikap majikan yang terlalu garang serta pembantu rumah yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaan mereka, boleh mewujudkan ketegangan sehingga majikan cenderung mendera pekerja mereka itu.

``Majikan kadangkala susah untuk memahami pekerja dan menganggap mereka boleh buat apa sahaja sedangkan pekerja pula ada masanya kepenatan dan memerlukan rehat,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kes-kes penderaan pembantu rumah warganegara Indonesia oleh majikan mereka baru-baru ini.

Fatimah menambah, pembantu rumah juga ada masanya tidak memahami apa yang majikan kehendaki, sedangkan majikan mengharapkan yang terbaik daripada pekerjanya.

Sementara itu, Ketua Kaunselor, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Asmawati Baharuddin berkata, harapan majikan yang terlalu tinggi menyebabkan mereka cenderung mendera pembantu rumah apabila pekerja mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Oleh itu, katanya, majikan perlu sedar keupayaan pembantu rumah terbatas dan mereka tidak boleh mengharapkan pekerja itu mampu melakukan semua kerja.

Mampu

``Majikan harap orang gaji faham sikap dan cara dia sedangkan dalam sesetengah kes, orang gaji tidak mampu untuk memenuhi setiap kerja yang diberikan,'' jelasnya.

Selain itu, kata beliau, suasana di rumah yang tidak tenteram seperti suami isteri selalu bertengkar juga mendorong mereka mendera pembantu rumah.

Katanya, faktor persekitaran yang tidak sihat menyebabkan fikiran majikan mudah terganggu lalu pembantu rumah yang sering menjadi mangsa.

Kadangkala, faktor pembantu rumah yang selalu melakukan kesilapan atau malas bekerja boleh menimbulkan kemarahan majikan sehingga ke tahap mendera.

Beliau berkata, faktor dalaman iaitu masalah psikologi majikan itu sendiri yang mungkin pernah menjadi mangsa dera juga boleh menggalakkan mereka mendera pembantu rumah.

Bagi menangani masalah penderaan orang gaji, menurut Asmawati, majikan terlebih dahulu perlu memahami konsep pembantu rumah.

Katanya, pembantu rumah hanya pekerja dan bukannya hamba yang memberi segala khidmat.

``Lebih baik jika majikan menyediakan jadual bertugas orang gaji, umpamanya jadikan waktu bekerja mereka mengikut waktu pejabat,'' katanya.

Jika majikan boleh menyediakan tugas-tugas yang perlu diselesaikan oleh pembantu rumah setiap hari, katanya, maka tidak timbul soal pekerja ponteng kerja.

Dengan itu, pembantu rumah akan mendapat sedikit kebebasan dan tidak berasa tertekan apabila bekerja