[Intro] [Status][Elections] [Programs][Statements] [Analysis] [Grassroots] [Membership][HOME]

Persidangan Akhbar: 18hb. November 1999 Calun PSM di Kawasan Parlimen Sungai Siput, Perak.

Dengan sukacitanya Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mengumumkan bahawa Dr. Jeyakumar Devaraj - Ahli Majlis Tertinggi PSM akan bertanding di Kawasan Parlimen Sungai Siput, Perak. Kawasan ini merupakan kubu Datuk Seri Samy Vellu, presiden MIC.

Banyak pihak telah meminta pihak kami bertanding di Kerusi Parlimen Sungai Siput memandangkan kerja akar umbi yang telah dijalankan untuk jangkamasa yang panjang. Baru-baru di dalam pertemuan di antara saudara Lim Kit Siang dan Dr. Mohd. Nasir Hashim selaku Pengerusi Protem PSM, pihak kami diajak bertanding di Kawasan Parlimen Sungai Siput, Perak. Tindakan ini diambil berasaskan kepada penghargaan beliau terhadap sumbangan kami membela masyarakat di Negeri Perak khususnya masyarakat di Kawasan Parlimen Subang dan Sungai Siput.

Keputusan Bertanding PSM telah membuat keputusan bertanding di Kawasan Sungai Siput dan akan bertanding di bawah tiket DAP memandangkan pendaftaran PSM masih berada di mahkamah dan logo PSM belum boleh dipakai lagi. Namun, Kami akan kerahkan jentera pilihanraya kami dengan tujuan untuk menawan habis-habisan Kawasan Parlimen ini. Seperti mana yang diharapkan di Kawasan Parlimen Subang, Selangor, kami juga inginkan pertandingan satu lawan satu di antara kami dengan Barisan Nasional di Kawasan Sungai Siput. Kami juga berharap saudara Samy Vellu tidak menarik diri dari kawasan ini dan cuba pula mencari Kawasan Parlimen yang selamat. Ini adalah satu cabaran kepada Samu Vellu

Soalnya kenapa bertanding di Kawasan Parlimen Sungai Siput ? Beberapa perkara harus difikirkan. Sungai Siput adalah amat bermakna bagi kawan-kawan kami kerana di sinilah bermulanya golongan aktivis mendampingi masyarakat yang tertekan demi membela hak dan nasib mereka yang sentiasa dianiayai oleh pihak-pihak atasan. Pendek kata mereka menentang konspirasi terhadap golongan miskin.

Rakyat mengalami pelbagai tekanan hidup dan makin kecewa dengan kerajaan dan pemimpin yang mengabaikan kebajikan rakyat di dalam keadaan inflasi ekonomi yang meningkat ini. Apatah lagi kekecewaan mereka meningkat apabila isu korupsi, nepotisma, kronisma secara langsung merampas hak rakyat dari segi pengagihan kekayaan negara yang berat sebelah.

Di samping itu golongan aktivis rakyat dari pelbagai masyarakat makin berkembang dan makin sedar bahawa rakyat sentiasa menerima kecelakaan undang-undang zalim yang menguntungkan pihak atasan.

Memandangkan juga kawasan ini adalah kawasan Parlimen presiden MIC dan rakyat pula tidak senang dengan keangkuhan dan putar-belit beliau terhadap kebajikan rakyat khususnya masyarakat India, maka pertarungan ini adalah satu kemestian. Datuk Seri Samy Vellu lebih dikenali sebagai ‘bapak’ pengswastaan yang menguntungkan golongan kaya; mengabaikan kebajikan masyarakat ladang yang meliputi sebahagian besar kawasan Parlimen Sungai Siput. Pada tahun 1990 beliau pernah bersumpah bahawa beliau akan meletakkan jawatan sekiranya masyarakat ladang tidak diberi gaji bulanan. Masa sudah berlalu masyarakat ladang masih belum menerima gaji bulanan; beliau juga dituduh memusnahkan kepentingan ‘South Indian Fund’ dan menyalurkan sumber kewangannya ke dana kerajaan; dll.

Kami akan mengerahkan jentera pilihanraya kami bagi memastikan taktik kotor tidak digunakan seperti mengimpot undi luar atau undi haram, mengumpan dengan wang ringgit serta kebendaan. Justeru itu kami akan telitikan nama-nama di dalam senarai pengundi dan merujuk kepada SPR, peguam dan mereka yang berpengalaman untuk mendedah penyelewengan dan salahguna kuasa. Kami yakin bahawa dengan sokongan yang kami terima, kami berupaya mengesan taktik kotor yang bakal berlaku.

Calun Parlimen Sungai Siput Calun kami, Dr. Jeyakumar atau lebih dikenali sebagai Dr. Kumar bukanlah baru di dalam usaha memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas. Beliau berjaya menggabungkan ilmu perubatannya dengan kesihatan, produktiviti dan kemiskinan hingga menimbulkan keinginannya untuk memastikan jasa rakyat sebagai pekerja dan tulang belakang kepada ekonomi negara sentiasa di sanjung tinggi dan harus menerima manafaat yang sewajarnya.

Rakyat telah mencalunkan Dr. Kumar bagi mewakili mereka di peringkat Parlimen agar keluhan mereka di dengari dan diberi pembelaan. Sifat menjiwai masalah rakyat sudah terserlah semasa beliau masih menjadi mahasiswa di Universiti Malaya lagi. Beliau pernah menjemput saya sebagai ahli panel yang membincangkan isu-isu hak asasi manusia dan kemiskinan.

Saudara Kumar adalah seorang aktivis yang jujur dan peka kepada hasrat rakyat dan senang menerima teguran. Beliau juga tidak gentar menghadapi cabaran walaupun cabaran ini menekan hak kebebasannya serta kerjayanya.

Harapan Kemenangan? Memandangkan beliau akan berdepan dengan gergasi yang besar namun semangat dan komitmennya akan membolehkan beliau menangani segala cabaran. Kalau ditanya harapan untuk menang maka jawapannya adalah cerah. Kerana sokongan dari rakyat amat membanggakan dan di samping itu kelemahan calun saingan akan memudahkan lagi kemenangan ini.

Untuk membolehkan kejayaan ini kami akan kerahkan segala tenaga dan sumber yang ada termasuklah bantuan dari kawan-kawan DAP dan komponen parti dari Barisan Alternatif yang lain. Justeru itu kami tidak gentar apabila memperjuangakan kebenaran.

Kami merasakan sudah sampai masanya untuk golongan muda yang berkalibar menyertai dunia politik dan memegang teraju kepimpinan agar kita memasuki milinium ini dengan penuh semangat dan harapan bahawa negara kita ini akan pulih dari cengkaman sistem kapitalisma yang menghancurkan kemanusiaan dan sekitarannya.

18hb. November 1999

Dr.Mohd. Nasir Hashim
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia