Laman Web PAS Kawasan Ampang Jaya

Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI
PAS KAWASAN AMPANG JAYA 1420


Selamat Hari Raya Aidilfitri Dan Maaf Zahir & Batin


Bagi pihak PAS Kawasan Ampang Jaya saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam terutamanya yang berada di Ampang Jaya.

Marilah kita mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah memanjang umur kita sehingga dapat kita sekali lagi meyambut hari raya yang mulia ini.

Di hari ini marilah kita sama-sama merapatkan ukhwah di antara sesama Muslim di samping memohon kemaafan sesama kita.

Marilah kita juga berdoa agar segala peningkatan amal-ibadah di bulan Ramadhan yang telah berlalu akan dapat dikekalkan.

Tetapi sedang kita bergembira bersama-sama keluarga dan sahabat-sahabat di hari raya ini, janganlah pula kita lupakan akan kaum Muslimin yang tidak bernasib baik.

Ketika kita bergembira, umat Islam Chechen sedang bertarung nyawa untuk mempertahankan kampung halaman mereka dari dicabuli oleh penjajah Russia yang tidak mahu melihat Islam itu ditegakkan sebagai satu cara hidup yang menyeluruh.

Begitulah juga umat-umat Islam di Palestin, Kashmir dan Kosovo yang terus berjuang untuk memastikan agama Allah tidak terus dicabuli dan dapat diletakkan di tempat yang sepatutnya.

Alhamdulillah semangat jihad yang ditunjukkan oleh para pejuang-pejuang Islam ini masih hidup subur di kalangan umat Islam. Dan semangat seperti inilah yang mencemaskan mereka yang mahu memisahkan Islam dari masyarakat dan menggantikannya dengan satu "agama" dan budaya baru.

Di serata dunia pelbagai tindakan telah dilaksanakan agar risalah Islam itu tidak sampai kepada masyarakat. Peraturan-peraturan telah diadakan untuk memastikan rakyat terus jahil terhadap kebenaran. Mereka yang membawa risalah Islam ditekan dan ditindas.

Islam di"perintah" dan tidak "memerintah". Ulama' terus dihina dan diletakkan di dalam "kandang orang salah". Di samping itu penganjur-penganjur kemaksiatan disanjung dan dijulang.

Tetapi Alhamdulillah kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana masyarakat pada umumnya telah mulai sedar. Konsep keadilan Islam itu telah mula diterima oleh mereka. Malah orang-orang bukan Islam telah mula membuka mata kepada agama Allah SWT yang adil kepada semua bangsa dan agama walaupun terdapat orang-orang Islam sendiri yang cuba menghalang risalah kebenaran Islam dari sampai kepada mereka.

Tetapi tugas kita di hadapan adalah lebih berat lagi. Dengan itu di hari yang mulia ini marilah kita sama-sama berazam untuk meletakkan Islam di tempatnya yang sebenar sesuai dengan Al-Hadith, "Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya".


"MEMBANGUN BERSAMA ISLAM"
"BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN"



Ikhlas dari saya,
HAJI SAROM HAJI JAIS       
Yang Di Pertua PAS
Kawasan Ampang Jaya
Selangor Darul Ehsan
1 Syawal 1420



"Click Untuk Kembali Ke Senarai Kandungan"