Sesungguhya kami pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Malaysia sedar dan yakin bahawa matlamat perkhidmatan yang diamanahkan oleh Kerajaan kepada kami ialah untuk memungut hasil negara dan mempertahankannya daripada sebarang penyelewengan dan penyeludupan, serta bertanggungjawab mendukung perlaksanaan dasar perindustrian kebangsaan dan kebajikan sosial rakyat, demi untuk kemakmuran, kesejahteraan dan pembangunan negara Malaysia yang tercinta.

Maka menginsafi betapa beratnya tanggungjawab yang diamanahkan, kami dengan izin Yang Maha Berkuasa berikrar menerima tatasusila berikut dengan penuh semangat kebanggaan serta azam untuk menghormati dan mengamalkannya sebagai teras dan panduan prinsip tugas kami kearah perkhidmatan yang bersih, cekap dan amanah.

AMANAH BERKHIDMAT:
  • AMANAH berkhidmat kepada masyarakat, Jabatan dan negara dengan bertanggungjawab dan jujur, tidak menyeleweng, menyalahgunakan kuasa dan pecah amanah.
  • AMANAH di dalam usaha membangunkan kemajuan diri dan perkhidmatan melalui penghayatan nilai-nilai ilmiah yang praktikal di dalam segala tindakan dan keputusan serta menjauhkan diri dari sikap negatif yang merugikan.
  • AMANAH dan tegas menegakkan kebenaran dan keadilan berlandaskan undang-undang dan peraturan; yakin, sabar dan tenang menghadapi cabaran serta sentiasa berusaha menguasai pengaruh sentimen prasangka dan hasad dengki.
IKHLAS:
  • IKHLAS memberi kerjasama dan saling membantu dalam perkara-perkara yang baik dan berfaedah.
  • IKHLAS memberi dan menerima teguran yang baik serta bersedia mengakui kelemahan yang ada disamping berusaha untuk mengatasinya.
  • IKHLAS berkhidmat kepada masyarakat, Jabatan dan negara serta merasa bangga diatas segala tanggungjawab yang diamanahkan.

DEDIKASI:
  • DEDIKASI di dalam memberi perkhidmatan dengan menggunakan sepenuhnya daya, tenaga dan kesempatan ke arah melaksana dan meyempurnakan segala tanggongjawab.
  • DEDIKASI di dalam mencari kemajuan dan berusaha ke arah perubahan yang baik untuk kepentingan kerjaya dan perkhidmatan.
  • DEDIKASI memimpin melalui teladan dan amalan yang luhur ke arah memupuk persefahaman, perpaduan, kerjasama dan semangat kekitaan (espirit de corps) di kalangan semua pegawai dan kakitangan.