Melemparkan pandangan ke arah pulau dari atas feri yang sedang belayar merentasi Selat Pulau Pinang, salah satu bangunan yang jelas kelihatan di antara hutan konkritnya adalah sebuah binaan dengan rekabentuk zaman kolonial yang dinamakan Wisma Kastam. Bangunan tiga tingkat yang berusia hampir seabad ini diwarnakan dengan warna kuning dan biru dan telah diistiharkan sebagai salah satu bangunan warisan sejarah Pulau Pinang. Ia berdiri teguh di persimpangan antara Jalan Pengkalan Weld dan Jalan Gat Lebuh China dengan menara jam besar yang masih berfungsi sehingga kini sebagai mercu tandanya.

    Menjejak sejarah silamnya, bangunan ini siap dibina pada tahun 1907 sebagai stesen keretapi dan ini dapat dilihat pada huruf "M.R" yang bermakna ‘Malayan Railway’ di bahagian atasnya. Stesen keretapi pulau ini sebenarnya tidak mempunyai ‘platform’, landasan atau keretapi sebagaimana stesen-stesen keretapi yang biasa dilihat. Sebaliknya bangunan ini hanya menempatkan pejabat penempahan tiket, ruang menunggu, kedai, restoran dan juga bar pada tingkat bawahnya. Penumpang-penumpang keretapi akan dibawa dengan feri merentasi Selat Pulau Pinang ke Prai di tanah besar untuk menaiki keretapi.

    Dua tingkat atas disewakan oleh ‘Malayan Railway’ kepada orang awam. Jabatan Kastam dan Eksais merupakan antara penyewa awal yang menyewa dua bilik di tingkat 2 semenjak tahun 1946. Antara penyewa-penyewa lain termasuklah firma-firma kejuruteraan dan bank. Cawangan pertama Bank Bumiputera ditempatkan di bangunan ini sebelum berpindah ke bangunan sendiri.

    Hari ini keseluruhan bangunan bersejarah ini menjadi milik penuh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Pulau Pinang setelah membelinya pada tahun 1972 dengan harga RM 500,000 dan dinamakan Wisma Kastam. Bangunan ini kini bertindak sebagai Ibu Pejabat atau pusat pentadbiran Jabatan Kastam Pulau Pinang yang menempatkan Pejabat Pengarah Kastam Negeri dan Timbalannya, Bahagian Pengurusan Sokongan, Cawangan Perkhidmatan Teknik, Unit Pelesenan Bersetempat, Unit Urusetia Pelaksanaan dan beberapa unit kecil yang lain.