PERINGATAN IMAM AL-GHAZALI

Kehidupan kita seharian memang tidak dapat memisahkan
diri dari pemerintah/pemimpin. InsyaAllah, tazkirah
dari Imam Al Ghazali di bawah ini dapat dijadikan
iktibar supaya dapat memelihara diri dari kemurkaan Allah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1. Jangan bergaul dengan para pemimpin dan pembesar yang zalim,
malah jangan bertemu dengan mereka. Bejumpa dan bergaul dengan
mereka banyak padahnya. Dan sekiranya kamu terpaksa, maka jangan
sekali-kali memuji mereka. Kerana Allah amat murka sekiranya
orang fasik dan zalim dipuji. Dan sesiapa yang mendoakan panjang
umur mereka, maka dia sebenarnya suka agar Allah didurhakai di
muka bumi.

2. Jangan menerima apa-apa pemberian daripada golongan
pembesar, walaupun kamu tahu pemberian itu adalah dari
sumber yang halal. Sikap tamakkan pemberian mereka akan
merosakkan agama. Dari situ akan timbul rasa simpati terhadap
mereka. Kamu akan mula menjaga kepentingan mereka dan berdiam
diri terhadap kezaliman yang mereka lakukan. Ini semua akan
merosakkan agama. Dan sekecil-kecil mudarat ialah apabila
kamu menerima pemberian mereka, kamu akan merasa
sayang terhadap mereka. Seterusnya kamu akan mendoakan
agar mereka kekal lama pada kedudukan mereka. Mengharapkan
seseorang yang zalim itu kekal lama pada tempatnya,
adalah seperti mengharapkan kezaliman terus berpanjangan
ke atas hamba-hamba Allah dan agar alam ini musnah sepenuhnya.
Apa lagi yang lebih buruk daripada itu terhadap agama ini?
Kamujuga harus berwaspada agar tidak disesatkan oleh
syaitan melalui kata-kata sebahagian manusia kepadamu,
"Lebih baik kau ambil wang yang mereka berikan itu. Kamu boleh
membahagikannya kepada fakir miskin. Kalau engkau biarkan mereka
membelanjakan wang tersebut, sudah tentu mereka menggunakannya untuk
kemaksiatan." Sesungguhnya ramai manusia telah disesatkan oleh
syaitan dengan cara ini. Semuanya telah termaktub di dalam kitab
Ihya': carilah di sana.

(dipetik dari: PERINGATAN IMAM AL-GHAZALI, m/s 49-50)