Tazkirah
Jumaat 17 Safar 1419/12 Jun 1998

Oleh Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Faham Asabiyyah tidak berfaedah

Golongan perosak (Mubtilin) yang bertujuan meracuni pemikiran manusia, telah
melancarkan perang pemikiran dengan menuduh bahawa dakwah Muhammad s.a.w. telah
diperkukuh oleh faham asabiyyah Quraisy yang mengikat erat kalangan Bani Hashim dan
Bani Mutalib. mereka menyebarkan tuduhan itu setelah mendapati bahawa penyokong
Muhammad yang sanggup menempuh pelbagai kesengsaraan ketika menghadapi
kepungan bukan semua mereka dari kalangan mukmin, sebaliknya terdapat ramai di
kalangan mereka orang-orang kafir dan tidak mempercayai dakwah Islam yang
disampaikan oleh Nabi s.a.w..

Mereka beranggapan bahawa faham kebangsaan Arab itulah yang memperkukuh
kedudukan Nabi s.a.w. sehingga mereka sedikitpun tidak berganjak dengan keyakinan
masing-masing, meski-pun mereka telah dikepung dan ditimpakan kesengsaraan di
lembah "Sya'bi Bani Mutalib" selama kira-kira tiga tahun.

Kerjasama berasaskan semangat asabiyyah atau faham kebangsaan antara orang yang
beriman dan orang-orang yang kafir dari Bani Hashim dan Bani Mutalib, telah men-
cetuskan rasa perihatin mempertahan Muhammad s.a.w. dari ancaman pihak Quraisy
Makkah.  Mereka mempertahankan Muhammad kerana Muhammad s.a.w. adalah kerabat
mereka.

Pendapat yang mengatakan bahawa dakwah Nabi Mu-hammad s.a.w. bersandarkan faham
"asabiyyah `urubah" atau faham kebangsaan Arab Quraisy Bani Hashim dan Bani Mutalib,
hujahnya ialah puak kafir dari keturunan Bani Hashim dan Bani Mutalib turut sama
mempertahankan Muhammad s.a.w..

Jika pendapat itu diterima adalah suatu kekeliruan yang secara terang-terang telah
disengajakan dan juga satu kesalahan yang  besar, sedangkan pendapat itu tidak
mempunyai sebarang sandaran walaupun berasaskan lojik.

Apa yang sebenarnya ialah kalangan orang-orang kafir Bani Hashim dan Bani Mutaliblah
yang berpegang dengan faham asabiyyah Quraisy, kerana mereka bermati-matian mem-
pertahankan Muhammad s.a.w. yang sedarah seketurunan dengan mereka, sekalipun
mereka tidak sefahaman dan tidak beriman dengan ajaran Islam yang disampaikan oleh
Nabi s.a.w..

Mereka menganggap soal agama adalah masalah individu, yang penting bagi mereka ialah
menyayangi batang tubuh Muhammad s.a.w. dan wajib di pertahankan kerana Nabi adalah
keluarga mereka.

Demikianlah semangat kebangsaan yang dipertahankan oleh golongan orang-orang kafir
Quraisy, suatu fahaman yang tidak mempunyai prinsip, suatu fahaman yang tidak terikat
dengan konsep salah atau benar, me-nyokong tanpa mengira salah atau benar.

Adalah jelas ba-hawa fahaman kebangsaan itu bercanggah dengan Islam, kerana Islam
adalah agama samawi berasaskan kebenaran wahyu Allah SWT. Yang benar
dipertahankan, yang salah tetap ditentang biarpun ia datang dari saudara dan kaum
keluarga sendiri.

Lantaran itu adalah tidak benar tuduhan golongan yang cuba memesongkan pemikiran
umat manusia, yang mengatakan bahawa seruan dak-wah Nabi s.a.w. bersandarkan
kepada faham asabiyyah Arab. Sebaliknya golongan kafir Quraisy keturunan Bani Hashim
dan Bani Mutalib yang berjuang berdasarkan asabiyyah Arab.

Mereka yang berjuang atas dasar kebangsaan boleh mengambil dua tindakan yang
bertentangan, misalnya dari segi agama mereka tidak sokong Nabi s.a.w., tetapi dari segi
faham asabiyyah mereka mempertahankan Nabi s.a.w. disebabkan mereka adalah dari
satu rumpun keluarga.

Dasar asabiyyah yang mendorong mereka terpaksa ber-susah payah bersama Nabi,
sebenarnya sedikitpun tidak mendatangkan sebarang faedah kepada puak mereka.
Sokongan mereka kepada Muhammad s.a.w. tidak mengubah sikap penentangan kafir
Quraisy Makkah, malah permusuhan mereka semakin kuat.

Puak Bani Hashim dan Bani Mutalib yang kafir tidak dapat berbuat apa-apa sama ada
hendak menyedarkan, ataupun mengendurkan permusuhan kafir Quraisy Makkah
terhadap Muhammad dan Bani Hashim serta Bani Mu-talib.

Apa yang perlu difahami bahawa sokongan yang diberi oleh waris Nabi s.a.w. dari
kalangan yang kafir itu, bahawa sedikitpun tidak dapat melancarkan seruan dakwah Islam.
dan tidak dapat meredakan ketegangan yang dilakukan oleh kafir Quraisy, semangat ke-
bangsaan yang ditunjukkan oleh orang-orang kafir dari Bani Hashim dan Bani Mutalib
ternyata tidak mendatangkan sebarang faedah kepada puak mereka dan juga kepada Nabi
s.a.w..

Alangkah sia-sianya sokongan golongan kafir dari Bani Hashim dan Bani Mutalib ter-
hadap batang tubuh Nabi s.a.w., pengorbanan mereka tidak memberi sebarang kebaikan,
apatah lagi jika sekadar duduk bersama ke-lompok Nabi dalam masa yang begitu lama,
sedangkan me-reka tidak menyokong kerja-kerja dakwah Islam yang dibawa oleh  Nabi
s.a.w.. sudahlah tubuh mereka hingga menjadi kurus kering akibat menanggung
penderitaan.

Tiada gunanya mereka mengawal Muhammad dari ancaman Quraisy Makkah sedangkan
usaha mereka tidak menolong tugas dakwah Mu-hammad s.a.w., mereka sekadar
meramaikan jumlah manusia dalam kelompok Nabi.

Satu lagi tuduhan oleh golongan orientalis terhadap Nabi s.a.w. dan orang-orang mukmin
yang sanggup menderita menghadapi kepungan kafir Quraisy, Nabi dan para sahabatnya
sanggup menghadapi penderitaan akibat kepungan, kerana mereka sedang memimpin per-
juangan atau gerakan revolusi membela golongan miskin yang ditindas oleh golongan
mustakbirin Quraisy.

Meskipun penindasan terhadap golongan lemah merupakan perkara yang ditentang oleh
Islam, namun peranan seorang Nabi yang juga seorang Rasul ialah untuk menyelamatkan
manusia di dunia dan di akhirat dari kesesatan aqidah, mengem-balikan manusia kepada
keimanan terhadap Allah SWT dari pengabdian diri kepada sesama manusia dan segala
fahaman ciptaan manusia.

Ketahanan diri dan jiwa golongan mukmin bersama Nabi s.a.w. ketika menghadapi
tindasan di satu lembah yang terkepung, semata-mata kerana mereka yakin terhadap
kebenaran Islam yang bersumberkan wahyu Allah SWT.

Islam sememangnya menentang segala bentuk penindasan, namun tidak benar sama sekali
tuduhan yang mengatakan Nabi dan orang-orang mukmin yang sedang terkepung di
lembah "Sya'bi Bani Mutalib" sebagai pemimpin revolusi mengetuai golongan miskin
yang lemah, untuk melawan golongan kaya yang menindas.

Perjuangan Nabi dan para sahabatnya ialah untuk menyebarkan ajaran Islam yang syumul
mencakupi semua permasalahan hidup, bukan sekadar berjuang untuk membanteras isu
penindasan sahaja.