Mahasiswa yang cemerlang merupakan aset yang amat berharga kepada keluarga, masyarakat, negara dan umat sejagat. Mahasiswa merupakan bakal pemimpin dan agen perubahan kepada masyarakat dan negara. Sudah pastilah negara memerlukan waris dalam kepimpinan pada masa hadapan.

Sekiranya mahasiswa dibiarkan berada dalam keruntuhan akhlak, budaya, kebendaan, cara hidup yang tidak bertamadun, sudah pastilah negara akan mengalami kehancuran. Bila saatnya, tidaklah dapat ditentukan tetapi pasti akan berlaku.

Gerakan Mahasiswa Lantang Negara atau Siswa Lantang ditubuhkan untuk mengembalikan arah mahasiswa (siswa dan siswi) kerana dengan adanya badan sukarela ini, mahasiswa dapat membentuk satu matlamat, membuat rombakan serta perubahan di dalam kepentingan masyarakat mahupun negara.

Terbentuknya wadah perjuangan ini adalah untuk membawa mahasiswa ke alaf baru yang pastinya lebih mencabar dalam memenuhi tuntutan madani.

Dalam menuju alaf baru, serba-serbi aspek kehidupan manusia adalah canggih. Ini memaksa kehidupan belia di institusi pengajian tinggi perlu dikaji semula. Keruntuhan moral, gejala sosial, pergaulan bebas mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi perlu dikaji dengan lebih serius.

Penswastaan pusat-pusat matrikulasi, sistem 'francais', kenaikan yuran yang mendadak, penginapan yang tidak selesa, tenaga pensyarah yang tidak selesa, serta beban kursus yang terlalu berat membuatkan mahasiswa merasakan begitu tertekan.

Keprihatinan mahasiswa kepada dasar-dasar kepemimpinan negara, kefahaman yang benar tentang dasar kepemimpinan dan kepengikutan, peranan mahasiswa sebagai pewaris kepemimpinan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), kebebasan bersuara, akta universiti dan kolej universiti adalah antara perkara yang perlu diberi penjelasan sewajarnya agar mahasiswa tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik tetapi juga menyiapkan diri untuk menghadapi masa depan yang mencabar apabila tamat pengajian kelak.