Module


Tahukah anda
bahawa permainan seperti Jazz Jackrabbit, Crusader - No Remorse dan Turrican adalah antara perisian yang menggunakan MOD (singkatan Module) untuk muzik latarbelakangnya. Ia mampu menghasilkan bunyi yang dikatakan lebih baik berbanding MIDI. Apa yang dimaksudkan dengan "baik", bacalah penerangan lanjutnya di bawah.

Apakah MOD?

Fail MOD ialah sejenis fail muzik yang dikomposikan dengan beberapa sampel bunyi digital dan kesemuanya disusun mengikut paten-paten tertentu. Format ini mula popular sejak zaman kegemilangan AmigaPC dan Atari (80an dulu) dan tidak lama selepas kad bunyi SoundBlaster 8bit diperkenalkan untuk IBM-PC, ia dibawa ke platfom tersebut dalam beberapa perisian permainan. MOD berbeza dengan MIDI kerana kesemua sampel bunyi yang diperlukan terkandung dalam fail tersebut. Oleh itu jenis bunyi instrumen yang diperlukan dalam fail MOD tidak terhad dan tidak bergantung kepada jenis kad bunyi yang digunakan.

Populariti MOD

Sesetengah komposer muzik luar negara menghasilkan muzik MOD dan memperkenalkan karya mereka di BBS dan laman web, bertujuan untuk mengasah bakat mereka dan mengiklankan diri kepada badan-badan tertentu. Komposer-komposer terkenal termasuklah Elwood, Leviathan, Mick Rippon dan Novus (hasil karya mereka tidak kurang hebat berbanding Robert Miles & DJ Quiksilver) dan mereka menggunakan perisian seperti Impulse Tracker, MODplug Tracker dan ScreamTracker untuk menghasilkan muzik MOD.

Antara laman web yang menjadi pusat pengumpulan dan pengedaran MOD (selain halaman web ini) ialah ModArchive, MODPlug, MODRing dan TraxInSpace.

Kelebihan MOD berbanding MIDI, WAV & MP3

Tidak seperti MIDI, MOD mempunyai kualiti muzik yang tinggi tanpa memerlukan perkakasan tertentu dan mahal. Sekurang-kurangnya IBM 286+ serasi dan implementasi PC speaker, LPT1/LPT2 DAC, Adlib atau Sound Blaster dan perisian pemain MOD diperlukan.

Selain daripada di atas, saiz fail MOD yang menyimpan data muzik selama 1 minit atau lebih biasanya lebih kecil berbanding fail .WAV, .VOC, .MP3 atau .AU yang mengandungi muzik yang sama. Ini kerana sampel-sampel yang terkandung dalam MOD dimainkan berulang kali, mengikut paten-paten yang ditetapkan.

Jenis-jenis MOD yang diketahui

Terdapat pelbagai jenis format Modul, yang biasa diketahui ialah .MOD. Format-format lain (yang lebih kompleks) yang diketahui adalah:
    .669,
    .FAR (Farandole),
    .IT (Impulse Tracker),
    .MTM,
    .S3M (Scream Tracker 3) dan
    .XM (eXtended Mod / Fast Tracker).

Download MOD

Dapatkan muzik MOD serta perisian yang berkaitan dengan klik di sini!

Nak komen atau nak tambah cerita? Tuliskan kepada fastrak@emux.net.