Alahai Ceri Yang Dilupakan

Pengarang: Zakaria Tamer

Tajuk Asal: Ya Ayyuha al-Karaz al-Mansiy

Terjemahan: Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University

KAMPUNG kami bersipongang apabila mendengar khabar bahawa Umar Kassim telah menjadi seorang menteri. Dan, inilah kampung kami pun alahai Umar! Masih lagi seperti dahulu. Penuh dengan bunga-bunga debu dan rumput-rumput yang kekuningan serta sungai-sungai yang dipenuhi oleh anak yang tidak berkasut.

Umar pongah seketika. Namun, dia berkata kepada ibunya: "Tiada guna ibu menangis. Anakmu ini bukan pergi ke tali gantung pun."

Ibunya menyapu air mata dengan jari-jarinya. Dengan nada yang tersekat-sekat, dia berkata kepada Umar: "Aku tidak ada sesiapa lagi di dunia ini kecuali engkau. Jagalah kesihatanmu alahai anakku! Desa adalah penyakit. Desa adalah kekotoran. Kasihan engkau. Seandainya kita kenal seseorang, pastinya engkau tidak akan dihantar ke sana."

Umar berkata kepada ibunya dengan penuh yakin: "Usahlah ibu bimbang. Anakmu ini bukanlah kaca yang mudah pecah."

Kampung kami bermandikan kegembiraan dan mengalu-alukan berita yang disiarkan melalui radio. Umar Kassim telah menjadi menteri. Maha suci Allah yang memberi tanpa menyoal. Benarlah kata orang : sesiapa berusaha akan berjaya.

"Menteri buat apa?"

"Dia akan diberi kereta yang lebih indah daripada gadis-gadis genit."

"Dia akan mendapat gaji pada setiap hujung bulan."

"Dia boleh makan daging biri-biri setiap harilah."

"Ketika dia melangkah masuk ke dalam bangunan kementeriannya, pegawai-pegawainya akan menggeletar dan memberi salam kepadanya seolah-olah dia Nabi Isa yang turun dari langit."

"Apa yang disuruh akan dibuat. Dia suruh hujan turun, hujan akan turun."

"Kalau dia suruh taukeh, adakah taukeh akan taat?"

Mata khalayak di kampung kami terjegil memerhati seorang pemuda yang turun dari perut bas yang tiba dari Damsyik. Kepalanya menojah langit. Matanya lembut dan tajam pada ketika yang sama. Dia memberi salam kepada kami bagaikan dia salah seorang daripada keluarga kami yang telah lama hilang dan jengul kembali. Dia berkata namanya Umar Kassim. Dia guru sekolah yang baru.

Seorang daripada kami berkata: "Kita patut pergi ke Damsyik untuk mengucapkan tahniah kepada Umar."

Seorang lain pula berkata dengan penuh semangat: "Kita patut pergi semua, lelaki dan wanita dan kanak-kanak."

Tiba-tiba yang ketiga pula menyampuk: "Lembu-lembu dan kambing-kambing dan ayam-ayam dan arnab-arnab patut juga dibawa."

"Semua cadangan itu baik-baik belaka. Tetapi, siapa yang akan membayar tambang bas? Adakah kita semua akan berjalan kaki ke sana?" celah seorang yang lain.

Keadaan yang bercempera tadi menjadi senyap seketika. Seorang lelaki tua tampil ke hadapan dan berkata: "Cukuplah seorang sahaja daripada kita yang pergi untuk mengucapkan tahniah mewakili kampung kita. Tahulah dia keadaan kita dan tentunya dia tidak marah kepada kita."

"Tetapi, siapa yang hendak pergi?"

Orang tua itu berkata: "Pilihlah sesiapa yang kamu suka. Abu Fayyaz misalnya."

Abu Fayyaz cuba menolak, tetapi suara-suara kami lebih kuat.

"Kau yang paling bijak."

"Kau yang lebih tua."

"Kau petah berbicara walaupun dengan raja."

"Dulu Umar sayang akan kau."

"Dia selalu minum teh di rumah kau."

"Dia suka percakapan kau."

"Dia rakan kau."

Abu Fayyaz berkata: "Tetapi Umar juga sahabat tuan-tuan. Dia juga sayang akan tuan-tuan. Adakah tuan-tuan sudah lupa?"

Umar memandang kepada budak-budak yang senyap di atas kerusi. Dia berkata kepada mereka: "Saya cikgu kamu yang baru. Nama saya Umar. Umar Kassim. Saya suka akan murid yang tekun. Orang-orang yang malas, lebih baiklah mereka menjauhkan diri mereka daripada kemalasan. Kalau tidak…"

Seorang lelaki yang sudah pun beruban menjulang anaknya yang baru lahir sambil berkata di dalam hatinya: "Aku akan namakan dia Umar, seperti nama datuknya juga". Dia memandang ke arah isterinya yang terkedang sambil ketawa. "Kalau dia tahu apa yang akan menunggunya, tentu dia tidak mahu dilahirkan. Hari aku mati nanti, aku tidak akan mewariskan apa-apa kepadanya kecuali bajuku ini," kata lelaki itu kepada isterinya.

Kami berkata kepada Abu Fayyaz: "Usahlah kau menolak. Kau akan pergi ke Damsyik. Kau akan mencium tangan Umar dan akan mengucapkan tahniah kepadanya."

Abu Fayyaz pun mengalah dengan kehendak kami. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju.

Ketua kampung kami berkata kepada Umar: "Cikgu! Sampai sekarang cikgu masih belum melawat taukeh."

"Haruskan saya melawatnya sedangkan saya tidak mengenalinya dan dia juga tidak mengenali saya?" balas Umar.

Ketua kampung kami berkata lagi: "Bijaksana penting. Taukeh akan menolong cikgu. Semua tanah yang cikgu lihat di sini adalah kepunyaan taukeh."

"Ayah dan ibu saya tidak pernah mengajar saya akan kebijaksaan dengan taukeh. Tugas saya di sini adalah mengajar kanak-kanak membaca dan menulis," potong Umar dengan pantas.

"Katakan kepada Umar kita masih lapar!"

"Lapar semakin bertambah!"

"Hampir-hampir makan batu!"

"Beritahu dia tentang serangga yang memakan kita!"

"Dan tentang daging yang sudah kita lupa rasanya!"

"Tentang penyakit-penyakit kita!"

"Katakan sahaja kita perlukan doktor dan ubat!"

"Kita perlukan air ang bersih untuk diminum!"

"Katakan padanya tentang kerinduan kita pada cahaya elektrik!"

"Tentang taukeh dan perlakuanya juga!'

"Kita menanam dia menuai!"

Ketua polis berkata kepada Umar: "Demi Allah, cikgu! Aku anggap kau seperti adikku sendiri. Aku cuma ingin menasihati engkau. Kau bebas. Kalau mahu, kau ikut. Kalau tidak, lontarkan sahaja nasihatku ini ke belakangmu. Kau selalu bersama-sama peladang-peladang. Sebagai guru, kau tidak patut bersama-sama mereka. Guru ialah personaliti yang dihormati."

"Peladang-peladang itu baik," kata Umar.

"Kau bercakap sesuatu kepada mereka. Kalau taukeh dengar, taukeh akan marah. Kalau taukeh marah, tuhan sahaja yang tahu apa akan terjadi," balas ketua polis.

Seorang pemuda menjerit: "Dengar sini! Kalau Abu Fayyaz hendak pergi, dia patut membawa hadiah kepada Umar."

Suara-suara kami terus bersipongang. Bersetuju.

"Tapi apa hadiahnya?"

"Kambing-kambing dan ayam-ayam!"

"Hadiah ini tidak sesuailah."

"Apa hadiahnya yang sesuai?"

Sebaik-baiknya sebakul ceri kampung kita," kata Abu Fayyaz. "Masihkan kamu semua ingat betapa Umar suka akan ceri kampung kita. Dia selalu memuji warnanya yang merah. Merah itu kepenatan kita. Darah kita."

Kami semua bersetuju dengan Abu Fayyaz.

Dahulu Umar pernah berkata: "Kezaliman tidak akan berkekalan."

Katanya lagi: "Bagaimana kamu menerima hidup yang hina ini?"

"Mata kami hanya mampu melihat. Tetapi tangan kami pendek," jawab kami.

"Tangan pendek sebab hati pengecut," balas Umar dengan cenge.

Malam yang terang-benderang menjelma. Kampung kami tidur dengan sejahtera. Kami semua sudah lama hidup dibelenggu kemiskinan. Tubuh-tubuh kami terhegeh-hegeh menanti hari-hari bahagia ketika mendengar kata-kata Umar seolah-olah dia hidup untuk selam-lamanya di hati-hati kami dan hati-hati gemulah kami juga.

Ketika matahari naik di kampung kami, orang lelaki dan perempuan dan kanak-kanak berhimpun mengepung bas yang akan berangkat ke Damsyik.

Sebelum Umar memasuki perut bas, dia berkata: "Taukeh mempunyai kedudukan yang tinggi dan dihormati di Damsyik. Dia telah menukarkan saya daripada kampung tuan-tuan kerana saya tidak menjadi baruanya dan kerana saya sayang akan tuan-tuan. Hari yang akan membebaskan tuan-tuan daripada taukeh dan rakan-rakannya bukanlah jauh. Bahkan terlalu hampir. Tuan-tuan sendiri akan menyaksikannya. Bukan cucu-cicit tuan-tuan. Tanah-tanah yang tuan-tuan kerjakan sekarang akan menjadi milik tuan-tuan."

Dan Abu Fayyaz pun menaiki bas bersama-sama sebakul buah ceri yang merah menyala.

Ketika matahari hampir terbenam, kami mendengar bunyi bas datang dari Damsyik. Kami bergegas ke sebuah padang yang lapang. Abu Fayyaz turun dari bas yang tiba dengan wajah yang kemasai dan renggeh. Tangannya masih kukuh memegang bakul buah ceri.

"Kau tidak jumpa diakah?"

"Apa dia kata pada kau?"

Abu Fayyaz diam seolah-olah dia bisu semenjak dilahirkan. Dia meletakkan bakul yang masih penuh berisi buah ceri ke tanah. Dia mula msuaranya yang serak kepada budak-budak: "Mari sini! Makanlah buah ceri ini! Dan bilamana kamu besar nanti, jangan pula kamu lupa akan rasanya!"

Kemudian dia berjalan menuju ke rumahnya. Kami membuka laluan supaya dia dapat bergerak. Kami terus bertanya Abu Fayyaz: "Cakap dan beritahulah kami apa yang akan terjadi!"

"Umar sudah mati," kata Abu Fayyaz.

Kami semua menjadi marah bagaikan ibu kami telah mati. Sementara Abu Fayyaz pula terus berjalan. Belakangnya semakin renggeh dan renggeh.