Fatwa Ulama Islam Tentang Hukuman Orang Yang Menolak Al-Sunnah Al-Sohehah Sebagai Sumber Perundangan Islam

Oleh: Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University, Jordan.

ULAMA telah sepakat mengatakan bahawa al-Sunnah al-Sohehah merupakan sumber perundangan Islam. Berikut dibawakan fatwa ulama-ulama Islam tentang hukum sesiapa yang menolak al-Sunnah al-Sohehah.

Al-Quran yang merupakan sumber primer kepada syariat memerintahkan kita supaya taat kepada Rasulullah S.A.W. Firman Allah Taala di dalam al-Quran yang bermaksud: Dan dia tidaklah mengikut hawanya. Tetapi ucapannya itu merupakan wahyu yang diturunkan kepadanya (al-Najm: 3 dan 4). Wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah terbahagi kepada dua: Wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah yang merupakan mukjizat iaitu al-Quran. Kedua: Berita yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. yang merupakan penerang kepada ayat-ayat al-Quran. Firman Allah Taala lagi yang bermaksud: Untuk diterangkan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka (al-Nahl: 44). Dan kita juga mendapati bahawa mendengar dan taat kepada wahyu yang kedua samalah seperti mendengar dan taat kepada wahyu yang pertama. Firman Allah Taala yang bermaksud: Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul (al-Maidah: 92). I

Ibnu Hazem berkata: Kami telah diberitahu oleh Muhammad bin Nasr al-Maruzi bahawa Ishak bin Rahawaeh telah berkata: Sesiapa yang menerima satu khabar yang saheh daripada Rasulullah lalu dia menolaknya tanpa wujud waspada (taqiyyah), maka sesungguhnya dia telah menjadi kafir. (Ibnu Hazem, al-Ihkam, 1: 97).

Kata Ibnu Hazem lagi: Ali bin Ahmad telah berkata: Sesiapa yang sampai kepadanya satu khabar yang saheh daripada Rsulullah S.A.W., kemudian dia meninggalkannya lalu berpegang kepada Qias, atau mengambil kata-kata fulan dan fulan, maka sesungguhnya dia telah menyalahi perintah Allah dan perintah Rasulullah. Dia layak menerima azab yang begitu pedih (Ibnu Hazem, al-Ihkam, 1: 100).

Katanya lagi: Sekiranya seseorang berkata: Kami tidak mengambil sesuatu kecuali apa yang kami dapati di dalam al-Quran, sesungguhnya dia telah menjadi kafir. Sesiapa yang berkata bahawa solat itu hanya terdiri dariapda dua rakaat di antara gelincir matahari hingga terbenam matahari dan satu solat lagi pada waktu fajar kerana itulah yang disebutkan oleh al-Quran, sesungguhnya dia telah menjadi kafir dan darahnya halal ditumpahkan manakala hartanya pula halal dirampas (Ibnu Hazem, al-Ihkam, 2: 80).

Doktor Muhammad Mustafa Syalabi pula berkata: Dan sesiapa yang engkar terhadap al-Sunnah al-Sohehah, maka dia telah terkeluar daripada Islam kerana dia telah mengengkari dalil yang dogma. Tetapi kengkaran ini dipandang sekiranya dia menolak keseluruhan al-Sunnah al-Sohehah. Ini berbeza dengan al-Quran di mana seseorang yang menolak satu ayat daripada ayat-ayat al-Quran sudah menjadi kafir (Muhammad Mustafa Syalabi, Usul a-Fiqh al-Islami, 1: 124).