Diterjemah Daripada Dirasat Fi al-Fikr al-Arabi al-Islami, Irfan Abdul Hamid Fattah Oleh Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University.

Bab Pertama: Abu Hassan al-Asyaari.

ABU HASSAN AL-ASYAARI ialah bapa Ilmu Kalam Sunni (Reynold A. Nicholson, The Literary History of The Arabs). Beliau merupakan Hujjat al-Islam (Ignaz Goldziher, al-Aqidah wa al-Syariah). Namanya ialah Ali bin Ismail bin Ishak dan keturunannya berakhir pada sahabat Rasulullah S.A.W, Abu Musa al-Asyaari. Al-Asyar ialah salah satu kabilah Arab yang berasal dari Yaman Selatan. Al-Asyar ialah Nabt bin Adad yang berakhir pada Yaarab bin Qahtan.

Kebanyakan sumber mengatakan bahawa beliau dilahirkan di Basrah. Sebuah bandar yang memang sudah terkenal sebagai medan pemikiran dan kebudayaan antarabangsanya. Beliau dilahirkan pada tahun 260H/873M (Ibn al-Nadem, al-Fahrasat – al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad – Ibnu Asakir, Tabyin Kazb al-Muftari – Ibnu Khalikan, Wafayat al-A’yan – Ibn al-‘Imad, Syazarat al-Dzahab).

Beliau belajar al-Usul al-Khamsah (Rukun Iman al-Muktazilah) daripada gurunya yang juga merupakan bapa tirinya, Abu Ali al-Jubbai (303H/915M) yang merupakan seorang ulama al-Muktazilah di Basrah. Abu al-Hassan bin Muhammad al-Askari berkata: al-Asyaari merupakan murid al-Jubbai. Dia belajar, menuntut dan mengambil ilmu daripadanya. Beliau tidak pernah berenggang dengan al-Jubbai selama 40 tahun (Ibnu Asakir, Tabyin Kazb al-Muftari).

Taj al-Din al-Subki pula berkata: al-Asyaari punyai kudrat yang jauh lebih banyak daripada gurunya, al-Jubbai. Beliau adalah seorang penulis. Tetapi beliau kurang mahir di dalam perbahasan. Sekiranya timbul sesuatu isu yang memerlukan perbahasan, al-Jubbai akan berkata kepada al-Asyaari: Biarkan aku sahaja yang menggantikanmu (al-Subki, Tabaqat al-Syafieyyah).

al-Asyaari mahir di dalam Ilmu Fekah, Usul al-Din dan masalah-masalah khilaf. Beliau belajar Ilmu Fekah daripada Abu Ishak al-Maruzi. Kata al-Subki: Bukan sebuah buku yang mengatakan beliau belajar Fekah Syafei daripada Abu Ishak al-Maruzi. Dan Abu Ishak pula belajar Ilmu Kalam daripadanya. Sebab itulah beliau sering ada di dalam majlis Abu Ishak (al-Subki, Tabaqat al-Syafeiyyah).

Beliau juga meriwayatkan hadis daripada ulama-ulama yang sezaman dengannya seperti Ibnu Khalifah al-Jahmi, Sahl bin Nuh, Muhammad bin Yaakob al-Maqri dan Abd al-Rahman bin Khlaf al-Dhabbi terutama di dalam kitab tafsirnya, al-Mukhtazin (al-Subki, Tabaqat al-Syafeiyyah).

Selepas kematian gurunya, al-Jubbai, al-Asyaari berpindah ke Baghdad dan meninggal di sana. Ibnu Hazem al-Andalusi mengatakan bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 324 (Lihat al-Subki, Tabaqat al-Syafeiyyah).

Bab Kedua: Buku-buku Karangan al-Asyaari

Doktor Abd al-Rahman al-Badawi cuba mengemukakan senarai lengkap buku-buku karangan al-Asyaari dengan menyatakan bilangan buku yang disenaraikan sendiri oleh al-Asyaari di dalam al-Amd. Ibnu Asakir berkata bahawa bilangan buku-buku al-Asyaari ialah 69 buah. Ibnu Asakir mengambil jumlah ini daripada Abu Bakar bin Fork yang berkata: Inilah buku-buku yang ditulis olehnya sehingga tahun 320H. Jumlah ini tidak termasuk percakapannya yang disalin oleh orang lain lalu dibuat buku dan juga jawapan-jawapan tentang berbagai-bagai masalah.

Selepas itu beliau hidup sehingga tahun 324H. Dan pada masa itu ada lagi buku-buku lain yang dikarangnya. Disebutkan bilangannya ialah sebanyak 26 buah. Kata Ibnu Asakir: Inilah bilangan yang disebutkan oleh Ibnu Fork. Dan ada juga buku karangannya yang pernah saya lihat tetapi tidak ditulis oleh Ibnu Fork. Dia menambah 3 buah buku lain menjadikan jumlahnya 98 buah (Ibnu Asakir, Tabaqat al-Syafeiyyah).

Di antara buku-buku ini yang telah dicetak sehingga sekarang ialah:

1. al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah: Dicetak pada kali pertama di Haydarabad, India pada tahun 1321H dan diulang cetak pada tahun 1367H. Kemudian cetakannya muncul di Kaherah pada tahun 1348H. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh W.C. Klein di bawah tajuk The Elucidation of Islam’s Foundation, New Haven, 1940, American Oriental Series, Volume 19. Selepas itu W. Thompson melakukan ulang-kaji yang berupa kritikan kepada terjemahan ini di dalam majalah Islamic World bilangan yang ke-32, tahun 1942.

Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari mengkritik cetakan yang tersebar di kalangan pembaca. Katanya: Cetakannya telah diselewengkan. Tangan-tangan yang berdosa telah mempermainkannya. Buku ini harus dcetak semula berpandukan manuskripnya yang asal (Lihat nota kaki buku Tabyin Kazb al-Muftari yang dikemaskini oleh beliau).

Goldziher pula mengatakan: Buku ini merupakan buku panduan utama bagi sesiapa yang ingin mengetahui sejarah akidah Islam. Seterusnya dia berkata: Di dalam buku ini, beliau mengemukakan pendapat mazhabnya yang muktamad. Apa yang dikatakan oleh Goldziher ini telah pun diperkatakan oleh ulama-ulama Hanbali sejak dahulu lagi. Mereka mengatakan bahawa al-Ibanah ialah bukti yang muktamad tentang kepulangan al-Asyaari kepada mazhab salaf dan ahli Hadis. Beliau juga telah menanggalkan terus metodologi Ilmu Kalam (Lihat Hamad bin Muhammad al-Ansari, Abu al-Hasan al-Asyaari).

2. Risalatu fi Istihsan al-Khaudz fi al-Kalam: Juga dicetak buat pertama kali di Hydarabad, India. Cetakan pertama ialah pada tahun 1323H. Manakala cetakan kedua pula pada tahun 1344H. Kemudian diulang cetak dengan terjemahan di dalam bahasa Inggeris oleh Father Richard Joseph Macarthy al-Yasu’i. Buku ini turut juga disertakan bersama-sama terjemahan sebuah lagi buku al-Asyaari yang bertajuk al-Luma’. Macarthy melihat: Buku ini boleh jadi bukan karangan al-Asyaari. Tetapi buku ini merupakan karya ulama-ulama yang terkemudian daripada al-Asyaari. Kemudian dia berkata: Namun begitu, pada waktu ini saya merasa cenderung bahawa risalah ini adalah satu pameran yang benar bagi pemikiran al-Asyaari di dalam perkara ini. Di kebanyakan tempat walaupun tidak di semua tempat.

Begitu juga dengan pendapat Doktor Abd al-Rahman al-Badawi yang mengatakan bahawa risalah ini ditulis oleh ulama-ulama Asyaari yang terkemudian sedikit daripada zaman al-Asyaari sendiri. Katanya: Masalah mencebur diri (al-Khaudz) di dalam Ilmu Kalam atau berpegang-teguh dengannya ialah masalah yang datang selepas zaman al-Asyaari.

Saya berpendapat bahawa pendapat ini ialah pendapat yang tidak betul. Hal ini demikian kerana masalah dalil akal di dalam akidah Islam merupakan perkara yang menjadi punca perbalahan yang sengit di sepanjang zaman. Semenjak kemunculan al-Muktazilah lagi. Selepas itu muncul pula di kalangan pengikut madrasah-madrasah Ilmu Kalam dan pembantu-pembantu golongan Salaf yang mengharamkan pengikut-pengikutnya berkecimpung di dalam masalah-masalah akidah dengan alasan bahawa menceburkan diri di dalam masala-masalah ini bid’ah. Agama bagi mereka tidak boleh diambil daripada sumber lain kecuali daripada Syarak. Akal bagi mereka – seperti kata Ibnu Khaldun – terpisah daripada melihat di dalam Usul al-Din (Ibnu Khaldun, al-Muqaddimah).

3. al-Luma’ fi al-Raddi ‘ala Ahl al-Zaigh wa al-Bida’: Diterbitkan oleh Father Richard Joseph Macarthy al-Yasu’i di Beirut pada tahun 1953M beserta terjemahannya di dalam bahasa Inggeris yang bertajuk The Theology of al-Asyaari. Cetakannya yang kedua pula muncul di Kaherah yang diselia oleh Doktor Hamoudeh Gharabeh yang diletakkan di depan risalahnya tentang al-Asyaari dan mazhabnya pada tahun 1953. Sebahagian daripada buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman oleh J. Hell dengan tajuk Von Muhammed bis Ghazali.

4. Maqalat Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musollin: Diterbitkan oleh Helmut Ritter pada tahun 1929M-1930M di Istanbul yang merangkumi kumpulan terbitan-terbitan Islam di dalam 2 jilid. Dia merujuk 5 manuskrip ketika menerbitkan buku ini. Kemudian, buku ini dikeluarkan pula oleh Mahy al-Din Abd al-Hamid tanpa kritikan di Kaherah di antara tahun 1950-1954.

5. Risalah yang ditulis kepada penduduk-penduduk sempadan di Bab al-Abwab: Diterbitkan oleh Qawam al-Din di dalam jilid ke-7 tahun 1928 daripada Ilahiyet Fakulti Majmui di Istanbul.

Bab Ketiga: Akidah al-Asyaari

Montgomery Watt mbahawaal-Asyaari berada di penghujung sejarah Ilmu Kalam dan permulaan lembaran baru yang mengiringinya. Ini bermaksud bahawa usaha yang dilakukan oleh al-Muktazilah untuk sampai ke tkeseimbanwahyu dan akal telah gagal. Hal ini demikian kerana mereka terlalu berlebih-lebihandi dalam menggunakan akal sehingga berakhir kepada – seperti kata ulama-ulama al-Asyaairah yang terkemudian – penetapan akidah yang berpunca daripada buatan akal (A Crade Rational Dogma). Kepercayaan ini merupakan kepercayaan yang beku, hilang kebenaran dan hilang perasaan sebagai makhluk di depan Allah Taala (Lihat W.M. Watt, Predestination and Free Will in Early Islam).

Ketika memperkatakan tentang pengikut-pengikut al-Jubbai, al-Syahrustani berkata: Mereka menetapkan syariah akal. Dan menolak syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W serta menolak ketaatan yang tidak sealiran dengan akal (al-Syahrustani, al-Milal wa al-Nihal).

Inilah juga yang dikatakan oleh al-Ghazali sebagai: Perkara-perkara berkenaan ketuhanan mestilah sesuai dengan al-Muktazilah (al-Ghazali, Ihya Ulum al-Din dan al-Iqtisad fi al-I’tiqad).

Daripada kritikan terhadap riwayat yang memperkatakan tentang keluarnya al-Asyaari daripada al-Muktazilah, kelihatan bahawa al-Asyaari menemui jalan buntu di dalam metodologi al-Muktazilah. Kadang-kala beliau merasa bingung dan bimbang. Ada kala beliau merasa dalil-dalil sudah cukup dan pada ketika yang lain beliau melihat di dalam mimpinya.

Ahmad bin al-Husein berkata: Saya telah mendengar rakan-rakan saya mengatakan: Bilamana Syeikh Abu al-Hasan al-Asyaari yang dirahmati Allah telah mahir di dalam Ilmu Kalam al-Muktazilah sehingga sampai ke puncaknya, beliau bertanya kepada dua orang gurunya di dalam satu pelajaran. Namun, beliau tidak mendapati jawapan yang dapat memuaskan hati daripada kedua-duanya. Soalan itu bersangkutan dengan prinsip kewajipan melakukan sesuatu yang lebih baik dan nama-nama Allah. Adakah perkara ini merupakan ketentuan daripada Allah ataupun sumbernya daripada kiasan bahasa.

Ada sesetengah riwayat menceritakan bahawa beliau telah berkata: Pada suatu malam dadaku dihempap sesuatu. Lalu aku pun bangun dan mengerjakan solat dua rakaat. Aku mendoakan agar Allah memberikan petunjuk kepadaku. Selepas itu aku pun tidur. Di dalam tidurku, aku melihat Rasulullah S.A.W. lalu aku pun mengadulah kepadanya tentang masalah yang sedang aku hadapi. Baginda pun bersabda kepadaku: Berpeganglah dengan sunnahku (Ibnu Asakir, Tabaqat al-Syafeiyyah).

Ada juga yang mengatakan cerita ini hanyalah legenda semata-mata (Ignaz Goldziher, al-Aqidah wa al-Syariah). Dan mimpi ini bertentangan dengan realiti kerana perasaan syak ini bermula dan bertambah-tambah sehingga membawa kepada perubahan dan perisytiharan yang rigid. Ini bertentangan dengan pandangan yang hampir-hampir memberi gambaran tentang perubahan yang menggejut (Abdul Rahman Badawi, op. cit., 497). Manakala Montgomery Watt pula mengatakan bahawa Ilmu Psikologi mengharuskannya. Mimpi serta pandangan sewaktu tidur ini merupakan perasaan bimbang yang wujud yang telah sampai ke kemuncaknya lalu membawa kepada perubahan yang tidak disangka-sangka (Montgomery Watt, op. cit., 137).

Henry Bergson berkata: (Penglihatan, bayangan di dalam mimpi dan khabar yang baik melalaui mimpi ialah keadaan yang pelik. Keadaan ini merupakan keadaan yang berada di luar dugaan. Disertai dan didahului oleh keadaan kebangkitan kerana keadaan ini merupakan sejenis sakit. Keadaan ini senang kalau kita dapat gambarkan sebagai perubahan menggejut yang bermula daripada keadaan senyap kepada pergerakan. Daripada tertutup kepada terbuka (Bergson, Manba'aa al-Din wa al-Akhlaaq, terjemahan Arab oleh Doktor Saami al-Droubii, al-Haiah al-Misriayyah li al-Ta'lif, 229).

- Dan barangkali, realiti juga kalau kita berhenti seketika merenung hakikat pendirian al-Asy'aari dan peranannya di dalam mengasaskan (pengharusan dalil akal) di dalam usul keimanan yang tetap yang telah disampaikan secara wahyu. Hal ini boleh dilihat menerusi takrif dan peringatan ke atas tajuk-tajuk perbezaan di antaranya dengan al-Muktazilah yang telah diperincikan oleh buku-buku yang menceritakn tentang beliau.