Gerakan Anti-Hadis Pada Zaman Dahulu

Oleh: Dr Mustaffa as-Siba'i.

Terjemahan: Raziff Zaini, Al AL-Bayt University.

Pada kurun kedua hijrah, telah muncul satu golongan yang menolak as-Sunnah sebagai salah satu sumber perundangan Islam. Golongan ini terdiri daripada mereka yang menolak hadis yang diriwayatkan bukan secara mutawattir (Hadis Ahad) dan juga terdiri daripada golongan mengatakan bahawa hadis bukanlah penerang kepada al-Quran dan bukan juga penguat kepadanya, malah ia merupakan satu hukum yang terpisah daripada al-Quran.

Dan orang pertama yang menjawab golongan anti-hadis ini ialah Imam Al-Syafie di mana beliau telah menulis di dalam bukunya "Jama' al-Ilm" dari kitabnya "al-Um" di dalam bab khas. Di dalam buku-bukunya tersebut Al-Syafie telah menyebut tentang perdebatannya dengan satu golongan yang dikenali sebagai golongan anti-hadis ini. Beliau juga telah meletakkan bab khas di dalam bukunya "Ar-Risalah" tentang berhujah dengan hadis ahad, sepertimana yang dinyatakan di dalam kitabnya "al-Um".

Imam Al-Syafie telah berkata:

Salah seorang dari golongan ini (anti-hadis) telah bertanya kepadaku: kamu dari kalangan Arab, dan al-Quran diturunkan di dalam bahasa kamu, dan kamu juga mampu menghafaznya, dan di dalamnya Allah S.W.T telah menurunkan hukum-hukumnya. Dan sekiranya seseorang itu berasa syak dan kurang jelas akan al-Quran, maka kamu akan menyuruhnya supaya memilih samada bertaubat ataupun dihukum bunuh.

Dan Allah S.W.T telah berfirman di dalam al-Quran: Menerangkan setiap sesuatu (an-Nahl: 89). Dan bagaimanakah kamu mengatakan kepada diri kamu dan orang ramai tentang perkara yang difardhukan oleh Allah dengan menyatakan bahawa ianya adalah am, dan sesekali kamu mengatakan ianya khas, dan buat kali yang seterusnya pula kamu mengatakan bahawa perintah di dalam al-Quran membawa maksud fardhu, dan seterusnya pula kamu mengatakan di dalam perintah ada dalil yang mungkin membawa maksud harus. Dan apa yang menyebabkan perbezaan ini berlaku di kalangan kamu adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh seseorang perawi dari seorang perawi yang lain, atau dua potong hadis atau lebih hinggalah sampai sanadnya kepada Rasulullah S.A.W.

Dan saya telah mendapati bahawa kamu dan mereka yang bersependapat dengan kamu tidak sedikit pun mengengkari orang yang kamu temui di kalangan perawi hadis tentang kebenaran dan kekuatan hafalan mereka. Dan saya lihat di kalangan mereka ini tiada seorang pun yang tidak melakukan kesilapan dan lupa semasa meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah. Bahkan kamu sendiri berkata: "Si polan telah melakukan kesilapan di dalam hadis ini, dan si polan ini pula telah membuat kesilapan di dalam hadis itu."

Dan kamu juga telah berkata: "Sekiranya seseorang itu berkata tentang hadis yang kamu benarkan dan juga hadis yang kamu larang berdasarkan sesuatu cara: sesungguhnya Rasulullah tidak pernah menyebut hadis ini dan kamu telah melakukan kesilapan atau satu penipuan, dan kamu tidak menyuruh mereka bertaubat, dan kamu berkata kepada mereka lagi: Berdosalah kamu di atas apa yang kamu katakan, adakah boleh kamu membezakan antara sesuatu itu dengan hukum-hukum di dalam al-Quran yang pada hakikatnya ianya adalah sama, dan kamu telah meletakkan berita yang dibawa oleh mereka (perawi) setaraf dengan al-Quran, dan kamu telah melarang dan mengharuskannya.

Imam Al-Syafie menjawab: Sebenarnya kami telah menetapkan satu lingkungan (keyakinan) dan dari aspek kebenaran sesuatu berita itu dengan qias. Dan sebab-sebabnya adalah berbeza dan sekiranya kami memberikan kesemuanya , maka sebahagian darinya adalah lebih kuat dari sebahagian yang lain . Contohnya , sekiranya seseorang itu telah berikrar dengan mengemukakan dalilnya , dan juga bersumpah , maka ikrarnya adalah lebih kuat dari dari dalilnya , dan segala dalilnya adalah lebih kuat daripada sumpahnya . Dan begitu juga , sekiranya kami meletakkan sesuatu itu pada satu keadaan , maka sebab-sebabnya adalah berbeza .

Musuh: “Berdasarkan pendapat kamu tadi, sekiranya kamu menerima apa yang di datangkan oleh mereka ( hadis ) , dan kamu juga telah mengemukakan tentang kriteria yang disyaratkan untuk menerima hadis dari mereka ini , maka apakah hujah-hujah kepada golongan yang menolak pendapat kamu ini ?? Dan bagi saya , saya tidak dapat menerima sedikit pun apa yang kamu katakan tadi , selagi mereka ini manusia yang mungkin melakukan kesilapan , maka saya tidak akan menerima kecuali menerusi keyakinan dan kepercayaan dan apa yang saya percaya al-Quran sahaja yang tidak mendatangkan sebarang syak kepada seseorang tentang kebenarannya , dan bukan dengan konsep lingkungan tadi . “

Al-Syafie: “ Aku akan berkata kepada mereka , apabila membicarakan tentang al-Quran dan hukum-hukamnya , di sana terdapat beberapa dalil yang menyatakan bahawa al-Quran itu sendiri memerlukan hadis-hadis yang benar diriwatatkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W samada dalam bentuk umum mahupun khas “ .

Kemudian Al-Syafie mengemukakan dalil yang menyokong pendapatnya dan berkata, firman Allah Ta’ala : Dialah yang mengutuskan kepada golongan ummi seorang rasul dari kalangan mereka untuk membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, membersihkan mereka dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah (al-Jumu’ah: 2).

Musuh: “ Maka telah kita ketahui bahawa “Al-Kitab” yang dimaksudkan dalam ayat tadi ialah al-Quran al-Karim , maka apa pula yang dimaksudkan dengan “Al-Hikmah” ?

Al-Syafie: “Sunnah Rasulullah S.A.W “

Musuh: “Dan mungkin juga apa yang dimaksudkan dalam ayat tadi ialah al-Quran itu diturunkan secara jumlah , dan al-hikmah itu bermaksud hukum-hakamnya yang khas ?”

Al-Syafie: “ Apa yang dimaksudkan di sini ialah penerangan kepada manusia tentang apa yang telah diturunkan oleh Allah , contohnya seperti hukum faraid (pembahagian harta ), sembahyang , zakat , haji dan sebagainya . Maka Allah telah menetapkan hukum di dalam al-Quran , dan Rasulullah pula menerangkan bagaimana ibadat-ibadat ini dilaksanakan .

Musuh : “ Itu mungkin juga satu andaian/kebarangkalian sahaja . “

Al-Syafie : “ Dan sekiranya kamu mengikut pendapat ini , maka kamu menerima bahawa al-Quran tidak akan difahami kecuali setelah diterangkan oleh Nabi S.A.W .”

Musuh: “ Dan bagaimana sekiranya saya mengatakan bahawa al-Quran dan al-Hikmah itu adalah suatu benda yang sama?"

Al-Syafie: “ Yang manakah lebih afdhal ( utama ) , al-Quran dan al-Hikmah itu adalah berbeza ataupun kedua-duanya adalah perkara yang sama ??”

Musuh: “ Mungkin juga ianya adalah dua perkara yang berbeza seperti yang kamu jelaskan tadi , dan mungkin juga kedua-duanya adalah perkara yang sama .”

Al-Syafie : “ Dan yang paling rajih ( tepat ) ialah pendapat yang pertama , kerana di dalam al-Quran terdapat dalil yang menguatkan hujah kami dan berbeza dengan pendapat kamu .”

Musuh: “ Mana dalilnya ? ”

Al-Syafie : “ Firman Allah Ta’ala : Dan bacalah ayat-ayat Allah dan Al-Hikmah yang dibacakan didalam rumah-rumah kamu , sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui ( al-Ahzab : 34) maka menerusi ayat ini bahawa telah dibacakan di rumah perempuan-perempuan itu dua perkara iaitu al-Quran dan as-Sunnah . Dan apa yang dimaksudkan dengan tilawah ( bacaan ) ialah bacaan al-Quran dan as-sunnah . ”

Musuh: “ Di dalam ayat ini menunjukkan bahawa al-Quran bukan bermaksud al-Hikmah adalah lebih tepat .”

Al-Syafie : “ Dan Allah telah mewajibkan kita mengikut Nabi Muhammad S.A.W. ”

Musuh : “ Mana dalilnya ? ”

As-Syafie : “ Firman Allah Ta’ala : Tidak ! Demi tuhanmu , mereka tiada juga beriman , sehingalah mereka meminta keputusan kepada engkau di dalam perselisihan mereka , kemudian mereka tiada memperoleh keberatan dalam hati mereka untyk menerima keputusan engkau dan mereka menerimanya dengan sebenar-benarnya. ( an-Nisa’ : 65) dan firman Allah lagi : Barangsiapa yang mentaati rasul,maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah (an-Nisa’ : 80 ) dan seterusnya firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7 : Sebab itu hendaklah takut orang yang melanggar perintah rasul itu bahawa mereka akan ditimpa fitnah ( ujian) dazab yang pedih.

Musuh : “ Tidak ada yang lebih utama pada kami tentang maksud Al-Hikmah adalah Sunnah RasulS.A.W , sepertima yang diperkatakaoleh sebahagian dari kami :“ Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada kami supaya menerima hukum Rasulullah S.A.W dan hukum-hukumNya Dialah yang menurunkannya ” Maknanya di sini , maka sesiapa yang tidak menerima hukum Allah , maka adalah lebih tepat jika kita katakan mereka ini menolak perintah Allah daripada kita mengatakan mereka ini menolak perintah rasul.

As-Syafie : “ Dan Allah telah menyeru kepada hambanya supaya mentaati segala perintahnya, sepertimana firmanNya yang bermaksud Apa yang didatangkan oleh Rasul kepada kamu , maka hendaklah kamu terima, dan apa yang dilarang olehnya maka hendaklah kamu tinggalkan ( surah al-Hasyr : 7)”

Musuh : “ Dan ayat ini menerangkan tentang penurunan al-Quran , maka adalah wajib bagi kita melakukan apa yang diperintahkan oleh rasul dan meninggalkan apa yang dilarang olehnya.”

As-Syafie : “ Adakah fardhu-fardhu yang disyariatkan kepada kita dan kepada umat yang sebelumnya sama ?”

Musuh : “ Ya ! ”

As-Syafie : “ Jika yang demikian , maka hendaklah kita mengikut apa yang diperintahkan oleh rasul kepada kita . Dan sekiranya difardhukan kepada kita sesuatu ibadat , adakah ianya diambil berdasarkan dalil yang memerintahkan supaya kita mengerjaknnya ? ”

Musuh : “ Ya ! ”

As-Syafie : “ Maka disini , adakah pada pendapat kamu cara untuk mengerjakan suruhan Allah ini yang telah diperintahkan oleh rasul kepada kamu atau ( kaum sebelum atau selepas kamu ) yang mereka ini tidak pernah bertemu dengan Rasulullah S.A.W kecuali dengan Hadis Al-Nabawi ??”

( Di sini , Imam As-Syafie menyebut tentang bagaimana dinasakhkan ayat-ayat al-Quran , dan tiada cara lain untuk mengetahui pemansukhan ayat-ayat al-Quran ini kecuali melalui hadis yang diriwayatkan oleh Nabi S.A.W )

Musuh : “ Dan sesungguhnya hujah kamu adalah kuat , dan kami menerima pendapat kamu dan menerima hadis dari Rasulullah S.A.W , dan saya hampir menerima pendapat bahawa Hadis menjadi pegangan seseorang muslim .” Kemudian musuh ini menerima pendapat yang dikemukakan oleh Imam As-Syafie dan menganggap ia satu kebenaran .

Musuh ini telah bertanya lagi kepada Imam As-Syafie kemudiannya , tentang permasalahan “ Umum ” didalam al-Quran , sesekali didatangkan dalam didalam al-Quran makna umum dan sesekali didatangkan makna khas . Maka Imam As-Syafie menerangkan bahawa bahasa Arab adalah bahasa yang sangat luas , dan kadangkala kita dapati mereka bertutur menggunakan lafaz umum akan tetapi maknanya adalah khusus , dan bilamana kita berbicara tentang pengkhususan yang umum , maka kita tidak akan dapati melainkan setelah merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah .

Kemudian Imam as-Syafie memberikan beberapa contoh tentang lafaz umum didalam al-Quran yang dikhususkan hukumnya oleh as-Sunnah seperti fardhu sembahyang ke atas mereka yang dituntut dan dikhususkan kepada mereka yang datang haidnya , dan fardhu zakat ke atas harta adalah umum kemudian dikhususkan kepada sebahagian dari harta tersebut (bukan kesemuanya ), dan wasiat kepada kedua ibu bapa kemudiannya dimansukhkan dengan turunnya ayat faraid ( pembahagian harta ) , dan harta warisan kepada kedua ibu bapa dan anak-anak dikhususkan bahawa orang kafir tidak boleh menerima wasiat dari seorang islam , dan dari seorang tuan tidak boleh diwariskan kepada hambanya dan dari seorang yang dibunuh tidak boleh diwarisi hartanya kepada pembunuhnya . Dan semua yang demikin itu adalah dari hadis , maka musuh tadi menerima bahawa tiada cara lain untuk mengetahui penerangan tentang hukum yang didatangkan oleh al-Quran kecuali melalui hadis .

Musuh : “ Dan saya masih berpendapat tentang perbezaan makna tadi , sehingga saya menyalahkan sesiapa yang mengikut golongan tersebut , dan di sana ada 2 jenis golongan : dan salah satu daripadanya tidak menerima as-Sunnah dan mengatakan di dalam al-Quran terdapat penerangan kepada semua hukum .”

As-Syafie : “ Apa yang menyebabkan semua itu ? ”

Musuh : “ Maka sampailah kita ke noktah yang penting , berkata seorang pemuda : Barangsiapa yang mendatangkan sesuatu atas perkataan solat , maka dia seolah-olah telah menunaikannya , walaupun ia mengerjakan solat dua rakaat pada setiap hari . Dan sebarang ibadat yang tidak terdapat di dalam al-Quran maka ianya bukan ibadat yang dituntut . Dan telah berkata yang lain : Apa yang terdapat di dalam al-Quran , maka diterima baginya hadis. Mereka ini seolah-olah menerima hadis setelah mereka menolaknya. Dan sebenarnya mereka ini tidak mengetahui tentang nasakh dan mansukh di dalam al-Quran serta lafaz am dan khas di dalamnya. Dan di sini jelas kelihatan kesesatan mereka , namun satu pertanyaan yang perlu dikemukakan , bolehkah kita mengharam sesuatu dengan adanya dalil zanni ?”

As-Syafie : “ Ya ! ”

Musuh : “ Apakah ia ? ”

As-Syafie : “ Apa pendapat kamu tentang lelaki ini ? Adakah diharamkam darah dan hartanya?

Musuh : “ Ya ! ”

As-Syafie : “ Sekiranya datang kepada kamu dua orang saksi , dan mengatakan bahawa lelaki ini telah didapati membunuh , dan merampas hartanya , apa yang pendapat kamu ? ”

Musuh : “ Saya akan bunuh lelaki tersebut dan hartanya akan dipulangkan kepada warisnya.”

As-Syafie : “ Dan pada pendapat kamu adakah saksi tadi mungkin melakukan satu penipuan atau satu kesilapan ?”

Musuh : “ Mungkin juga”

As-Syafie : “ Dan bagaimana kamu menghalalkan darah dan hartanya melalui dalil zanni atau hanya berpandukan 2 orang saksi ?”

Musuh : “ Aku menerimanya berdasarkan penyaksian tadi”

As-Syafie : “ Dan adakah kamu dapati di dalam al-Quran ada menyebut tentang penyaksian terhadap pembunuhan ?”

Musuh : “ Tidak , akan tetapi ianya difahami menerusi makna .”

As-Syafie : “ Dan sekiranya kamu berpendapat demikian , maka kamu secara zahirnya telah menerima penyaksian dua orang saksi tadi yang tidak mengetahui apa-apa tentang perkara ghaib ( peristiwa lepas dan akan datang ) kecuali Allah . Dan begitu, kami telah mensyaratkan kepada perawi hadis syarat yang lebih ketat daripada penyaksian tadi dalam meriwayatkan sesuatu hadis. Kami tidak menerima hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja , dan kami juga mengesan kebenaran dan ketidaksahihan sesuatu hadis itu menerusi perbandingan hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi dengan hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang lain dan juga menerusi al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri , dan dalam keadaan ini terdapat beberapa perkara yang yang tidak mungkin disyaratkan di dalam penyaksian .”

Dan setelah mendengar hujah-hujah Imam as-Syafie tadi maka musuh itu pun berpuas hati dengan penjelasannya dan menerima kepentingan as-Sunnah sebagai penerang kepada al-Quran . Maka di sini dapatlah kita membuat beberapa kesimpulan :

  1. Imam as-Syafie tidak menerangkan secara terperinci siapakah golongan ini yang sebenarnya , dan siapa pula syakhsiah sebenarnya orang yang telah kita bincangkan sebentar tadi. Dan Syeikh al-Khudri di dalam bukunya “Tarikh at-Tasyri’ al-Islami ” telah menjelaskan bahawa golongan yang dimaksudkan tadi ialah golongan “Mu’tazilah” (Dan Imam as-Syafie juga tidak menerangkan syakhsiah yang berpegang pada pendapat ini, sepertimana sejarah juga tidak menjelaskan siapakah golongan ini yang secara terperinci.
  2. Tetapi Imam as-Syafie di dalam perdebatannya yang seterusnya (dengan mereka yang menolak hadis secara keseluruhan) secara terangan telah mendakwa bahawa golongan ini berasal dari Basrah, dan Basrah sepertimana yang kita ketahui merupakan pusat gerakan falsafah (ilmu kalam) dan di sinilah lahirnya mazhab Mu’tazilah. Dan di sini jugalah dibesarkan para ulama’ mu’tazilah dan penulis-penulisnya , yang mana golongan ini terkenal dengan tentangan terhadap ahli Hadis . Dan diperkatakan bahawa pendapat yang telah kita bincangkan sebentar tadi merupakan sebahagian daripada golongan ini .

Pada pendapat saya (Dr. Mustafa as-Siba’i), kenyataan yang dikemukakan adalah kukuh sepertimana yang pernah saya lihat di dalam buku tulisan Abu Muhammad Abdullah Bin Muslim Bin Qutaibah yang berjudul “Takwil Mukhtalaf al-Hadis” yang mana beliau telah menyebut tentang pendirian ulama Mu’tazilah terhadap as-Sunnah .

Al-Khudri juga telah membuat kesimpulan bahawa fahaman ini lahir pada zaman Imam as-Syafie atau beberapa tahun sebelumnya , yang muncul di kalangan ula’ kalam. Dan kebanyakan ulama kalam ini berasal dari Basrah . Maka jelaslah kepada kita bahawa perdebatan antara Imam as-Syafie dengan golongan yang telah kita bicarakan sebentar tadi adalah terdiri dari golongan ulama’ kalam tersebut. Dan inilah pendapat yang rajih yang telah disimpulkan oleh Syeikh al-Khudri.

Tidak syak lagi, bahawa apa yang dimaksudkan dengan “pengingkaran terhadap as-Sunnah” ialah pengingkaran terhadap cara bagaimana sesuatu hadis itu diriwayatkan. Dan hal ini berkaitan juga dengan kekurangan dan kesilapan yang berlaku di kalangan perawi, dan berkaitan juga dengan kemunculan pereka-pereka hadis dan mereka yang cuba memalsukan al-sunnah.

Dan di sini dapat kita simpulkan bahawa mereka yang mengatakan bahawa al-Quran tidak memerlukan kepada hadis sebagai penerang, bukanlah kerana mereka ini menolak perkataan, perbuatan dan taqrir dari Rasulullah, malah setiap muslim itu sudah pasti tidak akan berbuat demikian. Bahkan tiada satu pun golongan di dalam Islam yang mengatakan bahawa taat kepada Rasulullah itu bukanlah satu kewajipan. Dan tiada juga golongan yang mengatakan bahawa perkataan dan perbuatan rasul itu bukanlah sumber perundangan Islam, kerana yang demikian itu bertentangan dengan hukum-hukum yang terdapat di dalam al-Quran serta ijma’ para sahabat dan kaum muslim.Dan mereka ini diketegorikan di dalam golongan yang menolak kenabian Nabi Muhammad S.A.W maka topik ini tidak termasuk di dalam skop perbincangan kita , malah apa yang penting di sini ialah pendapat-pendapat firqah islamiah , dan bukanlah pendapat mereka yang secara terang menolak Islam .

Imam as-Syafie telah menyebut di dalam kitabnya Jama’ al-‘llmi dari kitabnya al-Um: “ Saya tidak pernah mendengar satu pun golongan yang menolak perintah Allah supaya mentaati Rasulullah , dan menerima segala yang dibawa olehnya , dan Allah juga tidak akan menurunkan nabi lagi selepasnya. Dan tidak disyariatkan sesuatu hukum kecuali menerusi Al-Quran dan As-Sunnah. Apa yang didatangkan melalui kedua-duanya maka hendaklah diamalkan. Dan Allah juga telah memerintahkan kita serta generasi selepas kita supaya menerima apa yang disampaikan oleh Rasulullah ( Hadis ) kecuali satu golongan yang akan kita bincangkan sebentar nanti ( golongan yang telah kita bincangkan di atas )."

Dan tidak syak lagi , bahawa skop perbincangan kita tentang penolakan golongan tadi ke atas as-Sunnah adalah berkisar tentang kesahihan hadis itu sendiri.

Ibn Hazm telah berkata: “ Dalam menerangkan tentang Al-Quran asas sumber perundangan Islam , kami dapati bahawa di sana terdapat dalil-dalil yang menyeru kita supaya mentaati segala yang diperintahkan oleh Rasulullah , di sana juga kami dapati bahawa Allah S.W.T telah berfirman : Dan dia ( Nabi Muhammad ) tidak berkata dengan kemahuannya sendiri , itu hanyalah wahyu yang diwahyukan oleh Allah kepadanya ( surah an-Najm : 3 & 4 ).

Maka menerusi ayat ini jelaslah kepada kita bahawa wahyu itu terbahagi kepada dua bahagian yang pertama: ialah wahyu yang dibaca dan susunan katanya dianggap sebagai mu’jizat iaitu Al-Quran, dan yang kedua : ialah wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah dan disampaikan oleh rasul menggunakan bahasanya sendiri dan ianya tidak dianggap mu’jizat. Ia juga merupakan hadis yang didatangkan oleh Rasulullah S.A.yang mana asalnya datang dari Allah S.W.T .

Firman Allah Taala lagi : Supaya engkau terangkan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka ( surah an-Nahl : 44 ). Dan menerusi ayat ini pula Allah Taala telah memerintahkan kita supaya mentaati rasul sebagaimana kita mentaati Al-Quran.

Maka firmanNya lagi di dalam surah al-Maidah ayat 92 : Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul . Dan kenyataan yang kita kemukakan ialah merupakan salah satu dari tiga perkara yang wajib ditaati , sepertimana yang terdapat di dalam firman Allah yang lain di dalam surah an-Nisa’ ayat 59: Wahai orang-orang yang beriman! taatlah kamu kepada Allah. Dan di sini pula maksudnya adalah Al-Quran Dan taatlah kamu kepada rasulNya dan yang kedua ialah taat kepada rasul dan apa yang dimaksudkan di sini ialah hadis Nabi Muhammad S.A.W dan yang ketiga ialah Dan orang yang menguruskan kamu dan ayat ini bermaksud ijma’ yang sahih yang asalnya dari Rasulullah S.A.W .

Dan katanya lagi : “ Seseorang muslim itu tidak akan merujuk selain dari Al-Quran dan As-Sunnah ketika berasa syak di dalam bab tauhid . Dan sekiranya beliau masih berasa syak selepas merujuk kepada kedua-dua sumber ini maka hukumnya adalah fasiq, dan sekiranya beliau mengingkarinya maka hukumnya kafir”

Kata Ibn Hazm lagi : “ Sekiranya seseorang mengatakan bahawa , aku tidak akan mengambil sesuatu itu kecuali apa yang terdapat di dalam Al-Quran sahaja, maka ulama’ bersepakat bahawa hukumnya adalah kafir. Dan nescaya tidak diwajibkan ke atas mereka ini menunaikan solat kecuali satu rakaat di antara terbenamnya matahari dan malam , dan satu waktu lagi ialah pada waktu subuh (fajar). Dan orang yang mengatakan sedemikian adalah kafir , syirik dan dihalalkan darahnya dan hartanya.

Dan kata pula Imam As-Sayuti pula : “ Dan golongan yang mengingkari As-Sunnah dan hanya bergantung kepada Al-Quran sahaja, golongan ini beranggapan bahawa kenabian adalah hak Saidina Ali dan Jibril A.S telah melakukan kesilapan semasa menurunkan wahyu dengan menurunkannya kepada Nabi Muhammad S.A.W .”

Secara kesimpulannya , hujah-hujah golongan yang menolak Hadis ini adalah sepertimana yang diperkatakan oleh Imam As-Syafie : “ Sesungguhnya Al-Quran itu adalah penerang kepada semua perkara , dan sekiranya terdapat hadis tentang sesuatu hukum yang tidak terdapat di dalam Al-Quran , maka ia bersanggahan dengan apa yang didatangkan di dalam Al-Quran. Dan hadis (zanni) tidak kuat untuk menyalahi Al-Quran (qat’i), dan sekiranya hadis itu adalah penguat kepada Al-Quran , maka ikutannya adalah kepada Al-Quran itu sendiri dan bukannya As-Sunnah.

Dan setelah mendengar penjelasan ini, mungkin terlintas di fikiran kita bahawa golongan ini masih lagi berpegang pada Hadis yang diriwayatkan secara mutawattir kerana ianya dianggap qat’i thubut ( kukuh) , namun mengapa Imam As-Syafie menganggap mereka ini menolak hadis secara keseluruhan ? dan apa yang telah maklum , mereka ni tidak mengiktiraf mutawattir , malah apa yang kita bincangkan sebentar tadi mengenai hadis mutawattir mereka anggap ianya sebagai zanni.

Hal ini kerana mereka menganggap bahawa hadis walaupun ianya mutawattir , namun cara penyampaiannya adalah Ahad (zanni), dan periwat hadis berkemungkinan melakukan penipuan, walaupun ianya merupakan satu usaha pengumpulan yang dianggap suci. Dan di sini jelaslah apa yang telah diperkatakan oleh Al-Khudri bahawa pendapat-pendapat tadi datangnya dari golongan Mu’tazilah.

Dan secara keseluranhannya, pendapat-pendapat Imam As-Syafie tadi dapatlah kita ringkaskan seperti berikut :

  1. Allah memerintahkan kita supaya mentaati rasul, dan lafaz ini adalah umum samada mereka yang hidup semasa zaman Rasulullah sendiri atau pun selepasnya. Dan tiada cara lain bagi mereka hidup selepas kewafatan baginda untuk mentaatinya kecuali menerusi hadis (As-Sunnah ).
  2. Tidak boleh tidak kita mestilah merujuk kepada Hadis untuk mengetahui hukum – hakam yang terdapat di dalam Al-Quran. Dan nasakh dan mansukh juga tidak dapat diketahui kecuali menerusi hadis Rasulullah.
  3. Dan di sana terdapat noktah permuafakatan di kalangan kita dan mereka yang menolak hadis. Dan ianya tidak mungkin dapat diketahui kecuali menerusi hadis .
  4. Dan hukum syara’ sendiri mungkin mengkhususkan sesuatu hukum dengan zanni , contohnya penyaksian ke atas pembunuhan dan harta dengan dua orang saksi , dan hukum pembunuhan dan rampasan harta terdapat di dalam Al-Quran. Dan penyaksian dua orang saksi adalah disyariatkan menerusi dalil zanni tanpa sebarang khilaf ( perbezaan pendapat di kalangan ulama ).
  5. Dan Hadis sendiri sekiranya terdapat kemungkinan berlakunya kesilapan dan penipuan , akan tetapi hadis-hadis ini dikuatkan menerusi pengukuhan terhadap keadilan perawi, dan juga menerusi persamaan antara satu hadis dengan hadis yang lain , maka kemungkinan berlakunya kesalahan tadi dapat dihindari.
  6. Imam As-Syafie semasa menjawab tuduhan musuh tadi tidak menolak kata-kata mitu bahawa : SesunggAllah menerangkan segala-galanya di dalam Al-Quran , namun di dalam Al-Quran sendiri terdapat nas-nas yang memerintahkan supaya kita mentaati segala yang disampaikan oleh Rasulullah .