SHIT @ Pu**Mak @ PM: PERSEPSI MELALUI KACA MATA ISLAM DAN KRITIKAN ARAB KLASIK
Oleh: Abu Hussam, Jabatan Bahasa Dan Sastera Arab, Universiti Al al-Bayt, Jordan.
DI CELAH-CELAH keributan masyarakat memperkatakan tentang novel terbaru Sasterawan Negara, Dato’ Shahnon Ahmad yang bertajuk SHIT itu, ramai yang cuba berlatih menjadi pengkritik sastera walaupun ada sebahagian mereka yang tidak tahu sepatah pun tentang makna sastera. Ada yang mengaitkannya dengan Islam lalu mengatakan novel itu bertentangan dengan Islamlah. Ada juga yang menyifatkannya sebagai novel yang hanya layak dilucahkan sahaja. Ada juga yang mengeluarkan kritikan walaupun masih lagi belum menatap isi-kandungannya lagi termasuklah juga saya yang masih mencari-cari novel ini. Pesanan telahpun dibuat, namun tidak juga diperoleh.
Di dalam kegawatan ini, terserlahlah wajah masyarakat Malaysia yang kononnya ingin menjadi masyarakat maju menjelang 2020 nanti iaitu kemiskinan ilmu. Mungkin tulisan ini agak miring ke arah Shahnon kerana saya ialah penggemar karya-karya beliau. Tetapi biarlah. Kalau penyokong-penyokong Wirawan boleh menjadi taasub kepadanya dengan tidak mengira kesalahan Wirawan dan tetap meletakkannya di atas kepala mereka, saya juga boleh menjurus sedikit sebanyaklah kepada tuan punya SHIT.
“Novel SHIT Cabul Kemurniaan Islam”: demikianlah tajuk berita Berita Minggu 24 April 1999. Saya tidak tahulah adakah Shahnon menulis kitab fekah ajaran sesat yang layak disamatarafkan dengan Quran: The Final Scripture ataupun Hadis: Satu Penilaian Semula. Kedua-dua buah buku ini memang sesatlah kerana menolak sunnah. Bagi saya apa yang keluar dari SHIT ialah jeritan batin yang diatur melalui perkataan lalu menjelma sebagai sebuah novel sahaja. Tidak lebih daripada itu.
Ulama-ulama Islam sejak dari awal-awal lagi telah mendirikan sempadan yang kukuh di antara Islam dengan Sastera. Tujuannya ialah supaya tidak berlaku tuduhan-tuduhan sebeginilah. Hairan juga bagaimana Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir boleh mengatakan bahawa karya SHIT ini sebagai satu kesalahan. “Zainal berkata penggunaan bahasa lucah dalam karya sastera adalah satu kesilapan” (Berita Minggu, 24 April 1999). Sedangkan beliau adalah seorang pemegang sarjana Bahasa Dan Sastera Arab dan pernah menulis buku pun tentang Sejarah Sastera Arab. Barangkali barangannya keciciran semasa di dalam perjalanan ataupun disorokkan di mana-mana sahaja.
Di dalam perkara ini, kita juga perlu menyoroti kembali pendirian Rasulullah kepada syair khususnya dan kepada sastera amnya. Sesungguhnya pendirian al-Quran dan Rasul terlalu solid terhadap sastera. Hal ini demikian kerana baginda berpendapat bahawa jiwa manusia tidak akan dapat lari daripada memperkatakan sesuatu yang berkaitan dengan jiwa dan perasaannya. Islam melontar jauh-jauh prinsip yang mengenakan hukum malaikat terhadap manusia yang dianugerahkan Allah naluri manusiawinya yang ada kala baik dan ada kalanya jahat pula. Kadang kala dikerumuni cinta dan ada beberapa ketika diziarahi perasaan benci.
Sebenarnya kompromi di antara akhlak atau agama dengan sastera ini bukanlah prinsip Islam pun. Prinsip ini diambil secara di bawah sedar oleh orang-orang Islam daripada Plato yang telah mengharamkan segala macam jenis sastera kerana menurutnya seorang penyair akan menjadikan rakyat bersuka-ria dan akan merosakkan akhlaknya ataupun akan menyebabkan tuhan murka. Dan di sebaliknya kita lihat bagaimana pendirian Rasul yang amat lunak ketika memperkatakan tentang seni bilamana baginda bersabda yang bermaksud: Orang-orang Arab tidak akan meninggalkan syair sehinggalah unta meninggalkan al-Hanin (suara unta yang memanggil anaknya)”.
Nabi Muhammad juga mengakui bahawa sastera ialah alat untuk berbangga dengan kaum sendiri atau mengutuk atau menghina golongan lain. Di dalam sebuah hadis baginda daripada Abid bin Ismail, katanya: "Abu Usamah telah memberitahu kami daripada Hisyam daripada ayahnya daripada Aisyhah, katanya: "Abu Bakar telah masuk ke rumahku, pada masa itu terdapat dua orang hamba yang sedang menyanyi dengan nyanyian orang-orang Ansar. Lalu Abu Bakar menjadi marah dan berkata: "Adakah terdapat serunai syaitan di rumah Rasulullah? Pada hari itu ialah hari raya. Maka rasulullah pun bersabda: "Wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya mereka. Pada hari ini hari raya untuk kita" (Saheh Bukhari di dalam Kitab al-Eidain, hadis nombor 909). Perkataan "nyanyian orang-orang Ansar" sebagaimana yang disyarahkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalaani ialah setiap perkataan dan syair-syair kaum Ansar yang meliputi syair kebanggan dan juga syair kutukan atau kalau mengikut istilah Utusan dan Berita Harian, syair maki hamunlah. Namun, Rasulullah tidak menghalang pun kedua-dua hamba itu mendendangkannya.
Manakala di dalam Kitab al-Manaqib dan al-Maghazi di dalam Saheh Bukhari juga disebutkan bahawa Rasulullah mengizinkan Hassan bin Thabit menghina dan memaki hamun orang-orang Musyrikin. Othman bin Abu Syaiba telah memberitahu kami: "Abduh telah telah memberitahu kami daripada Hisyam daripada ayahnya, katanya: "Aku telah pergi memaki-hamun Hassan di depan Aisyah lalu dia berkata kepadaku: Janganlah kaumemakinya. Sesungguhnya dia telah mempertahankan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Dan Aisyah berkata lagi: "Hassan telah meminta izin daripada Rasululllah untuk memaki-hamun puak Musyrikin. (Lalu Rasulullah) bersabda: "Bagaimana pula dengan keturunanku? Jawab Hassan: "Aku akan memaki-hamun mereka seperti menarik rambut dari dalam tepung." (Saheh Bukhari, Kitab al-Maghazi, hadis nombor 3914). Sabda baginda yang bermaksud "bagaimana dengan keturunanku" itu bermaksud bagaimana kau mahu memaki hamun mereka sedangkan aku juga sebangsa dengan mereka. Hal ini demikian kerana Arab apabila mengutuk, dia bukan hanya mengutuk peribadi seseorang itu sahaja, bahkan sekali dengan keturunan orang itu pun dimaki-hamun. Tidak kiralah sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah mati. Jadi hal kutuk-mengutuk menggunakan sastera ini bukanlah sesuatu yang hanya dipelopori oleh sasterawan-sasterawan anti-establishment masa kini sahaja. Bahkan sudah ada pun sejak lebih 1400 yang lalu. Cuma pada masa itu tidak adalah Utusan atau Berita Harian yang mungkin akan meminta pendapat Abu Jahal atau Abu Lahab atau Abu Suffian. Itu kalau di Mekahlah. Mungkin boleh juga diambil kritik atau komen daripada Abdullah bin Saba' atau Abdullah bin Ubai pula.
Begitu juga dengan pandangan Ali bin Abi Talib yang mendapat pendidikan di rumah Rasulullah. Beliau tidak melihat bahawa perkataan seseorang sasterawan ketika memperkatakan tentang arak boleh menyebabkan sasterawan itu dihukum-hududkan seperti mana perlakuannya meminum arak. Realiti ini lebih terang lagi apabila kita meneliti kisah beliau dengan Abu Mehjan bilamana beliau melarang hukuman rotan yang akan dikenakan kepadanya kerana berkata: Suatu hari pun aku tidak akan sabar apabila berhadapan dengan arak (Lastu ‘ani al-Sahbaai Yawman bi Saabirin). Di sini kita dapat melihat kebebasan berkarya yang diberikan di dalam Islam yang telah diucapkan oleh Saidina Ali dengan kata-katanya: Sesungguhnya mereka berkata apa yang tidak mereka lakukan (merujuk kepada ayat al-Quran di dalam surah al-Syuaara: 26) (Lihat Dawuud Saloum, al-Naqd al-Adabi bain al-Istiqra wa al-Ta’lif (Kritikan Sastera Di Antara Zaman Lisan Dan Tulisan), Baghdad, 1980, ms 42).
Di dalam kitab al-Wasata bain al-Mutanabbi wa Khusumihi karangan al-Qadhi Ali bin Abdul Aziz al-Jurjani, beliau mengatakan: “Maka sekiranya agama itu menjadi kayu pengukur terhadap kejelekan syair, dan iqtikad yang salah itu merupakan sebab mundurnya seseorang sasterawan, maka wajiblah dipadamkan nama Abu Nuwas daripada Dewan Syair Arab. Patut jugalah dihapuskan namanya bilamana disebut takah-takah penyair” (al-Jurjani, al-Wasata bain al-Mutanabbi wa Khusumihi (Perantara Di Antara al-Mutanabbi Dan Musuh-musuhnya), Dar Ehya al-Kutub al-Arabiya, al-Kaherah, Cetakan ke-3, ms 46). Katanya lagi: “Dan yang lebih aula lagi, patut jugalah dipadamkan syair-syair Jahiliyah dan mana-mana penyair yang kafir. Mereka ini termasuklah Ka’ab bin Zuheir dan Ibn al-Ziba’ari dan rakan-rakan mereka yang lain yang telah mengutuk Nabi Muhammad S.A.W. Namun, kedua-dua perkara ini berbeza. Agama terpisah daripada syair” (al-Jurjani, ibid.).
Terdapat perbezaan yang terlalu jauh di antara kehidupan mithali yang tidak mengira langsung perasaan kecuali melalui kacamata ahli-ahli falsafah ataupun yang selalu disebut sebagai al-‘Aqlani (di dalam bahasa Arab tentunya) yang sering melihat manusia bagaikan kaki perempuan Makau dahulu kala yang hanya layak dipakaikan dengan kasut besi supaya sentiasa kemetot, dengan pendirian Islam yang melihat jiwa manusia dan hati dan jantungnya yang naik dan turun supaya manusia berusaha untuk mencapai ketinggian akhlak.
Justeru, bagi saya SHIT tidak layaklah dikatakan bertentangan dengan akhlak apatah lagi dengan Islam kerana SHIT bukanlah buku-buku agama pun. Dan SHIT juga tidak layak diperkatakan oleh orang-orang cuba mengekor deruan angin Plato lalu mengecapnya dengan cap Islam pula. Tidak layak jugalah diperkatakan oleh seseorang yang sudah diragui keIslamannya kerana menolak hadis dan sunnah walaupun dikatakan sekelas dengan Shahnon. Khalayak boleh membacanya dan mengkritiknya dan menghumbannya ke ceruk atau relung mana pun yang dia suka kerana pembaca adalah bebas menilai karya sastera dan melihatnya dari sudut-sudut mana pun yang dia suka. Dan sudah tentulah pula khalayak juga berhak memujinya dan mengangkat martabatnya. Jadi amat tidak manislah sekiranya pihak akhbar hanya mengatakan masyarakatnya sahajalah yang betul lalu menuduh golongan yang memuji SHIT sebagai “mengetepikan kecaman pelbagai lapisan masyarakat” (Utusan Malaysia, 24 April 1999).
25 April 1999.