WANITA

19 HADIS NABI MENGENAI WANITA

1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

2. Apabila seseorang wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3. Apabila seseorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

4. Apabila seseorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5. Apabila seorang wanita melahirkan anak, lalu disusui dari buah dadanya, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan orang yang takutkan Allah, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun). 10. Wanita yang bersembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah, "Suaminya. "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya".

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga diri, sembahyang dan puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

Tambahan mengenai dan kelebihan wanita:

a) Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

b) Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

c) Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.

d) Wanita yang membenarkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangga dan kehormatan dirinya, akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari, dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

e) Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala 7 tola perak.

f) Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.

g) Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah, ia akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

h) Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

i) 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

j) Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

k) Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

l) Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah mengurniakan satu pahala haji.

m) Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

n) Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

o) Jika wanita memberi susu dadanya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

p) Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak (terutama ketika sakit) akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

q) Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati dan menjaga auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

r) Wanita yang memerah susu binatang dengan "Bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

s) Wanita yang menyediakan makanan (Seperti menguli tepung) dengan "Bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya.

t) Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah.

u) Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat.

 

AURAT WANITA

Wanita yang solehah iaitu wanita yang menutup aurat ketika berpakaian. Kerana ramai dikalangan wanita di zaman ini mereka berpakaian tetapi telanjang. Ertinya pakaian mereka hanya menutup bahagian-bahagian tertentu sahaja. Kalau pun menutup semuanya tetapi bentuk tubuhnya nampak dengan jelas.

Firman Allah SWT maksudnya:

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat". (Surah Al-A'raf ayat 26).

Jilbab atau tudung adalah fesyen pakaian yang dapat menutup tubuh atau sebahagian besar badan wanita di sebelah atas, kecuali muka dan tapak tangan. Jilbab juga tidak menampakkan bentuk tubuh badan. Allah memerintahkan pakaian demikian supaya dapat membezakan yang mana wanita beriman dan yang mana wanita tidak beriman, serta terhindar daripada gangguan syaitan dan orang-orang munafik.

Firman Allah SWT maksudnya:

"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: 'Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh'. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah Al-Ahzab, ayat 59)

Manakala di dalam Surah An-Nuur ayat 31, Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman - Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada:
- suami mereka,
- ayah mereka,
- ayah suami mereka,
- putera-puteri mereka,
- putera-puteri suami mereka,
- saudara-saudara lelaki mereka
- putera-puteri saudara lelaki mereka,
- putera-puteri saudara perempuan mereka,
- wanita-wanita Islam,
- hamba-hamba yang mereka miliki,
- pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita,
- anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita,

Dan janganlah mereka membuat sesuatu supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung".

ISTERI SOLEHAH

Isteri yang solehah itu disamping patuh kepada perintah Allah dan RasulullahNya, ia juga patuh terhadap suami dan tidak membohonginya.

Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Ibnu Umar ra. Rasulullah SAW bersabda:

"Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan, dan sebaik-baik kesukaan itu adalah wanita yang solehah".

Dalam Hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda:

"Mahukah kamu, aku beritahukan dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki?' Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya".

(Riwayat Ibnu Majah)

Berbohong kepada suami adalah berdosa apatah lagi berbohong kepada suami kerana ingin berjumpa doktor yang seandainya lelaki hukumnya jelas haram dan dosa besar. Jika suami tidak redha dengan sikap pembohongan itu maka akan berkekalan dosa seorang isteri terhadap suaminya.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:

"Aku melihat dalam neraka tiba-tiba ramai diantara ahlinya adalah wanita. Maka seorang wanita bertanya: "Mengapa ya Rasulullah ?". Rasulullah SAW menjawab: "Mereka banyak bersumpah dan tidak berterima kasih kepada suaminya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith yang lain diterangkan, dari Ibnu Abas ra. sesungguhnya seorang wanita dari suku Khat'am datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya:

"Wahai Rasulullah, sampaikanlah kepadaku keterangan apa hak suami terhadap isteri. Baginda bersabda: Sesungguhnya hak suami terhadap isteri iaitu jika suami menghendaki dirinya sekalipun ia berada di atas kenderaan ia tidak menolak dirinya untuk memenuhinya, dan hak suami atas isterinya iaitu isteri tidak boleh puasa sunat tanpa izin suaminya, jika ia terus melakukannya itu hanya akan mendapatkan lapar dan dahaga dan tidak diterima puasanya itu, dan tidak boleh keluar rumah tanpa izin suaminya, jika ia tetap keluar maka malaikat langit dan malaikat rahmat serta malaikat azab akan mengutuknya sampai ia pulang."

(Riwayat Thabrani)

Kecemburuan seorang suami terhadap isteri merupakan fitrah yang dituntut oleh agama, kerana jika suami tidak cemburu dengan kemungkaran dan kesalahan yang dilakukan oleh isteri maka suami akan tergolong dayus (golongan yang dilaknat Allah dan diharamkan syurga keatas mereka). Ada juga sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Kecemburuan itu termasuk sebahagian dari iman, midzak (membenarkan lelaki lain ke dalam rumah (juga rumahtangga) kemudian dibiarkan bersama isterinya ) itu termasuk sifat munafiq."

(Riwayat Bazar dan Baiha)

 

ISLAM DARI SEGI HIDUP BERKELUARGA

Menerima Islam, memberikan kita kewajipan untuk memiliki satu risalah dalam hidup ini. Dengan cara hidup menurut risalah tersebut, sehingga kita semua betul-betul menjadi Muslim baik dalam segi aqidah, ibadah, mahupun akhlaq. Dengan pengakuan terhadap Islam bererti kita harus bekerja keras di lingkungan kita dalam semua peringkat, dari keluarga sampai kepada negara, dan bahkan ke segenap ummat manusia karena Islam diturunkan kepada semua manusia.

Kita tidak cukup dengan hanya menyatakan saja bahawa kita menganut Islam dan mematuhinya tanpa menghiraukan orang-orang di sekeliling kita. Kita seharusnya memiliki rasa tanggungjawab kepada orang lain, menyeru dan menasihati mereka.

Rasulullah SAW telah bersabda:

"Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahu dan beban urusan orang-orang Islam yang lain, maka dia bukan termasuk golongan ku" (HR al-Baihaqi)

Bertolak dari keadaan ini, kita memiliki tanggungjawab baru, iaitu tanggungjawab untuk:

-menegakkan sebuah masyarakat Islam

-menyampaikan Islam kepada masyarakat

Langkah pertama yang sesuai dengan tabiat Islam adalah membentuk rumahtangga kita supaya menjadi rumah tangga yang Islami. Kita bertanggung jawab untuk menegakkan Islam di dalam keluarga, yang merupakan masyarakat kecil ini. Kita bertanggungjawab untuk menyampaikan ajaran Islam kepada keluarga kita, pasangan hidup kita, anak-anak kita, serta kerabat dan handai taulan. Inilah cara yang diikuti oleh Rasulullah SAW dalam permulaan dakwah beliau.

Firman Allah yg bermaksud:

"Maka janganlah kamu menyeru (menyembah) tuhan yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang di'azab. Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat, dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang beriman.".

Oleh sebab itu, tugas yang secara langsung dipikul oleh setiap Muslim setelah bertanggungjawab kepada dirinya adalah tanggung jawab kepada keluarga, rumah, dan anak-anaknya.

Firman Allah yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak mendurhakai Allah terhadap apapun yang diperintahkan-Nya.".

Untuk menolong kita didalam usaha-usaha membina rumah tangga yang Islami, Islam telah memberikan petunjuk kepada kita. Diantaranya adalah:

a) Pernikahan kita haruslah karena Allah. iaitu bertujuan untuk:

- membina sebuah rumah tangga yang Islami

- melahirkan keturunan yang soleh

- membina keluarga yang sanggup memikul amanah dan dapat melaksanakan kewujudan hidayah Allah sehingga hidayah tersebut akan terus berlanjutan.

b) Pernikahan ditujukan untuk menjaga pandangan & kehormatan diri kita sehingga kita betul-betul bertakwa kepada Allah. Rasulullah SAW telah bersabda: "Allah berhak menolong tiga golongan iaitu orang yang berjihad di jalan Allah, hamba mukatab yang ingin membayar harga tebusannya, dan orang yang menikah dengan tujuan untuk memelihara kehormatan dirinya."

(HR Tirmidhi, Ibn Hibban, dan Al-Hakim).

Rasulullah SAW juga bersabda: "Barang siapa yang menikah bererti dia telah menyempurnakan sebahagian agamanya, maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah yang merupakan sebahagian lainnya lagi." (HR al-Baihaqi)

c) Kita haruslah bijak dalam memilih pasangan hidup yang akan menjadi teman hidup kita yang diharapkan dapat seiring dan sejalan. Ini memerlukan usaha yang sungguh-sungguh. Rasulullah SAW telah bersabda:

"Pilihlah (yang terbaik) untuk keturunanmu kerana (kegagalan dari) satu generasi akan menuju kepada krisis." (HR Ibnu Majah dan Abu Mansur)

d) Kita hendaklah memilih pasangan hidup yang memiliki akhlak yang baik dan berpegang teguh kepada agama, jadi kekayaan dan wajah bukanlah ukuran utama.

Sabda Rasulullah SAW: "Janganlah kamu menikahi wanita kerana kecantikannya; boleh jadi kecantikannya itu akan membuat mereka hina. Janganlah kamu menikahi wanita kerana hartanya; boleh jadi hartanya itu akan membuat mereka zalim. Tapi nikahilah mereka kerana agamanya. Wanita hamba sahaya yang tuli namun beragama adalah lebih baik." (HR Ibnu Majah)

Kita harus menjauhkan diri dari melanggar perintah Allah dan menjauhi kemurkaan Allah serta azabnya. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w: "Siapa yang menikahi wanita kerana ketinggian kedudukannya, pernikahan itu tidak akan membawa sesuatu kepadanya kecuali kehinaan. Barangsiapa menikahi wanita kerana hartanya maka itu tidak akan menambah sesuatu kepdanya kecuali kemiskinan. Barangsiapa yang menikahi wanita kerana keturunannya, perkawinan itu tidak akan menambah sesuatu kepadanya kecuali hina dina. Dan barang siapa yang menikahi wanita dengan tujuan agar dapat menahan pandangannya, memelihara kehormatannya atau menghubungkan silaturahim, Allah akan memberikan berkah kepadanya bersama wanita itu dan memberikan berkah kepada wanita itu bersamanya." (HR Abu Nuaim)

 

PEMIMPIN BAGI WANITA DAN WANITA PENGHULU SYURGA

Ingin saya (salah seorang ahli HizbiNet), berkongsi dengan anda sekelian... Sempena kempen "Ibu Mithali, Isteri Sejati, Keluarga Harmoni"... Selamat membaca...

Di zaman-zaman yang jauh selepas Rasulullah saw, sukar sekali mencari wanita yang solehah. Susahnya diibaratkan seperti mencari "gagak putih" di antara jutaan gagak-gagak hitam.

Mungkin kita susah hendak percaya sebab untuk jadi wanita solehah, menyenaraikan syarat-syaratnya bukanlah susah benar untuk disebut. Cukuplah dengan memenuhi empat syarat:

Menjaga sembahyang dengan sempurna,

Memelihara puasa di bulan Ramadhan,

Menjaga maruah dan harga diri dan

Mentaati suami,

maka mereka akan memperolehi syurga dengan segala kenikmatannya.

Namun syurga itu Allah janjikan dengan haluan yang penuh ranjau dan duri. Walaupun nampak ringan dan mudah, tetapi tidak pada realitinya. Seseorang yang sudah berumahtangga, mendirikan sembahyang dengan khusyuk itu sangat payah, mendapatkan puasa yang sempurna itu susah, menjaga maruah dan diri di belakang suami juga perlu mujahadah. Dan syarat yang keempat, mentaati, melayan suami tanpa cacat cela inilah yang paling sukar sekali dipenuhi bagi kebanyakan wanita.

Bila isteri tidak sungguh-sungguh taat pada suami, seringlah tercetus pergeseran hati, perselisihan dan pertengkaran. Dan akibatnya akan membawa kerosakan kepada yang lebih besar (keluarga dan masyarakat).

Sebagai perumpamaannya, mari kita lihat sebuah bas yang bergerak di atas jalanraya. Ia tidak boleh dipandu serentak oleh dua orang, walaupun kedua-dua pemandu mahu menuju ke tempat yang sama. Katakan seorang pemandu mengawal tayar yang di sebelah kanan, manakala seorang lagi mengawal tayar sebelah kiri. Bayangkan apa akan terjadi. Bagitu juga sebagai pilot sebuah terbang kapal atau sebagai nakhoda sebuah kapal layar.

Bukan sedikit pergaduhan, malah perceraian berlaku hanya kerana hal yang remeh-temeh seperti soal hendak balik kampung siapa, bagaimana hendak hias rumah, soal tukar tempat kerja, tidak mahu cepat dapat anak dan sebagainya. Akibatnya anak-anak yang tidak tahu apa-apa itu menjadi mangsa rumahtangga yang pecah-belah. Mereka jadi liar dan mencemar keharmonian masyarakat kerana kesilapan kita.

Apa salahnya kalau kita sebagai isteri mengalah dalam soal-soal yang tidak menyalahi syariat? Suami juga inginkan rumahtangga bahagia, cuma caranya sahaja berbeza. Kita mudah taat pada bos di tempat kerja, kerana dia ada pangkat dan kelulusan serta ada 'kuasa' ke atas kita. Bila dia kata,"Siapkan kerja ini hari ini," kita sedaya upaya menyiapkannya.

Bila dia arahkan outstation, kita sedaya upaya pergi juga. Tetapi mengapa kita tidak setaat itu pada suami yang "pangkat" dan "kelayakan"nya diberikan sendiri oleh Allah swt? Bukankah pengiktirafan Allah yang disampaikan menerusi wahyu itu lebih tepat dan tinggi daripada pengiktirafan yang diberikan oleh manusia di atas sekeping kertas?

FirmanNya bermaksud:

"Kaum lelaki itu pemimpin bagi wanita. Oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atau sebahagian yang lain (wanita)."(An Nisa: 34)

Oleh itu, bila kita mengingkari suami, kita seolah-olah tidak menerima pengiktirafan Allah ini. Hakikatnya kita bukan sahaja berlaku angkuh terhadap suami, tetapi juga angkup dan mengingkari terhadap Allah.

Redha Allah bergantung kepada redha suami. Bila suami tidak redha, Allah juga tidak redha. Melainkan dalam hal-hal yang menyalahi syariat, isteri tidak dikehendaki taat.

SINAR DAN TERANGKANLAH HATIMU

Saudari Muslimah ku....

Sebagai permulaan untuk membicarakan tentang wasiat Rasulullah s.a.w untuk wanita, adalah di harap sangat penerangan ini disertakan dengan nasihat yang berharga, semoga kita berkenan melaksanakannya, semoga kita memperolehi kehidupan yang bahagia dan mati secara terpuji, iaitu:

a) Ikhlaslah kerana Allah tatkala bersendirian mahu pun terang-terangan dan hindarilah riyak dalam perkataan dan perbuatan kita.

b) Hindarilah syirik dalam aqidah dan ibadah, kerana ia akan menjatuhkan iman kita terhadap Allah SWT, maka pincanglah segala amalan kita.

c) Hendaklah kita mendalami hukum-hakam agama (melalui bacaan dan mendengar) dan janganlah kita memandang segala urusan kita dengan hanya berpandukan akal kita sahaja.

d) Taatlah kepada suami kita kerana jalan yang mudah bagi kita ke syurga ialah dengan ketaatan kepada suami.

e) Berbaktilah kepada orang tua kita dengan membahagiakan mereka. Janganlah sesekali menyakiti hati mereka dan berusahalah kearah mengembirakan hati mereka. Apa juga keputusan dan suruhan, hendak lah kita terima dengan hati yng terbuka, dan bukannya dengan tentangan dan cemuhan.

f) Jadilah kita pesaing dan pelumba dalam mengejar kebaikan, dan menjauhkan diri kita dari sifat buruk dan tercela, serta berbanyakkan bersedekah dan berzikir.

g) Berbuat baik kepada jiran tetangga kita, sahabat kita, masyarakat sekeliling kita (walau apa bangsa dan agama sekali pun) dengan penampilan yang baik dari segi perbuatan, percakapan dan tingkah laku.

h) Laksanakanlah solat dengan tepat dan awal waktu, dan lakukan serta perbanyakanlah ibadat sunat kerana ia membawa peribadi yang mulia.

i) Jadilah kita seorang wanita yang berhati mulia dengan menjauhi dari sifat kikir (kedekut) kerana sesungguhnya Allah menyayangi orang-orang yang mulia dan pemurah hati serta membenci kepada orang yang bakhil.

j) Bacalah selalu (se boleh mungkin setiap hari atau minggu) ayat suci Al-Quran kerana ia akan menenangkan hati kita. Jangan jadikan Al-Quran sekadar ketika ada kematian dan sekadar untuk simpanan dan perhiasan.

k) Jagalah hati kita dari pelbagai macam syahwat, syubhat dan buruk sangka.

l) Perhatikanlah anak-anak kita dan senantiasa mendidik dan menanamkan kepada hati mereka dengan sifat jujur, percakapan dan perbuatan yang baik serta mengajar mereka adab sopan dan akhlak yang mulia. Jangan pula kita ibarat "ketam mengajar anak berjalan betul".

m) Jauhilah ghibah dan mengadu domba serta memburukkan kehormatan wanita muslim yang lain, kerana bermungkinan perangai dan sifat kita lebih buruk dari mereka.

n) Janganlah kita mengeluarkan kata-kata celaan kerana sebenarnya ia melambangkan keperibadian hati kita. Takutilah, kerana ia boleh melekat dalam jiwamu.

o) Jadilah wanita yang zuhud di dunia dan berjalanlah kita dengan hati yang senantiasa takut dengan kemurkaan Allah terhadap kita.

p) Janganlah kita menjadi wanita yang suka mengeluh dan marah-marah tatkala mendapat cubaan. Jadilah wanita penyabar serta mencari pahala dan keredhaan Allah.

q) Jadikan diri kita seorang wanita yang amanah. Amanah menjaga harta suami kita ini termasuk menjaga kehormatan diri kita. Membenar dan membawa masuk lelaki ke rumah tanpa pengetahuan dan keizinan suami kita, haram hukumnya.

r) Janganlah sesekali memandang orang yang lebih tinggi dari kita dalam kehidupan dunianya sebaliknya pandanglah orang yang lebih bawah dari kita dalam hal ini, semoga kita tidak memandang dan merasai kekurangan dan sedikit nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita.

s) Senantiasa bersiap-siap untuk mati sebelum ia benar-benar mendatangi kita, dan mohonlah keampunan serta rahmat Allah.

t) Gembirakanlah hati wanita-wanita muslimah dengan sesuatu yang kita senangi dan buatlah mereka benci dengan apa yang engkau benci.

Wahai saudari muslimahku, akhir kata dariku memohon kepada Allah Yang Maha Agung agar menjadikan kita sebagai Muslimah sejati serta segala amalan yang dilakukan semata-mata inginkan keredhaan dari-Nya. Amin.

Sekian wassalam

Hamba Allah
Pengirim: Rose <srose@csam.com.my

 

WASIAT RASULULLAH S.A.W KEPADA AISYAH

Saiyidatuna 'Aisyah r.a meriwayatkan: Rasulullah s.a.w (mafhumnya):

"Hai Aisyah, aku berwasiat kepada engkau. Hendaklah engkau senantiasa mengingati wasiatku ini. Sesungguhnya engkau akan senantiasa di dalam kebajikan selama engkau mengingati wasiatku ini."

Intisari wasiat Rasulullah s.a.w tersebut dirumuskan seperti berikut:

Hai, Aisyah, peliharakanlah diri engkau. Ketahuilah bahawa sebahagian besar daripada kaum engkau (kaum wanita) adalah menjadi kayu api di dalam neraka. Antara sebab-sebabnya ialah mereka itu:

a) Tidak dapat menahan sabar dalam menghadapi kesakitan (kesusahan) - apabila dibalakan tidak bersabar.

b) Tidak memuji Allah Taala di atas kemurahan-Nya - apabila dikurniakan nikmat dan rahmat tidak bersyukur.

c) Mengkufurkan nikmat.

d) Membanyakkan kata-kata yang sia-sia.

Wahai, Aisyah, ketahuilah:

Bahawa wanita yang menidak-nidakkan kebajikan (kebaikan) yang diberikan oleh suaminya akan digugurkan oleh Allah Taala amalannya.

Bahawa wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, maka pada hari kiamat, Allah menjadikan lidahnya tujuh puluh hasta dan dibelitkan di tengkuknya.

Bahawa isteri yang memandang jahat (menuduh atau menaruh sangkaan buruk terhadap suaminya), Allah akan menghapuskan muka dan tubuhnya pada hari kiamat.

Bahawa isteri yang tidak memenuhi kemahuan suaminya (yang harus / halal) di tempat tidur atau menyusahkan urusan ini atau mengkhianati suaminya, akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat dengan muka yang hitam, matanya kelabu, ubun-ubunnya terikat kepada dua kakinya di dalam neraka.

Bahawa wanita yang mengerjakan sembahyang dan berdoa untuk dirinya tetapi tidak untuk suaminya, akan dipukul mukanya dengan sembahyangnya.

f) Bahawa wanita yang dikenakan bala ke atasnya lalu dia menampar-nampar mukanya atau mencarik-carikkan pakaiannya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka bersama dengan isteri nabi Nuh dan isteri nabi Lut dan tiada harapan mendapat kebajikan syufaat daripada sesiapa pun.

g) Bahawa wanita yang berzina akan diderakan di hadapan segala makhluk di hadapan neraka pada hari kiamat - tiap-tiap perbuatan zina dengan delapan puluh cemeti daripada api.

h) Bahawa isteri yang mengandung itu adalah baginya pahala seperti berpuasa pada siang harinya dan mengerjakan qiamullail pada malamnya serta pahala berjuang fisabilillah.

i) Bahawa isteri yang bersalin, bagi tiap-tiap kesakitan yang dideritainya, akan diganjari pahala memerdekakan seorang sahaya. Demikian juga pahalanya setiap kali menyusukan anaknya.

j) Bahawa wanita apabila bersuami dan bersabar daripada menyakiti suaminya, maka samalah dengan titik-titik darah dalam perjuangan fisabilillah. Dialah antara wanita-wanita yang qanitat (banyak beribadat kepada Allah).

 

WASIAT RASULULLAH KEPADA SAIDINA ALI R.A

Wahai Ali,

Bagi orang "MUKMIN" ada 3 tanda-tandanya:

a) Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia,

b) Tidak terpesona dengan pujuk rayu wanita,

c) Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia.

Wahai Ali,

Bagi orang "ALIM" itu ada 3 tanda-tandanya:

a) Jujur dalam berkata-kata,

b) Menjauhi segala yang haram,

c) Merendahkan diri.

Wahai Ali,

Bagi orang yang "TAKWA" itu ada 3 tanda-tandanya:

a) Takut berlaku dusta dan keji,

b) Menjauhi kejahatan,

c) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Seseorang wanita itu apabila di hari akhirat, akan menarik empat golongan lelaki bersamanya ke dalam neraka:

Pertama:- Bapanya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia, tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya, membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat - tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya ke neraka.

Kedua: - Suaminya

Apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram dan apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim dimana solatnya tidak tangguh, puasanya tidak tinggal maka dia akan ditarik oleh isterinya.

Ketiga: - Abang-Abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pundak abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran Islam, maka tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

Keempat: - Anak Lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak.......nantikan tarikan ibunya.

Maka kita lihat bertapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat...maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar tidak silap firman ALLAH SWT:-

"HAI ANAK ADAM PERIHARALAH DIRI KAMU SERTA AHLIMU DARI API NERAKA DI MANA BAHAN PEMBAKARNYA IALAH MANUSIA DAN BATU-BATU..."

Hai wanita, kasihkan ayah mu, suami mu ,abang, kakak dan adik-adik mu serta anak-anak lelaki dan perempuan mu...kesiankanlah mereka dan juga diri kamu sendiri......jalankan perintah ALLAH SWT bersungguh dan dengan ikhlas.

Akhir kata, marilah kita berdoa agar kita semua terselamat dari ditarik dan tertarik....oleh mana-mana pihak.

Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. ALLAH SWT nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA...semua kaum muslim masuk syurga...janganlah kita membuang atau tidak mengendahkan janji ALLAH SWT.

WASIAT RASULULLAH UNTUK WANITA - 1

WASIAT 1.

BEKALAN TAKWA, LEMAH LEMBUT PENGHIAS SEGALA SESUATU.

Dari Aisyah r.a, dia berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Wahai Aisyah, hendaklah engkau bertakwa kepada Allah Azza wa Jalla dan berlemah lembut, kerana lemah lembut itu sama sekali tidak berada pada sesuatu melainkan menghiasinya, dan lemah lembut itu sama sekali tidak melainkan ia memburukkannya."

Wasiat yang sangat bernilai ini merupakan dasar yang penting bagi mempertingkatkan keperibadian seseorang wanita muslim itu.

Apakah yang disampaikan oleh baginda dalam hadis tersebut. TAKWA!!

Takwa kepada Allah ialah dengan melaksanakan ketaatan dan menjahui kederhakaan kepada-Nya. Oleh kerana takwa memiliki peranan yang amat agung dalam kehidupan Muslim dan Muslimah Allah telah berwasiat seraya berfirman:

"Dan sungguh kami telah memerintahkan kepada orang-orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu, dan (juga) kepada kamu. Bertakwalah kepada Allah."(An-Nisa:131)

Takwa kepada Allah adalah juga wasiat-Nya. Allah juga telah menjelaskan bahawa takwa merupakan sesuatu yang paling baik dalam kehidupan di dunia ini.

Firman-Nya:

"Dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa, dan bertakwalah kepada-Ku orang-orang yang berakal." (Al-Baqarah:197)

Takwa disebut di dalam Al-Quran ada tiga makna iaitu:

1) Takutlah kepada Allah sepertimana firman-Nya:

"Dan kepada Akulah kamu bertakwa." (Al-Baqarah:41)

2) Taat dan Ibadah sepertimana firman-Nya:

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah kamu mati kecuali takwa, dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan berserah diri." (Ali Imran:102)

3) Mensucikan hati dari kederhakaan dan dosa.

Banyak lagi ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis yang membicarakan tentang takwa kepada Allah.

Kini tiba pula saat kedua untuk membincangkan wasiat baginda tentang sikap lemah lembut .

'Ar-Rifq' (lemah lembut)

Sifat lemah lembut, wajah berseri dan lapang dada. Sifat ini memiliki satu kelebihan akhlak-akhlak yang lain. Allah memberi pujian kepada hamba-Nya yang mempunyai sifat seperti ini. Kepada para muslimah harus diingat keperibadian seorang wanita itu adalah lahir dari sifat yang lemah lembut. Kecantikan yang asli indah dipandang oleh manusia tambah lagi disisi Allah.

Bagaimana untuk membentuk sifat lemah lembut ini?

Dari segi zahir (perbuatan):

1) Bercakaplah dengan lemah lembut maksudnya:

Janganlah kamu mengeluarkan kata-kata keji seperti menyumpah seranah. Perkataan sumpah contohnya: "Kau nak mampus ke? Perkataan mampus itu adalah perkataan sumpah....juga ada hadis yang menyatakan percakapan yang sia-sia juga boleh melemahkan jiwa.

2) Memelihara pandangan maksudnya:

Janganlah kamu sering melihat benda-benda yang boleh mendatangkan keaiban kerana melihat perkara-perkara itu boleh melekakan akal fikiran.

3) Pergaulan yang bebas maksudnya:

Wahai muslimah ketahuilah pergaulan boleh membawa kehancuran. Oleh itu jagalah adab batasan sebagai muslimah sejati dan senantiasa memelihara diri.

Banyak lagi yang boleh dihuraikan bagi mempertingkat harga diri seorang muslimah itu untuk mendapat sifat yang mulia ini. Tidak semestinya kamu dahulu pernah melakukan kesilapan dan kini kamu tidak boleh memperbaikinya. Allah itu Maha Pengampun, bentuklah diri kamu dari sekarang.

Dari segi batinnya ialah..........permulaan wasiat baginda tertumpu kepada Takwa, adanya Iman dalam hati maka perilaku dan keperibadian yang tinggi akan terbentuk dengan sendirinya. InsyaAllah.

Sekian wassalam

Hamba Allah.

Pengirim: Rose srose@csam.com.my

 

WASIAT RASULULLAH UNTUK WANITA - 2

WASIAT 2

WASIAT RASULULLAH SEBELUM TIDUR

Diceritakan pada suatu hari Fatimah mengeluh kepada alat penggiling rotinya dan menyampaikan hasratnya ingin seorang pembantu. Lalu Rasulullah SAW berkata kepada anaknya: 'Ketahuilah akan ku ajarkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada sesuatu yang engkau minta daripadaku. Apabila engkau hendak tidur, maka bertakbirlah 34x, bertasbihlah sebanyak 33x dan bertahmid sebanyak 33x, maka itu adalah lebih baik dari seorang pembantu.

Wahai saudari muslimah ku! Inilah wasiat Nabi SAW kepada puterinya yang suci, pemuka para wanita penghuni syurga. Maka marilah kita ambil pengajaran ini untuk dimanafaatkan pada kehidupan kita dunia dan akhirat.

Fatimah merasa sangat letih kerana banyak pekerjaan yang dilakukannya. Tentu anda tertanya-tanya apa gunanya zikir itu sedangkan sekiranya alangkah lebih baik baginda memberi seorang pembantu yang kebetulannya ada tawanan yang menawarkan diri untuk berkhidmat dengan sukerela.

Tahukah kamu dengan membuat kerja iaitu menanggung segala bebanan keluarga dengan hati yang ikhlas lagi redha adalah sebaik-baiknya perbuatan dan akan dibalas dengan kebaikan di akhirat kelak.

Dalam wasiat ini Rasulullah SAW berpesan kepada puterinya bahawa dengan zikir itu akan menghilangkan rasa keletihan, kesulitan dapat ditanggung dengan kesabaran dan yang lebih penting lagi mengharapkan pahala.

Telah kita ketahui bahawa berbanyakkan berzikir itu dapat mensucikan jiwa dan hati. untuk mencapai kejayaan hati yang ikhlas dan murni ini Rasulullah SAW berwasiatkan kepada semua wanita agar kita mendapat kebaikan dari berzikir itu..

Lihatlah betapa agungnya zikir itu digantikan dengan seorang pembantu, kerana pada zahirnya zikir itu memberikan kita kekuatan untuk menghadapi segala dugaan hidup.

Begitulah wahai saudari muslimahku, wasiat Nabi SAW yang disampaikan kepada salah seorang pemimpin Syurga, Fatimah, iaitu berupa kesabaran yang baik. Perhatikanlah bagaimana seorang puteri Nabi dan isteri kepada sahabat yang mulia harus menggiling, membuat adunan roti dan melaksanakan pekerjaan rumahtangganya. Mengapa engkau tidak menirunya?

Sekian Wassalam

Hamba Allah.

Pengirim: Rose <srose@csam.com.my>

 

WASIAT RASULULLAH UNTUK WANITA - 3

WASIAT 3

KEUTAMAAN MENGASUH ANAK PEREMPUAN.

Wahai saudari Muslimahku! Islam datang dengan cahayanya dan membenteras kekufuran dengan segala kepekatannya mengembalikan hak-hak wanita yang satu ketika dahulu dirampas. Hari ini renungkanlah walaupun kita tiada dimasa itu sewaktu bayi perempuan sebaik sahaja dilahirkan ditanam hidup-hidup dan pada waktu ini pula imbaskanlah kembali bayi dibuang hidup-hidup. Mereka yang tidak mengetahui apa-apa tentang hidup. Tangisan mereka tidak diperduli tidak dihiraukan tidak dikasihani...dimanakah iman kita.

Kita lupakan sejenak mari kita membicarakan tentang wasiat Rasulullah ini tentang keutamaan terhadap anak perempuan. Tahukah anda semua bahawa anak perempuan adalah satu hikmah yang paling besar yang boleh membawa kita ke syurga.

Pada zaman jahiliyah mereka telah membunuh anak kecil perempuan mereka dengan menanam hidup-hidup, kerana dosa apakah mereka ditanam.

Perhatikanlah firman Allah SWT yang maksudnya:

"Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan lagi tidak mengetahui." (Al-An'am: 140)

Bahkan mereka berasa bangga kerana mengubur anak perempuan mereka hidup-hidup.

Kurniaan anak perempuan adalah sebaik-baik nikmat. Ikutilah firman Allah Ta'aala ini dimana kurnia anak perempuan didahului penyebutannya sebelum anak laki-laki dalam ayat Al-Quran ini.

Firman Allah Taala yang maksudnya:

"Dia memberikan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki." (Asy-Syura:49)

Wahai saudari Muslimahku! Sesungguhnya balasan kebaikanmu terhadap anak-anak perempuanmu disisi Allah adalah amat besar, iaitu berupa penghindaran dari api neraka, yang bererti akan masuk syurga.

'Fa ahsana ilaihinna' (al-ihsan) maksud disini ialah menjaga, memelihara dan mencukupi segala kemaslahatan mereka dengan memberi nafkah, pakaian dan lain-lain lagi, mendidik, membimbing dan melarang mereka dari melakukan yang tidak baik. Selagi engkau melakukan ini semua maka dengan ini engkau telah melakukan satu kewajipan antaranya kesempurnaan al-ihsan kepada anak-anak perempuanmu ialah niat tulus ikhlas. Maka dengan ini lapangkanlah dada kamu agar amalan kamu benar-benar kerana Allah SWT.

Boleh jadi engkau tertanya-tanya mengapa pahala yang agung ini hanya dikhususkan terhadap anak-anak perempuan tidak pada anak-anak lelaki?

Pahala tersebut diberikan kepada anak-anak perempuan kerana mereka ini lemah! pendukungnya sedikit dan tidak memiliki kebebasan...lihatlah cara hidup muslimah sejati...kalau tidak mengikuti ayahnya ia akan mengikuti suaminya.

Masalah yang lebih berat tertumpu kepada wanita....siapa yang terinaya, siapa yang memikul tanggungjawab melahirkan anak, siapa yang bertanggungjawab melayan kehendak suami dan lain-lain lagi yang tertumpu kepada wanita. WANITA SEMEMANGNYA MEMERLUKAN PERLINDUNGAN!!

Islam meletakkan anak-anak perempuan dalam kedudukan yang tinggi. Begitulah wahai saudari muslimahku, kita hidup bersama wasiat Rasulullah SAW sehingga kita dapat mengetahui kebaikan dan kebahagian bagi orang yang melaksanakannya. InsyaAllah...

Akhir kata buat ibu-bapa yang dikurniakan oleh-Nya anak perempuan maka besar hikmahnya dan peliharalah mengikut landasan Islam. syurga bagi kamu diakhirat kelak. Allahuakhbar.....Allah Yang Maha Besar Dia Mengetahui segalanya.

Sekian wassalam

Pengirim: Rose <srose@csam.com.my>

 

Sekian

WASSALAM

Akan bertemu dalam bab yang lain pula. Moga sama-sama dapat menjiwainya serta mengamalkannya sebanyak yang mungkin. Terima kaseh kepada pengirim melalui HizbiNet dan IslahNet.