SEJARAH RINGKAS

SEKOLAH MENENGAH AGAMA SULTAN ZAINAL ABIDIN

LADANG, KUALA TERENGGANU

 

PENGENALAN

Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin merupakan sebuah pusat pengajian dan pendidikan yang tertua dan terbesar di Negeri Terengganu Darul Iman. Ianya telah diasaskan sejak lebih dari setengah abad yang lampau dengan mengharungi arus gelombang dan merasai banyak pahit getir dan suka duka sepanjang penubuhannya.

Sekolah ini telah menempa sejarah tersendiri dalam perjuangan dan usaha untuk memberi pelajaran dan pendidikan Islam secara persekolahan yang lebih teratur dan sempurna.

Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang telah menyesuaikan dirinya dengan kehendak zaman dan masyarakat dengan melakukan beberapa perubahan penting. Dengan perubahan-perubahan tersebut menjadikan sekolah ini lebih terkenal bukan saja dalam Negeri Terengganu bahkan ianya termasyhur ke seluruh Malaysia dan luar negeri.

Dahulunya pelajar lepasan sekolah ini telah mendapat penghargaan yang tinggi dan penerimaan masuk ke Kolej Islam Malaya (Kolej Islam Kelang), dan juga telah diakui dan diterima masuk belajar di tahun pertama di mana-mana fakulti Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Madinah tanpa menjalani ujian kelayakan.

Dahulu, dari segi pentadbiran, segala perbelanjaan tenaga pengajar dan alatan adalah dibiayai oleh Pejabat Pelajaran Kerajaan Terengganu. Kemudian pada tahun 1947 ia diserahkan kepada pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu hingga sekarang. Kini ianya telah mendapat sumbangan bantuan kewangan Kerajaan Negeri dan juga guru-guru dari Kementerian Pendidikan.

Berkat asuhan dan didikan sekolah ini, ramai diantara lepasannya mendapat peluang menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan akhirnya dapat menjejakkan kaki ke universiti-universiti dalam dan luar negeri. Ramai di antara lepasannya sama ada yang hanya berkesempatan belajar disekolah ini sahaja atau yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi telah berjaya menjadi penggerak masyarakat dan rakyat yang berguna. Itu semua adalah hasil dari benih baik yang disemai oleh sekolah ini kepada para pelajarnya. Alhamdulillah akhirnya lahirlah para pemimpin dalam pelbagai bidang seperti politik, pendidikan, pentadbiran, tokoh agama, penulisan, kesusasteraan, keusahawanan, perniagaan, keilmuan dan lain-lain.

Boleh dikatakan kebanyakan pegawai-pegawai yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri dalam bahagian agama adalah anak didik daripada Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin yang telah membekalkan tenaga pengajar ke Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu yang lahir kemudian daripadanya.

Kesimpulannya, tidak keterlaluan dikatakan bahawa Sekolah Memengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang telah membawa kesedaran baru dan sinaran ilmu agama kepada masyarakat Negeri Terengganu khususnya dan Malaysia umumnya.

 

LATAR BELAKANG PENUBUHAN SEKOLAH ARAB SULTAN ZAINAL ABIDIN, LADANG, KUALA TERENGGANU.

Pada tahun 1925, sebelum tertubuhnya Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin, di Kampung Ladang, Kuala Terengganu telah ditubuhkan sebuah darjah pelaran agama (Arab) secara persekolahan yang dinamakan Al-Madrasah Al-Arabiyyah. Darjah itu diadakan antara jam 1.00 tengah hari hingga 4.30 petang dengan menumpang di Sekolah Melayu Bukit Jambul, Kuala Terengganu.

Penubuhan Madrasah Arabiyyah pada tahun 1925 itu adalah reaksi terhadap penubuhan sebuah sekolah Inggeris di Kuala Terengganu pada tahun 1923 oleh kuasa penjajah Inggeris. Wujudnya sekolah yang ditaja oleh Penasihat British dan pegawai-pegawai tingginya di Negeri Terengganu disamping wujudnya petanda-petanda kemalapan sistem pelajaran agama di pondok-pondok telah melahirkan kesedaran dan kebimbangan di kalangan beberapa orang pegawai tinggi Melayu seperti Datuk Sri Amar Di Raja (Haji Ngah Muhammad Bin Yusof) Menteri Besar ketika itu, Datuk Bentara Luar, Ketua Pegawai Pelajaran, Datuk Andika Di Raja dan lain-lain ahli agama terhadap ketidakseimbangan antara pendidikan Inggeris dengan pendidikan agama jika dibiarkan begitu sahaja.

Atas kesedaran itu maka lahirlah satu kata sepakat menubuhkan Madrasah Arabiyyah walaupun hanya secara menumpang di Sekolah Melayu buat seketika demi menyelamatkan pendidikan Islam yang mula tercabar oleh saingan pendidikan penjajah Inggeris. Selain dari itu ialah untuk memperkemaskan pendidikan Islam secara persekolahan yang lebih teratur dan lebih sesuai dengan perkembangan dan pergolakan pelajaran semasa.

Oleh kerana kelas bagi pelajaran Agama dan Arab menumpang di Sekolah Melayu Paya Bunga dan kemudiannya di Sekolah Melayu Bukit Jambul, tanpa mempunyai sekolah atau tempat khas sehingga banyak tergendala kemajuan pelajaran Arab dan Agama kerana tidak dapat dijalankan sepenuh masa dalam sehari, maka pada tahun 1349 Hijrah bersamaan 1930 Masihi pihak Komiti Pelajaran Terengganu yang diketuai oleh Allahyarham Datuk Sri Andika Di Raja (Encik Da Omar Bin A Rahmi) dan dibantu oleh Allahyarham Datuk Bentara Luar (Encik Mohd Kasim Bin Hussein) dengan restu Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Al-Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah bersetuju membuat suatu kutipan wang khairat daripada orang ramai yang dinamakan "Khairat Zainal Abidin" untuk membina sebuah sekolah Arab yang khas.

LAHIRNYA MADRASAH ZAINAL ABIDIN AL-ARABIYYAH, LADANG

Hasil daripada kutipan wang khairat daripada orang ramai dan bantuan Kerajaan Negeri, maka sebuah sekolah Arab dapat didirikan di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, yang dinamakan "Madrasah Zainal Abidin Al-Arabiyyah kerana mengambil sempena nama Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Al-Sultan Zainal Abidin Al-Haj III (Marhum Haji) sebagai menjadi kenangan dan ingatan rakyat negeri ini kepada baginda yang sangat dikasihi oleh hamba rakyatnya dan yang masyhur namanya pada ilmu-ilmu agama dan Arab.

Pada pagi hari Ahad 15 Rejab 1351 Hijrah bersamaan 13 November 1932, satu istiadat telah diadakan bagi meletak batu asas pembinaan Madrasah Zainal Abidin Al-Arabiyyah oleh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Kemudian pada petang hari Khamis 20 Jamadilawal 1353 bersamaan 30 Ogos 1934, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Alam Shah meresmikan pembukaan Madrasah Zainal Abidin.

 

PERKEMBANGAN MADRASAH ZAINAL ABIDIN AL-ARABIYYAH

Setelah pelajar Madrasah Arabiyyah berpindah ke bangunan baru di Madrasah Zainal Abidin Al-Arabiyyah, maka bilangan pelajarnya bertambah dari setahun kesetahun. Pendidikannya memberi kesan yang begitu mendalam dengan membawa kesedaran dan semangat pembaharuan kepada pelajar-pelajarnya.

Ramai di antara pelajar peringkat awal tahun 30an amat cergas dan bersemangat serta dedikasi dalam memperjuangkan hak yang difikirkan perlu bagi kebajikan masyarakat, agama dan tanah air. Banyak pendapat mereka disuarakan dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar tanah air seperti Pengasuh, Warta Malaya, Warta Jenaka, Warta Ahad, Saudara, Warta Negara, Majlis dan lain-lain. Keistimewaan mereka bukan sahaja di dalam lapangan pelajaran, penulisan, syarahan dan pakaian tetapi juga dalam lapangan sukan terutama bola sepak. Keadaan itu membuatkan pihak penjajah Inggeris merasa kurang senang memerhati kegiatan pelajar sekolah ini yang begitu mendapat sanjungan masyarakat.

Terdapat berita yang menyatakan bahawa pihak penjajah mahu menutup sekolah ini atau menghalang perkembangannya. Menurut Datuk Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (Misbaha) pada tahun 1935 atau 1936 seorang Penasihat British telah membuat lawatan ke sekolah ini untuk bertemu dengan pelajar-pelajarnya.

Dalam pertemuan tersebut, beliau telah mengemukakan soalan : "Apakah tujuan belajar Arab? Hendak jadi peon atau mata-mata?" Soalan itu telah dijawab oleh pelajar yang bernama Ibrahim Fikri bin Muhammad (Allahyarham Tan Sri Ibrahim Bin Muhammad) dengan menyatakan "Kami belajar di sini bukan untuk makan gaji tetapi untuk menjadi orang yang berguna kepada bangsa, agama dan negeri. Tegasnya "Kami belajar bukan sahaja Bahasa Arab dan Ilmu Pengetahuan Agama semata-mata, bahkan kami belajar Algebra, Geometri, Hisab, Ilmu Alam dan Kesihatan".

Kemudian Penasihat British itu telah cuba menguji satu soalan Algebra, soalan itu telah dijawab oleh Muhammad Salleh bin Haji Awang (Datuk Haji Muhammad Salleh Bin Haji Awang atau Misbaha) di papan hitam, diperhatikan dengan teliti oleh penasihat itu bersama Pembesar Negeri yang hadir dalam lawatan itu. Soalan itu dapat dijawab dengan tepat dan air muka penasihat itu berubah, mungkin tidak disangka pelajar sekolah ini dapat menjawabnya. Selepas peristiwa itu tiada lagi desas desus yang mengatakan Sekolah Arab Zainal Abidin akan ditutup.

Pada masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, sekolah-sekolah Inggeris semua ditutup oleh pihak berkuasa Jepun, tetapi Sekolah Arab Zainal Abidin tidak diganggu malah Jepun memberi galakan sehingga menjadi sebuah pusat pengajian yang teratur pada masa tersebut. Hal ini menolong kepada perkembangannya pada masa seterusnya.

Pada tahun 1943M (semasa Jepun) dengan usaha seorang bekas penuntut madrasah ini Encik Ibrahim Fikri (Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri), maka Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah berkenan mengurniakan sebuah Balai Istana Maziah Kuala Terengganu menjadi bangunan tambahan kepada madrasah ini untuk menampung bilangan pelajar-pelajar yang kian bertambah.

Pada tahun 1952M, hasil dari kutipan derma orang ramai di bawah anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan sumbangan wang Kerajaan Negeri sebuah asrama telah dibina dengan menelan belanja kira-kira RM30,000. Pembinaannya untuk menempatkan pelajar-pelajar jauh yang datang dari semua jajahan Negeri Terengganu dan juga dari luar Terengganu seperti Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan juga Kedah.

Di sini rasanya sangat penting dirakamkan peranan yang dimainkan oleh pelajar-pelajar sekolah ini dalam menjayakan pembinaan asrama ini agar menjadi contoh dan juga penghargaan sejarah terhadap mereka. Setiap kali cuti penggal persekolahan, para pelajar terutamanya yang lebih dewasa akan membawa pulang derma asrama untuk memungut derma di merata-rata daerah dalam negeri (senarai borang).

Hasil daripada kutipan tersebut mereka telah menyerahkannya kepada Guru Besar apabila penggal persekolahan bermula. Sementara itu ketika bangunan tersebut hampir siap, murid-murid juga telah menyumbangkan tenaga pada waktu petang iaitu di luar masa pengajian, mereka mengangkat tanah bukit (tanah merah) di sekitar Bukit Pak Apil berdekatan RMKT, ditimbun untuk membuat jalan yang menghala ke asrama dengan bantuan lori-lori daripada JKR.

Usaha itu diteruskan sehingga selesai, sebelum Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah merasmikan pembukaan tersebut pada tahun 1958. Asrama tersebut telah dinamakan dengan "Dakhiliy Al-Sultan Ismail" atau "Sultan Ismail's Hostel" sempena nama beginda.

PELAJAR SEKOLAH MENENGAH AGAMA SULTAN ZAINAL ABIDIN, LADANG

Madrasah Zainal Abidin Al-Arabiyyah merupakan sekolah untuk putera sahaja, tetapi dengan adanya kesedaran pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu tentang pentingnya didikan agama kepada puteri yang tiada mempunyai bangunan khas untuk mereka, maka pada tahun 1952 kelas untuk puteri telah dibuka disekolah ini secara menumpang dan berasingan dengan putera. Kemudian pada tahun 1953 pelajar puteri telah dipindahkan ke "Al-Madrasah Al-Khairiah" di Kampung Hiliran sementara pelajar putera yang belajar disekolah itu ditukarkan ke Madrasah Zainal Abidin Al-Arabiyyah, Ladang.

Kemudian pada tahun 1974 hingga 1984 sekali lagi madrasah ini membuka pintunya kepada pelajar puteri secara bercampur dengan pelajar putera. Pembukaan pintu kepada pelajar puteri kali ini ialah untuk menampung kemerosotan kemasukan pelajar ke sekolah ini yang disebabkan oleh munculnya sekolah-sekolah agama di setiap daerah negeri Terengganu, tumpuan pelajar tidak lagi ke sekolah ini sebagaimana zaman sebelumnya; tambahan pula sekolah ini dikhaskan untuk tingkatan satu hingga tingkatan tiga sahaja.

Setelah sambutan belajar ke sekolah ini pulih semula maka pada tahun 1985 tiada lagi pelajar puteri belajar disekolah ini kerana ianya dikhaskan kepada pelajar putera sahaja. Pada tahun 1987 sekolah ini telah membuka Tingkatan Empat dan pada tahun 1988 ini pula ditambah dengan Tingkatan Lima sebanyak tiga kelas. Ini merupakan kali pertama pelajar sekolah ini mengambil SPM.

BANGUNAN BARU (SEKOLAH DAN ASRAMA)

Kini bangunan asal dan tambahan Madrasah Zainal Abidin tiada lagi , hanya tinggal kenangan . Ianya telah dirobohkan begitu juga dengan asramanya .

Bangunan sekolah lama itu dirobohkan pada tahun 1962 untuk didirikan bangunan baru tiga tingkat yang berharga RM 200,000. Bangunan ini siap pada tahun 1965 dilengkapi dengan bilik ñbilik darjah , makmal sains , perpustakaan dan pejabat sekolah . Kemudian satu lagi bangunan kayu sementara telah didirikan yang mengandungi empat bilik dan berhadapan dengan bangunan empat tingkat bagi menggantikan bangunan sementara itu dan memenuhi bilangan pelajar yang kian bertambah .

Sementara Asrama Sultan Ismail pula telah dirobohkan pada 1985 setelah penghuninya dipindahkan pada tahun 1984 ke bangunan sewa iaitu Bangunan Yusar dan Bangunan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu. Tapak bangunan asrama yang dirobohkan itu didirikan pula asrama baru empat tingkat yang boleh memuatkan kira-kira 280 orang pelajar. Bangunan baru ini dapat diduduki pada awal tahun 1987.

 

PENGAJIAN

Pelajar Madrasah Zainal Abidin Al- Arabiyyah sejak mula ditubuhkan sehingga akhir tahun 40-an menghabiskan pengajian mereka selama lapan tahun . Kemudian pada tahun 50-an masa pengajian dipendekkan kepada tujuh tahun sahaja hingga ke Al- Qismu Al- Sabií .

Mata pelajaran yang mereka pelajari ialah Fiqh , Usul Fiqh , Tauhid , Tafsir , Hadis , Balaghah , Mantik , Akhlak Tarikh , Geografi , Mahfuzat , Khat , Algebra , Handasah (Geometri ), Tajwid dan Lughah . Mata pelajaran tersebut disampaikan dalam Bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya.

Setiap pelajar yang lulus dalam peperiksaan akhir akan diberi sijil yang dinamakan Syahadah Nihaiyah Li Madrasah Al- Suktan Zainal Abidin yang diakui oleh Kerajaan Negeri bagi melayakkan pemegang menjawat beberapa jawatan dalam negeri seperti guru agama , imam , pegawai agama dan sebagainya . Pada tahun 1950 sebuah kelas latihan guru telah diadakan . Kelas ini hanya sempat berusia setahun sahaja .

Di akhir tahun 40-an dengan usaha Tuan Mudir Sheikh Mahmud Bakar Rafií kelas Bahasa Inggeris telah dibuka pada waktu petang dengan dikenakan sedikit bayaran bulanan kepada pelajarny di antara tenaga pengajarnya ialah Tuan Mudir sendiri , Syed Jaafar dan lain-lain . Di antara yang pernah mengajar di kelas ini ialah Datuk Wan Mukhtar bin Ahmad dan Datuk wan Mansor bin Abdullah .

Kelas Bahasa Inggeris ini berlangsung sehingga tahun 60-an dan dihentikan setelah sistem pelajaran baru diperkenalkan dengan Bahasa Inggeris dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran .

 

SISTEM PELAJARAN IBTIDAI (RENDAH ) DAN THANAWI ( MENENGAH )

Pada tahun 1958 dasar pelajaran sekolah ini berubah kepada dua bahagian ;

1. Bahagian Ibtidai , pengajiannya selama lima tahun .

2. Bahagian Thanawi , pengajiannya selama empat tahun .

Jumlah pengajian semuanya ialah sembilan tahun , dengan Bahasa Arab menjadi bahasa pengantarnya .

Bahagian Ibtidai mengandungi mata pelajaran Al-Quran ( membaca dan menghafaz beberapa surah atau juzuk yang ditetapkan ) , Fikah , Tarikh Islam , Tauhid , Lughah Al-Arabiyyah , Qiraah ( Mutalaah ) , Nahu Saraf , Insyaí , Hadis , Mahfuzat Tafsir , Tajwid , Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris .

Sementara itu Bahagian Thanawi pula mengandungi mata pelajaran Fiqh , Nahu Saraf , Mantiq , Tafsir , Hadis , Insyak , Tauhid , Mustalah Hadis , Tarikh Islam , Faraid , Usul Fikah , Balaghah , Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris .

Pelajar yang diterima masuk ke Bahagian Ibtidai ialah mereka yang tamat Darjah Enam sekolah kebangsaan . Setelah belajar lima tahun dan lulus peperiksaan , mereka akan mendapat Sijil Syahadh Ibtidai yang membolehkan mereka belajar ke peringkat Thanawi selama empat tahun untuk mendapat Syahadah Thanawi .

Dengan adanya sistem Ibtidai dan Thanawi ini , maka pengajiannya telah diasingkan kepada dua tempat . Bahagian Ibtidai dikekalkan di Madrasah Al-Sultan Zainal Abidin , Ladang dengan Ustaz Haji Ibrahim Hilmi sebagai Mudir dan Bahagian Thanawi dipindahkan ke bekas tapak rumah Allahyarham Datuk Sri Amar Di Raja bekas Menteri Besar Terengganu yang terletak di Kampung Batu Burok . Tempat pengajian Bahagian Thanawi ini dinamakan Madrasah Al-Sultan Zainal Abidin At ñ Thanawiyyah , dan sekarang dikenali dengan nama Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin , Batu Burok dengan Ustaz Sheikh Mahmud menjadi Mudirnya .

 

SISTEM PELAJARAN AGAMA KEBANGSAAN

Sistem pelajaran Ibtidal dan Thanawi terus berjalan dengan baik sehingga akhir tahun 1967. Kemudian sistem ini telah disemak dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji semula sistem ini demi menjaga kebaikan para pelajar dan masa depan sekolah-sekolah agama di negeri ini. Sistem yang ada kurang menguntungkan kerana kelulusan Sijil Ibtidal dan Thanawi tidak mempunyai ruang yang lebih luas dalam mendapat jawatan atau perkhidmatan kerajaan begitu juga dari segi peluang menyambung pelajaran. Kiranya mereka tidak mampu menyambung ke negara-negara Timur Tengah, maka mereka tidak dapat pula menyambung pengajian mereka ke pusat-pusat pengajian tinggi yang ada dalam negeri sendiri kerana tidak cukup syarat kemasukan.

Dengan itu pada tahun 1968, sistem baru yang lebih sesuai dan lebih menguntungkan pelajar diperkenalkan. Sistem baru ini adalah penyelarasan sistem yang sedia ada dengan sistem pelajaran yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran (Pendidikan). Dalam sistem baru ini, pelajaran Agama Islam dan Bahasa Arab tidak diketepikan, bahkan kedua-duanya merupakan mata pelajaran wajib. Menurut sistem baru ini pelajar boleh memasuki peperiksaan SRP dan SPM. Penerangan kepada sistem baru ini adalah seperti berikut :

1. Bahagian Menengah Rendah SRP (Pengajian selama 3 tahun) dan terbahagi kepada tiga

jenis mata pelajaran :

i. Mata pelajaran Bahasa Arab yang mengandungi Mutalaah, Nahu Saraf, Insyak (Safawi

dan Tafriri), Khat dan Imlak.

ii. Mata pelajaran Agama Islam mengandungi ayat-ayat Al-Quran dan Hadis; Tauhid,

Fikah, Sejarah Islam, Quran dan Tajwid.

iii. Mata pelajaran Umum iaitu Bahasa Malaysia, Sastera Melayu, Bahasa Inggeris, Ilmu

Alam, Ilmu Hisab, Tawarikh, Sains dan Lukisan dengan tambahan pelajaran Urusan

Rumah Tangga bagi pelajar perempuan iaitu Masakan dan Jahitan.

2. Bahagian Menengah Atas SPM (Hanya diadakan di Sekolah Menengah Sultan Zainal

Abidin, Batu Buruk) tetapi sejak beberapa tahun yang lalu ia telah pun dibuka kepada

sekolah-sekolah menengah agama yang lain di negeri ini, bahkan mulai tahun 1988 Sekolah

Sultan Zainal Abidin, Ladang telah membuka sebanyak tiga kelas Tingkatan Lima bagi

peperiksaan SPM. Masa pengajian ialah selama tiga tahun termasuk kelas peralihan

(remove). Mata pelajaran peringkat menengah atas ini juga terbahagi kepada tiga jenis :

i. Mata pelajaran Bahasa Arab mengandungi Nahu saraf, Mutalaah, Insyak, Terjemahan,

Balaghah dan Mahfuzat.

ii. Mata pelajaran Agama Islam iaitu ayat-ayat Al-Quran dan Hadis, Tarikh Islam, Tauhid,

Fikah dan Faraid.

iii. Mata pelajaran Umum iaitu pelajaran Bahasa Malaysia, Sastera Melayu dengan tambahan

pelajaran Urusan Rumah Tangga bagi pelajar-pelajar perempuan iaitu masakan dan

jahitan.

Dengan terlaksananya sistem baru yang selaras dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan Negara ini, maka nama Madrasah Zainal Abidin bertukar kepada nama Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin , Ladang dan Madrasah di Batu Burok dikenali dengan nama Sekolah Menengah Agama (Atas ) Sultan Zainal Abidin , Batu Burok .

Pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin , Ladang dan sekolah menengah agama yang lain yang lulus peperiksaan SRP akan dimasukkan ke Sekolah Menengah Agama (Atas ) Sultan Zainal Abidin di Batu Burok atau Kolej Islam Kelang , Selangor .

Pelajar yang pergi ke Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin di Batu Burok akan belajar sama ada dalam aliran :

  1. Pengantar Bahasa Arab ñ bagi pelajar yang mempunyai SRP dan lulus mata pelajaran Agama Islam serta Bahasa Arab akan menduduki kelas peralihan selama setahun , kemudian ke Tingkatan Empat dan Lima . Pelajar ini akan mengambil dua peperiksaan iaitu peperiksaan pelajaran Agama dan Bahasa Arab bagi memperolehi Sijil Kafaah dan juga SPM . Pelajar yang berjaya akan diberi peluang menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam jurusan Sastera / Agama / Arab yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu .
  2. Bahasa Pengantar Bahasa Kebangsaan ñ bagi pelajar yang lulus pelajaran Agama Islam tetapi tidak lulus Bahasa Arab mereka akan diterima ke Tingkatan Empat dan akan mengambil peperiksaan SPM . Pada waktu ini kelas peralihan telah dimansuhkan .

 

SEKOLAH MENENGAH AGAMA SULTAN ZAINAL ABIDIN , LADANG 1997.

Kini Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin , Ladang telah banyak berubah . Pengetuanya ialah Ustaz Yusof bin Ali . Tenaga pengajar berjumlah 45 orang , kakitangannya pula berjumlah 14 orang. Bilangan pelajar berjumlah 602 orang dengan bilangan kelas sebanyak 18 buah . Tingkatan lima dan empat masing-masing mempunyai sebanyak dua buah kelas manakala Tingkatan Tiga dan Dua masing-masing lima kelas dan Tingkatan Satu sebanyak empat kelas . Pelajar yang tinggal di asrama berjumlah 102 orang . Pelbagai aktiviti dijalankan untuk kemajuan pelajar yang dilaksanakan melalui badan-badan ko-kurikulum seperti Persatuan Pengakap , Silat , Bulan Sabit Merah , Kelab Komputer , Program Ushawan Muda , Persatuan Bahasa ( Bahasa Malaysia , Inggeris ,Arab ) dan sebagainya .


[Muka Petama] [Pengenalan] [Sejarah] [Pentadbiran] [Analisa] [Kokurikulum] [Kakitangan] [Tokoh]