Bagaimana Bandar Muar (Bandar Maharani) Diberi Nama
Mungkin ramai generasi hari ini tidak tahu bagaimana bandar Muar diberi nama Bandar Maharani dan kini menjadi salah sebuah bandar terkenal di Johor. Muar juga pernah menjadi sebuah negeri di bawah jajahan kerajaan Johor pada suatu ketika dulu.
Menurut catatan sejarah, bandar Muar pernah menjadi pelabuhan kecil sejak zaman Portugis di Melaka hingga ke zaman Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar yang bergelar maharaja. Portugis lebih mengenali Muar sebagai muara yang bermaksud pelabuhan dan perkhidmatan pelabuhan kecil itu berlaku di Kuala Sungai Muar.
Nama Maharani wujud ketika di zaman Sultan Abu Bakar memerintah Johor iaitu selepas pembukaan rasmi Bandar Maharani pada 1884. Beliau mengisytiharkan Muar menjadi kawasan jajahan Johor serta bertaraf negeri dan memberi nama bandar itu dengan Bandar Maharani yang membawa makna bandar permaisuri. Sultan Abu Bakar juga menghadiahkan bandar itu kepada permaisurinya dan sempena itu menamakannya Maharani. Sejak pengisytiharan itu, Bandar Maharani dijadikan ibu negeri bagi jajahan Muar yang kini dikenali sebagai daerah Muar.
Muar dalam sejarah kerajaan Melayu Melaka menjadi sebahagian daripada tumpuan Belanda dan Portugis kerana hasil buminya yang subur. Selain rempah, lada hitam dan gambir, emas juga adalah salah satu daripada logam berharga yang didapati di bandar Muar yang diperolehi di lereng Gunung Ledang kerana letaknya tidak jauh dari bandar itu.
Sungai Kesang hingga ke Sungai Ledang ketika itu menjadi penghubung utama penjajah untuk mengangkut barang dan dagangan ke kuala Sungai Muar. Sungai Muar pula menjadi jalah penting bagi penduduk di kawasan terbabit berulang-alik untuk ke Pahang kerana hulu sungai itu dikatakan berpunca dari Tasik Bera di negeri itu.
Di antara sejarah yang menjadi lagenda di Sungai Muar ialah kononnya Malim Deman menyusur sungai itu untuk mencari Puteri Bungsu yang dikatakan menyorok di sebuah kawasan dekat Panchur sekarang.
Dalam sejarah Johor moden pula, Sungai Muar menjadi saksi penting kejatuhan kerajaan Melayu Melaka pada 1511. Di sungai inilah angkatan Sultan Mahmud Shah mengundur diri daripada serangan Portugis dan membina kubu pertahanan di Bentayan, tetapi musuh dapat menjejakinya. akhirnya Sultan dan pengikutnya berundur ke Kota Biawak Busuk yang juga dapat dijejaki oleh Portugis. Ini menyebabkan beliau sekali lagi terpaksa berundur ke Kota Pagoh atau ke Kuala Pagoh.
Ahli sejarah mengakui bahawa Kota Pagoh adalah antara kota yang menarik dan penting kerana ia dibina daripada tanah liat. Walaupun kota itu sudah terhakis dengan kepesatan pembangunan, kesannya boleh dilihat dan diteliti sehingga hari ini.
Pada zaman kekuasaan Bugis yang terkenal dengan lima saudara, Daeng Marewah, Daeng Parani, Daeng Celak, Daeng Manambun dan Daeng Kenasi juga mempunyai hubungkait dengan Johor Lama kerana mereka dikatakan datang ke kawasan Muar dan menetap di Liang Batu, Lenga. Menurut catatan sejarah, Muar mempunyai perhubungan dengan Melaka sejak zaman Melaka diperintah oleh Sultan Alaudin Riayat Shah 1. Kematiannya di Pagoh menjadi misteri dan lagenda. Ada orang berkata beliau meninggal dunia sewaktu datang untuk bersiar-siar manakala ada pula mendakwa beliau mata kerana tercucuk jarum.
Menurut lagenda, Sultan Alaudin berdarah putih dan mempunyai kaitan dengan lagenda Mahsuri di Pulau Langkawi. Sejauh mana kebenaran lagenda itu tidak dapat dipastikan kerana sehingga ini pengkaji sejarah masih belum dapat membuat analisis yang tepat.
Antara kesan sejarah di pantai Muar yang berhadapan dengan Selat Melaka iaitu dari Tanjung Emas ke Parit Jawa ialah Makam Panglima Lidah Hitam di Parit Sakai. Kawasan itu pernah dikenali dengan nama Padang dan dibuka oleh perantau dari Kepulauan Sumatera dan Bugis.
Sejarah Melayu ada menceritakan mengenai ramainya penduduk di kawasan itu. Gambaran yang diberikan dalam buku itu menunjukkan penduduk yang tinggal di kawasan itu sangat ramai dan mereka menjadikan Selat Melaka sebagai penghubung utama di antara Muar dan Melaka.
Selepas Johor Lama jatuh, Sultan Abu Bakar yang terkenal dengan gelaran bapa Johor Moden menjadikan Sungai Muar sebagai sistem pengangkutan penting dan sumber kekayaan negeri itu. Pelbagai cerita dan peristiwa menarik di sebalik sejarah Muar berlaku di tengah kepesatan pembangunan bandar itu sekarang, namun banyak kesan peninggalan sejarah yang kekal termasuk nama jalan diabadikan untuk dikenang dan dijadikan teladan oleh generasi baru.
Wassalam.