Dipetik dari   11/9/98

                    Anwar: Saya tidak takut dibicara, tapi...

                   Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, kelmarin mengambil masa
                   lebih sejam untuk menjelaskan sebab-sebab beliau memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim
                   daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Rabu lalu. Dalam
                   pertemuan khas tertutup di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala
                   Lumpur itu, Dr Mahathir memberitahu para perwakilan Umno bahagian bahawa
                   pemecatan Datuk Seri Anwar itu semata-mata kerana faktor moral, bukannya perselisihan
                   faham mengenai ekonomi negara atau politik. Dr Mahathir menegaskan beliau
                   mempunyai bukti kukuh mengenai salah laku timbalannya itu. Sebelum beliau membuat
                   penjelasan itu, Datuk Seri Anwar telah diwawancara oleh koresponden akhbar The
                   Business Times, Yang Razali Kassim, berhubung tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke
                   atasnya. Berikut sedutan wawancara itu.
 

                   SOALAN: Dr Mahathir berkata isu pemecatan itu ialah faktor moral tetapi anda pula
                   mengatakan ia satu konspirasi politik. Mana satu yang benar?

                   JAWAPAN: Saya boleh menerimanya kalau ini memang isu moral. Kalau benarlah ia isu moral
                   kaedahnya juga harus bermoral. Tapi mengapa kaedah yang tidak bermoral dan cara yang
                   tidak beretika digunakan untuk membuktikan isu moral ini? Bagaimana anda menjelaskan
                   tuduhan yang diada-adakan ini? Bagaimana anda boleh jelaskan yang saksi-saksi itu telah
                   dipaksa dan didesak membuat pengakuan? Saya ada rekod. Saya ada afidavit untuk
                   membuktikan dakwaan ini.
 

                   SOALAN: Jadi bagaimana boleh kita menentukan siapakah yang berkata benar?

                   JAWAPAN: Cuba ambil tuduhan tentang salah laku seks. Datuk Nalla (S. Nallakaruppan)
                   dikatakan menyediakan wanita untuk memuaskan nafsu saya. Dalam afidavit polis,
                   digambarkan yang Datuk Nalla membuat pengakuan. Dalam afidavit bersumpah itu, Datuk
                   Nalla menafikannya dan memberitahu mahkamah dia dipaksa, diancam dan dikasari. Tiga fail
                   disiapkan untuk ditandatanganinya. Jadi bagaimana boleh kita katakan mereka mempunyai
                   cukup bukti bagi mengesahkan kes ini?

                   Kemudian ada pula dakwaan tentang anak luar nikah. Ujian DNA sudah dilakukan. Mereka
                   berkata pula tentang hubungan sulit saya dengan isteri kepada setiausaha saya. Tak ada bukti
                   kecuali daripada seorang wanita yang sudah tidak diakui anak oleh orang tuanya sendiri.
 

                   SOALAN: Bagaimana sampai timbulnya dakwaan anda melakukan liwat?

                   JAWAPAN: Mereka sudah merancangkannya sejak beberapa tahun. Anda tahu, saya dan
                   Azizah (isteri Datuk Seri Anwar) menonton sebuah persembahan teater, teater Melayu di
                   Kuala Lumpur. Manalah saya tahu ada peliwat yang berlakon. Inilah mulanya mereka
                   mengaitkan saya dengan kumpulan peliwat. Persembahan teater itu diadakan di panggung
                   negara.

                   Mereka mengada-adakan tuduhan. Mereka mempunyai tiga wanita membuat pengakuan. Lagi
                   30 wanita akan dikemukakan. Kemudian ada pula seorang lelaki (dikatakan diliwat) dan mereka
                   mahu mengemukakan lima budak lelaki pula. Apakah yang boleh menghentikan mereka
                   daripada membuat tuduhan serupa itu? Oleh kerana pihak polis telah diperalatkan. Instrumen
                   kerajaan telah diggunakan untuk cuba dan memaksa... saya mempunyai bukti, saya
                   mempunyai kenyataan bertulis, saya mempunyai afidavit untuk membuktikannya.
 

                   SOALAN: Jika sudah ada bukti, mengapa tidak didedahkan?

                   JAWAPAN: Ada antara bukti itu telah didedahkan. Saya sedang bekerjasama dengan
                   peguam saya untuk mendedahkannya pada waktu yang sesuai.
 

                   SOALAN: Adakah cara terbaik bagi anda membela diri melalui undang-undang, melalui
                   mahkamah?

                   JAWAPAN: Tidak. Ini soal politik. Kerana kalau mengikut undang-undang, saya memang
                   mempunyai keyakinan penuh dan percaya terhadap sistem itu. Bagaimana saya boleh
                   membela diri kalau setelah membuat laporan polis, pihak pendakwa mengemukakan bukti
                   daripada kenyataan-kenyataan yang dipaksakan ke atas saksi-saksi, ada pula tuduhan yang
                   diada-adakan dan penipuan.

                   Bagaimana anda boleh mengharapkan pembelaan jika hakim yang dikenali sebagai objektif
                   dalam membuat keputusan dalam hal injunksi (injunksi yang diterima Datuk Seri Anwar
                   berhubung buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM) dipindahkan sementara
                   hakim yang dipercayai mempunyai pandangan tertentu dikekalkan? Bagaimana anda mahu
                   menyangkal tentang adanya satu pakatan yang menyeluruh?
 

                   SOALAN: Tidakkah ini akan membuat orang ramai mengatakan yang anda takut untuk
                   dibicarakan?

                   JAWAPAN: Saya tidak takut dibicarakan. Saya mendapat khidmat peguam terbaik di negara
                   ini. Kebanyakan mereka datang sendiri menawarkan khidmat secara sukarela. Tapi saya tak
                   mahu jadi bodoh untuk mengharapkan kononnya saya akan menerima keadilan. Apa yang kita
                   tuntut apabila kita bercakap tentang reformasi ialah instrumen kerajaan harus berfungsi secara
                   profesional dan institusinya, kehakiman terbaik yang bertauliah.
 

                   SOALAN: Dalam surat bertarikh 25 Ogos kepada Perdana Menteri, anda mengusulkan
                   bahawa tiga tokoh telah terlibat dalam konspirasi peringkat tinggi.

                   JAWAPAN: Dalam surat itu, saya merujuk sepintas lalu laporan polis. Ia bukan dakwaan
                   saya. Ia laporan polis kepada Perdana Menteri tahun lalu. Ia mengandungi pita rakaman dari
                   saksi-saksi yang memberi gambaran sedemikian.
 

                   SOALAN: Semakin ramai mereka yang melawat anda. Apakah pandangan anda?

                   JAWAPAN: Orang ramai semakin berani. Mulanya yang datang itu orang biasa, kemudian
                   golongan pertengahan, golongan profesional. Pada sebelah malam yang datang itu
                   bercampur-campur. Satu tanda yang memberangsangkan. Orang ramai mempunyai keyakinan
                   untuk melahirkan pandangan mereka.
 

                   SOALAN: Adakah Umno menuju perpecahan?

                   JAWAPAN: Saya tidak mahu melihat perpecahan, tetapi saya ingin anggota Umno diberi hak
                   untuk melahirkan pandangan mereka.